combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Wayang Pacak Dekatkan Masyarakat Dengan Filem Tempatan, Industri - FINAS
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib menonton tayangan filem Gemencheh Boys pada program Hasrat MADANI di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah. Turut bersama, pelakon utama Gemencheh Boys Pekin Ibrahim (kiri).
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan memperluas penganjuran program wayang pacak ke seluruh negara bagi mempromosikan karya tempatan kepada masyarakat luar bandar, selari dengan aspirasi Program Hasrat MADANI.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata pendekatan itu bukan sahaja bertujuan mempromosikan karya tempatan, malah memberi peluang kepada rakyat di kawasan luar bandar berinteraksi secara langsung dengan pelakon dan penggiat industri kreatif.
"Malam ini, kita menayangkan filem Gemencheh Boys yang amat bersesuaian dengan Negeri Sembilan kerana ia mengisahkan kisah benar pelajar bersama guru mereka dalam sukan kriket.
"Kita juga membawa bersama pelakon Pekin Ibrahim dan seorang daripada pengarah filem itu Eric Ong bagi mendekatkan mereka dengan penonton," katanya ketika ditemui pada Program Hasrat MADANI anjuran Kementerian Komunikasi di sini malam ini.
Azmir Saifuddin berkata sambutan terhadap filem tempatan semakin memberangsangkan apabila industri perfileman negara mencatat peningkatan ketara tahun lepas dengan beberapa filem mencapai kutipan pecah panggung.
Beliau berkata setakat tahun ini, sebanyak lima hingga enam filem tempatan telah berjaya mencatatkan kutipan melebihi RM10 juta, sekali gus menunjukkan peningkatan minat rakyat terhadap karya tempatan berbanding filem antarabangsa.
"Trend baharu yang kita lihat ialah semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk menonton filem tempatan. Sebab itu kita membawa filem-filem popular ini ke luar bandar bersama artis supaya mereka lebih rapat dengan penonton," katanya sambil menambah sambutan terhadap program wayang pacak masih menggalakkan.
Dalam pada itu, Azmir Saifuddin memaklumkan usaha mempromosikan filem tempatan akan terus dipergiat menjelang Bulan Kebangsaan dengan tayangan beberapa naskhah bertemakan kemerdekaan.
Beliau berkata FINAS juga akan menyertai perarakan Hari Kebangsaan tahun ini dengan menampilkan kontinjen artis serta karakter animasi tempatan yang dijangka menjadi antara tarikan utama pengunjung.