balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
Mohd Arsyad dengan nota dan latihan Pengajian Asas Bahasa Arab yang dikendalikan menerusi grup WhatsApp.
< 1 / 3 >
BIARPUN dilahirkan cacat anggota badan, ia bukan penghalang buat dua beradik ini menyebarkan ilmu agama. Mohd Azfar Mohd Yusof, 27, dan abangnya, Mohd Arsyad, 28, dilahirkan sejak kecil tidak mampu berdiri, apatah lagi berjalan seperti kanak-kanak lain.
Mohd Azfar, hanya belajar di peringkat sekolah rendah kerana ketidakupayaannya bergerak dan terlantar namun, berkat sabar dan usaha gigih kedua ibu bapa, dia berjaya meneruskan pengajian dalam bidang agama.
Sehingga kini, dia masih berguru secara peribadi dengan beberapa ustaz yang mengajar dari rumah sehinggalah dia sendiri menjadi guru mengaji kanak-kanak dan orang dewasa.
“Setiap malam, ada kanak-kanak akan datang ke rumah untuk mengaji, begitu juga dengan orang dewasa yang diajar pada waktu siang setiap Rabu dan Khamis,” katanya.
Mohd Azfar berkata, seiring kecanggihan teknologi, dia turut menggunakan aplikasi WhatsApp untuk mengajar Iqra yang dilakukan secara alam maya semata-mata mahu berkongsi ilmu yang dipelajari kepada orang ramai.
Katanya, beliau sentiasa menjadikan mufti, timbalan mufti dan pakar agama sebagai rujukan sekiranya mempunyai sebarang masalah berkaitan keagamaan mahupun peribadi.
Cipta laman web sendiri
Berbeza dengan abangnya, Mohd Arsyad yang boleh menggunakan kerusi roda, lebih suka bekerja di depan komputer riba ataupun telefon pintar bagi mengemas kini pembelajaran asas Bahasa Arab yang dikelolakan sejak beberapa bulan lalu.
Beliau juga mempunyai kecenderungan mereka cipta laman web serta pernah diupah beberapa syarikat korporat untuk tujuan berkenaan.
Dalam masa sama, Mohd Arsyad juga sentiasa memenuhi kehendak jemputan yang mahukannya berkongsi inspirasi dan kejayaan serta pernah menyampaikan kursus, seminar dan motivasi kepada pelbagai masyarakat termasuk murid sekolah sehinggalah ke golongan profesional.
Tubuh 16 kumpulan alam maya
Biarpun grup WhatsApp Bahasa Arab masih baru ditubuhkan, sehingga kini Mohd Arsyad mempunyai 16 kumpulan WhatsApp di mana bilangan murid setiap kumpulan lebih kurang 100 orang manakala jumlah keseluruhan murid alam maya mencecah 1,300 orang.
“Saya hasilkan sendiri nota dan latihan Bahasa Arab bagi menguji tahap pencapaian murid yang berusia antara sembilan hingga 65 tahun,” katanya.
Katanya, pendekatan yang dilakukan ialah menggalakkan murid saling menegur jika berlaku kesilapan.
“Tanpa terkecuali terdapat pegawai Jabatan Agama Islam mahupun pelajar tahfiz turut serta menjadi ahli kumpulan ini. Mereka bertindak sebagai pemerhati, jika berlaku kesilapan, mereka juga akan menegur saya secara tidak langsung,” katanya.
Menurutnya, memenuhi kem motivasi merupakan salah satu agenda yang sudah pun dimasukkan dalam jadual tahunannya.
“Namun, bergantung kepada situasi dan keadaan yang membolehkan saya bergerak memenuhi jemputan,” katanya.
Perniagaan internet cabang pendapatan
Beliau memberitahu, perniagaan online adalah salah satu cabang pendapatan yang tidak dapat disangkal lagi mampu menjana pendapatan lumayan.
Pada 2009, beliau berjaya memulakan perniagaan internet dengan menjual rekaan dan karya menerusi e-book kepada mahasiswa.
Pada 2010, beliau pernah mendapat jemputan mengajar 90 peserta Singapura mengenai perniagaan internet selain berkongsi suka duka dalam hidupnya.
Tidak ketinggalan, katanya, pernah menghasilkan cakera video padat bertajuk ‘ Formula Jutawan’ yang diedar secara percuma dengan kerjasama Majalah Jutawan dan Mind Power Millionaire.
Mohd Arsyad bagaimanapun tidak pernah lupa mengenai kekurangannya malah sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dianugerahkan ALLAH SWT melalui sikap rendah diri.
Bukan hanya dilahirkan sebagai insan istimewa, malah kedua-dua anak kepada Naimah Mohd Saad, 58, dan Mohd Yusof Salim, 59, yang digelar ustaz bukan calang-calang orang sehingga dijadikan idola buat golongan orang kurang upaya hatta insan normal sekali pun kerana kejayaan yang mereka capai.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/ustaz-oku-ajar-melalui-whatsapp-1.376632