ARKIB : 17/01/2013
Eksport sawit dijangka lemah
KUALA LUMPUR 16 Jan. - Prospek eksport minyak sawit tempatan dijangka lemah pada tahun ini didorong oleh kurang daya saing daripada minyak sawit Indonesia serta kelembapan permintaan dari China dan Pakistan.
Alliance Research dalam nota penyelidikannya mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) pada tahun ini adalah RM2,600 setan metrik berbanding unjuran awal iaitu RM2,900.
Katanya, harga MSM sudahpun dipengaruhi oleh penurunan cukai eksport yang diperkenalkan baru-baru ini tetapi ia dilihat masih tidak mampu merangsang eksport untuk tahun 2013.
"Kami mengunjurkan pengeluaran pada tahun ini adalah mendatar berbanding tahun sebelumnya disebabkan oleh cuaca yang tidak menentu.
Dengan itu, kami menjangkakan harga MSM tidak akan mengalami aliran kukuh sepanjang tahun ini kecuali pada suku pertama sehingga kedua 2013, iaitu pada musim puncak untuk sektor tersebut," katanya.
Tambahnya, situasi tersebut pastinya boleh membantu Malaysia meringankan rekod inventori dan sekali gus menyokong harga MSM.
Unjuran lemah sektor MSM membuatkan firma penyelidikan tersebut bimbang mengenai prestasi kewangan Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) bagi suku kedua tahun kewangan 2012.
" MSM didagangkan secara purata pada harga RM2,188 setan metrik pada tempoh tersebut, iaitu jatuh 23.4 peratus berbanding suku sebelumnya.
Malah, kami juga melihat terdapat sedikit sahaja peningkatan pengeluaran pada November iaitu sebanyak 8.9 peratus berbanding bulan sebelumnya dan Disember (masih belum diumumkan), di mana ia dijangka tidak mampu mengimbangi pengeluaran MSM yang mengalami kemerosotan permintaan.
Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd