BTC USD 86,314.2 Gold USD 4,328.21
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Umno ada pemimpin lain layak jadi PM selain Zahid, kata penganalisis

afwan83

Active+ Member
Messages
3,296
Joined
Aug 4, 2011
Messages
3,296
Reaction score
12
Points
25

Umno ada pemimpin lain layak jadi PM selain Zahid, kata penganalisis​

dafa9c60-24c2-41c1-8c57-66a688ff2351-zahid-hamidi-umno-bernama-pic-17926.jpg

Zahid Hamidi disebut sebagai antara individu yang berpotensi menjadi ‘bakal perdana menteri’ susulan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno minggu lalu dengan Khairy Jamaluddin menyifatkannya amanat seorang ‘prime minister-in-waiting’. (Gambar Bernama)

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata Umno tidak perlu mengetepikan Zahid sebagai presiden, namun parti teras Barisan Nasional (BN) itu wajar memberi lebih banyak ruang kepada beberapa pemimpin kanannya.

Menurutnya, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan atau Tok Mat, serta Naib Presiden Johari Ghani dan Khaled Nordin antara pemimpin yang berkemampuan mengambil alih kepimpinan parti apabila tiba masanya.

“Umno perlu menawarkan pilihan. Parti itu mempunyai barisan pemimpin yang sangat berkebolehan untuk menggantikan Zahid apabila tiba masanya, seperti Tok Mat dan Johari.

“Kedua-duanya pemimpin yang sangat berkebolehan dan dilihat tidak mempunyai beban atau liabiliti seperti Zahid,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata langkah memberi lebih banyak ruang kepada pemimpin berkenaan juga boleh menjadi strategi untuk membantu Umno menampilkan imej yang lebih bersih dan tegas dalam isu rasuah, selepas beberapa pemimpinnya sebelum ini dikaitkan dengan kes rasuah.

Zahid sendiri masih belum memperoleh pembebasan penuh dalam kes Yayasan Akalbudi.

Beliau dilepaskan tanpa dibebaskan DNAA pada September 2023 bagi 47 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah, dan kemudian memohon pembebasan penuh.

“Dalam keadaan ini, Umno memerlukan barisan pemimpin baharu, termasuk Khaled, bagi menunjukkan parti itu tidak kembali kepada cara lama dengan membiarkan isu rasuah membayangi kepimpinannya,” kata Azmi.

“Saya fikir perkara ini sangat penting sekiranya Umno dan PAS mahu membentuk kerajaan Persekutuan dengan sokongan parti Borneo seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).”

Minggu lalu, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyifatkan Zahid sebagai seorang yang berpotensi menjadi ‘prime minister-in-waiting’ susulan ucapan dasar presiden Umno itu pada perhimpunan agung parti.

Khairy, yang juga bekas menteri, turut menyifatkan ucapan itu sebagai datang daripada sebuah ‘government-in-waiting’, sekali gus memberi gambaran mengenai kemungkinan kerajaan Persekutuan diterajui Umno selepas PRU16.

Walaupun BN ketika ini hanya mempunyai 30 kerusi Parlimen, keyakinan gabungan diterajui Umno itu meningkat susulan kemenangan besar dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Di Negeri Sembilan, kerjasama BN-Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh majoriti dua pertiga apabila kedua-duanya memenangi 25 daripada 36 kerusi DUN.

Umno kini berharap dapat meneruskan momentum itu pada PRN Melaka yang dijangka berlangsung sebelum akhir tahun, selain PRU16 yang mahu diadakan lebih awal.

Bagaimanapun, Oh Ei Sun dari Singapore Institute of International Affairs melihat gambaran mengenai ‘bakal perdana menteri’ dan ‘kerajaan menunggu’ itu sebagai tidak lebih daripada gertakan menjelang pilihan raya.

“Ia sekadar usaha untuk membina momentum dan sebagainya. Tidak lebih daripada itu,” katanya.
 

KJ perjelas kenyataan 'bakal PM' terhadap Ahmad Zahid​



Khairy Jamaluddin. FOTO NSTP.
Khairy Jamaluddin. FOTO NSTP.


Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menjelaskan gelaran 'bakal Perdana Menteri' (prime minister-in-waiting) yang dirujuknya terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukanlah satu bentuk sokongan untuk melantik pemimpin itu sebagai Perdana Menteri.

Khairy berkata, kenyataannya itu dibuat berdasarkan penilaiannya terhadap ucapan Ahmad Zahid yang dilihat menggariskan visi lebih luas untuk Malaysia, berbanding ucapan yang berteraskan politik parti semata-mata.

"Saya katakan ia adalah ucapan seorang 'bakal Perdana Menteri'. Sudah tentu kritikan dangkal daripada sesetengah pihak mendakwa ia cuma melepaskan batuk di tangga atau mengampu.

"Bukan itu maksud saya. Maksud yang saya ingin sampaikan ialah beliau telah memikirkan apa yang mahu dilakukannya sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri kelak," katanya dalam podcast Keluar Sekejap.

Khairy berkata, beliau pernah mendengar pelbagai ucapan dasar Presiden UMNO sejak era Tun Dr Mahathir Mohamad dan sudah terbiasa dengan gaya ucapan Ahmad Zahid sebagai presiden parti.

Namun, beliau menyifatkan ucapan terkini Ahmad Zahid agak menonjol kerana menggariskan apa yang dilihatnya sebagai visi untuk negara.

"Saya fikir ini kali pertama beliau menggariskan visi untuk negara. Ia bukan sekadar ucapan politik, ia ucapan mengenai negara, satu visi untuk negara," katanya.

Khairy merujuk kepada penekanan Ahmad Zahid berhubung 'Agenda Malaysia Biru' dan lapan inisiatif strategik yang bertujuan menyediakan Malaysia menjelang sambutan ulang tahun ke-100 kemerdekaan pada 2057.

Antara bidang yang digariskan termasuk sains dan teknologi, ekonomi masa hadapan, transformasi sosioekonomi luar bandar dan keterangkuman kaum, serta cadangan berkaitan hasil kerajaan termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Ini bukan ucapan presiden parti yang biasa. Ini adalah ucapan seseorang yang sedang 'menjalani uji bakat' untuk jawatan Perdana Menteri," katanya.

Bagaimanapun, Khairy menegaskan sama ada Ahmad Zahid akhirnya akan menjadi Perdana Menteri atau tidak, ia bergantung sepenuhnya kepada keputusan pengundi.

"Sama ada beliau akan menjadi Perdana Menteri atau tidak, itu tertakluk kepada penentuan pengundi. Namun point saya di sini, ini bukan ucapan presiden parti yang biasa.

"Ia adalah ucapan seseorang yang mempunyai cita-cita lebih besar, yang menyampaikan mesej bahawa 'Saya sedia, ini visi saya apabila menjadi Perdana Menteri nanti'," katanya.

 
Back
Top
Log in Register