KUALA LUMPUR – Ti ndakan sekumpulan ahli kariah masjid merakam dan menyebarkan video seorang anak muda yang ditangkap selepas mencuri tabung masjid di Kilometer 28, Kuang, Rawang tidak sepatutnya berlaku.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, walaupun pemuda itu dimandikan oleh imam masjid bertujuan untuk menghukum dan mendidik, namun ia tidak sewajarnya menjadi tontonan umum.
“Tindakan menyebarkan video pemuda itu kepada tontonan khayalak umum adalah jelas satu perbuatan kurang elok khususnya kepada mental pemuda tersebut.
“Bayangkan video tersebut akan kekal terpapar di media sosial sampai bila-bila, sudah tentu kesan negatif berpanjangan akan kembali kepada pemuda tersebut walaupun telah bertaubat.
“Kesan trauma akan wujud dan harus diingat anak muda itu baru berusia 19 tahun, dengan didikan yang betul pasti mampu bangkit berubah dan berjaya di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, tindakan menyebarkan video rakaman remaja itu dimandikan boleh dielakkan kerana dia telah pun dijatuhi hukuman oleh pihak mahkamah semalam.
“Mendedahkan aib bukannya mencerminkan ajaran agama Islam yang sebenar.
“Simpati orang ramai kepada pemuda itu juga bukan bermakna menyokong perbuatan mencuri.
“Kenapa video itu didedahkan kepada umum, ini adalah aib dan sudah tentu keluarga pemuda tersebut juga turut menerima kesan negatif.
“Islam sendiri melarang keras daripada membuka aib sesama Islam,” katanya.
Beliau juga sedia membayar denda RM4,000 yang dikenakan mahkamah terhadap pemuda terbabit.
– MalaysiaGazette
Islam sendiri melarang keras daripada membuka aib sesama Islam. - Datuk Zulkarnain Mahdar.
malaysiagazette.com