BTC USD 83,596.9 Gold USD 4,154.41
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Was-was kentut dalam solat

Was-was adalah berpunca dari kurang faham sifat Islam

- Ia juga berpunca dari ajaran sesetengah guru yang suka memayah-mayahkan cara ibadah. Sedang Nabi s.a.w memberitahu kita: “Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka” (Riwayat al-Bukhari). Oleh itu, elakkan mempelajari fekah dari guru yang suka berfalsafah sendiri dan berteori tanpa berlandaskan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.

- Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua? Jika ia untuk Allah s.w.t, maka hendaklah dia tahu bahawa Allah tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu. Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah bukan mentaati Allah. Ikutilah arahan Allah s.w.t dan RasulNya tanpa melayan was-was. Was-was akan memalingkan seseorang dari mengikuti arahan Allah dan rasulNya secara betul.

- Al-Quran menceritakan bahawa senjata was-was ini jugalah yang digunakan oleh Iblis sehingga membawa Adam melanggar arahan Allah seperti yang disebut dalam surah Surah Taha, ayat 120-121


sumber ilmu: http://drmaza.com/home/?p=1052
 
Kentut yang berbau dan bunyi sahaja membatalkan wudhuk?

Jumhur ulama’ bersepakat bahawa salah satu penyebab terbatalnya wudhu’ adalah apabila keluar apa sahaja daripada qubul atau dubur, daripada najis, air mani mahupun, angin (kentut).

Oleh itu, seseorang yang yakin bahawa dia telah kentut maka wudhu’nya akan terbatal serta merta sama ada angin tersebut mengeluarkan bunyi atau tidak, berbau ataupun tidak (Az-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh).

Namun, sekiranya seseorang ragu-ragu sama ada dia telah kentut ataupun tidak, pada ketika inilah sifat-sifat yang zahir daripada kentut itu perlu diambil kira bagi memastikan kedudukan wudhu’nya. Sifat-sifat zahir inilah yang mensyaratkan sama ada angin itu mengeluarkan bunyi ataupun bau bagi menghilangkan keraguan batalnya wudhu’ sepertimana yang disebutkan dalam hadith Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Zaid :

Seorang lelaki telah mengadu kepada Nabi S.A.W bahawa dia seolah-olah mendapati sesuatu di dalam solatnya (ragu-ragu wudhu’nya terbatal sewaktu sedang solat). Maka (baginda) bersabda: Janganlah dia berhenti (solat)sehingga mendengar bunyi atau mendapati (mencium) bau.
[Muttafaq ‘Alaih, alBukhari (134), Muslim (361), dan disyarah dalam al-Fath (`12/329)]

Hadith di atas juga merupakan salah satu dalil yang menyokong kaedah fiqh اليقين لا يزول بالشك yang bermaksud “ Keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan keraguan”. Aplikasi kaedah ini menetapkan sekiranya seseorang telah mencapai tahap yakin, keraguan yang timbul setelah keyakinan tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak keyakinan tadi.

Apabila seseorang telah yakin bahawa dia sudah berwudhu’ dan suci daripada hadas, keraguan yang hadir setelah keyakinan tadi tidak sepatutnya menafikan keyakinan bahawa dia dalam keadaan suci sehingga membolehkan dia memberhentikan solatnya (al-Zarqa’, Sharh al-Qawaid al-Fiqhiyyah).

Oleh itu, selagi tiada bukti zahir yang meyakinkan batalnya wudhu’ (bau dan bunyi), maka seseorang itu perlu kekal dengan keyakinannya. Sebaliknya, sekiranya seseorang itu yakin bahawa dia sudah terkentut, maka wudhu’nya batal sama ada kentutnya mengeluarkan bau ataupun tidak.


oleh: Ustazah Kauthar Jamalludin
Sarjana Muda Syariah Islamiyah Universiti Al-Azhar
Sarjana Pengajian Islam (Syariah) Universiti Kebangsaan Malaysia
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

http://muis.org.my/2015/02/kentut-yang-berbau-dan-bunyi-sahaja-membatalkan-wudhuk/
 
Back
Top
Log in Register