BTC USD 84,278.0 Gold USD 4,290.40
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Tragedi Subang Airport

puyol

CG Top Poster Club
gem
Messages
43,872
Top Poster #10
Joined
Jun 28, 2011
Messages
43,872
Reaction score
7,409
Points
481
Tragedi di LTAS ragut tiga nyawa
Oleh Nasron Sira Rahim
[email protected]


Orang ramai terutama penumpang tersentak api tiba-tiba marak di lapangan terbang

SEKITAR jam 2.30 pagi pada 6 April 1992, secara tiba-tiba kepulan asap tebal memenuhi ruang antara pintu dua dan tiga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAB) di Subang, Selangor.

Mereka yang menyedari kejadian itu tersentak. Mereka mula sedar bahawa ada kejadian cemas berlaku di dalam kompleks bangunan berkenaan.

Tanda tanya yang tercetus di minda tidak lama selepas itu, apabila dengan pantas kepulan asap itu mula merebak sehingga hampir ke seluruh terminal. Bahang panas pula semakin kuat terasa membakar kulit.

Api mula kelihatan marak membakar dan ketika itulah mereka semakin sedar bahawa lapangan terbang terbabit sedang terbakar!

Keadaan seterusnya menjadi semakin panik dengan orang ramai mula meluru keluar bagi menyelamatkan diri.

Pasukan Bomba Jabatan Penerbangan Awam (DCA) yang berpangkalan berhampiran lapangan

terbang menerima panggilan kecemasan yang memaklumkan mengenai bencana itu beberapa minit kemudian dan segera bergegas ke tempat kejadian.

Sebaik lima jentera bomba dengan 13 anggota tiba di lokasi kejadian, gerakan memadam kebakaran dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri terperangkap segera dikerahkan.

Bagaimanapun anggota bomba menghadapi kesukaran untuk memadam kebakaran kerana tiga pintu utama ke terminal berkenaan dikunci. Api membakar dari dalam dan kepulan asap semakin menebal.

Tanpa banyak pilihan, anggota bomba terpaksa memecahkan cermin setebal empat inci untuk

masuk dan memadamkan api yang semakin marak memusnahkan segala peralatan yang terdapat di dalam bangunan itu.

Dalam kesukaran meredah kepulan asap tebal bersama bahang api panas, tiga mangsa yang ditemui terperangkap di dua bilik berasingan di pintu berlepas 3 dan 4 dalam bangunan itu berjaya dibawa keluar.

Keadaan semakin mencemaskan apabila ketiga-tiga mangsa yang terdiri daripada pengawal keselamatan itu mula tidak sedarkan diri sebaik berjaya dibawa ke luar.

Api semakin marak menghalang, bahang panas semakin memeritkan dan asap semakin menyesakkan. Apabila anggota bomba DCA gagal mengawal api menyebabkan mereka segera meminta bantuan bomba Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Jam menunjukkan jam 3.02 pagi apabila satu panggilan turut diterima Balai Bomba Shah Alam yang meminta pihak terbabit tampil memberi bantuan terhadap usaha memadamkan kebakaran di LTAB.

Seterusnya 12 jentera bomba, termasuk dari DCA, Pangkalan Tentera Udara Diraja

Malaysia Subang, Petaling Jaya, Klang dan Shah Alam, dengan lebih 100 kekuatan anggota memenuhi perkarangan bangunan itu bagi mengekang dan memadamkan kemaraan api.

Ketika itu jugalah tiba-tiba satu letupan kedengaran dari dalam apabila api yang mula menjalar menyambar arak dan pewangi yang dijual di kedai bebas cukai di lapangan terbang berkenaan.

Selepas lebih enam jam bertungkus lumus melawan api, akhirnya kebakaran itu dapat dipadamkan ketika mentari pagi mula menjelma dari ufuk timur.

Kebakaran itu memusnahkan 28 kedai bebas cukai di lapangan terbang berkenaan, kerugian dianggarkan lebih RM20 juta, tetapi lebih memilukan adalah ia mengorbankan tiga mangsa berikutan terhidu asap yang banyak.

Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad; Menteri Besar Selangor,

Tan Sri Muhammad Muhd Taib; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Megat Junid Megat Ayob, adalah antara orang kenamaan pertama melawat tempat kejadian kira-kira jam 8.30 pagi.

Walaupun api sudah berjaya dipadamkan, kebakaran yang dipercayai bermula dari sebuah kedai menjual coklat itu menyebabkan kepulan asap tebal menyelubungi sebahagian besar lapangan terbang dan semua pekerja pembersihan hanya dibenarkan masuk dengan memakai topeng gas. Kepulan asap itu terus menyelubungi lapangan terbang selama lebih 30 jam.

Terminal Satu LTAB juga ditutup bagi semua pesawat antarabangsa keluar masuk dari jam 2 pagi hingga 6 petang hari kejadian bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan manakala kebanyakan penerbangan antarabangsa yang dijadual mendarat di situ diarahkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Kerajaan membelanjakan RM3.5 juta untuk membaikpulih serta membersihkan Terminal Satu LTAB bagi membolehkan ia beroperasi semula beberapa bulan kemudian.

Seterusnya satu lembaga siasatan ditubuhkan bagi menyiasat punca sebenar kejadian dan selepas beberapa bulan menjalankan siasatan, akhirnya pada November tahun sama, satu laporan didedahkan kepada umum.

Terbakar dua kali dalam setahun

TRAGEDI kebakaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAB) di Subang, Selangor pada 6 April 1992 bukanlah kali pertama dan terakhir berlaku di kompleks bangunan berkenaan.

Ada beberapa lagi kejadian sama dilaporkan terjadi di lapangan terbang berkenaan selepas itu.

Malah, tragedi kebakaran pada 6 April 1992 ialah yang kedua dalam sejarah penubuhannya selepas satu kebakaran lain pada 1 Februari 1983 memusnahkan kira-kira 35,000 surat dan bungkusan, mesin X-ray bernilai RM200,000 dan kabinet serta peralatan pos bernilai kira-kira RM50,000 di pejabat sementara pengasingan surat.

Sebelum itu, ketika lapangan terbang itu ditutup untuk kerja pengubahsuaian pada 1982, ia turut mendapat perhatian muka depan akhbar pada 1 November 1981 apabila lampu siling di balai berlepas terhempas ke lantai sehingga mengakibatkan 20 orang cedera.

LTAB yang mula beroperasi pada 1965, melalui beberapa program pembaikan dan pembesaran sepanjang tempoh operasinya sehingga mampu mengendalikan 10,000 penumpang setiap hari.

Program pembaikan secara besar-besaran yang siap pada 1983 membelanjakan kira-kira RM120 juta untuk kerja pembaikan dan pembesaran bangunan utama lapangan terbang atau Terminal Satu.

Pada Oktober 1989, kompleks bebas cukai yang meliputi kawasan seluas 2,610 meter persegi di Terminal Satu dibuka untuk perniagaan dan ia terbakar dalam tragedi 6 April 1992 itu.

Belumpun setahun selepas kejadian kebakaran yang meragut tiga nyawa itu, negara sekali lagi dikejutkan dengan kebakaran di LTAB pada 15 Oktober 1992.

Kali ini, Blok Utara Terminal Satu LTAB yang menempatkan Pusat Kawalan Trafik Udara dilengkapi sistem radar, musnah dalam kebakaran awal pagi sehingga kerugian dianggarkan antara RM50 dan RM60 juta.

Antara peralatan yang musnah ialah sebuah sistem radar canggih RM24 juta diimport dari Perancis yang masih dalam peringkat percubaan. Turut musnah ialah Balai Polis LTAB, Pejabat Pengurusan dan Keselamatan Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Pejabat Pengurus LTAB, pejabat pembayaran pas kastam dan stesen bas di tingkat bawah bangunan dua tingkat itu.

Menara Kawalan Trafik Udara setinggi 43 meter di tengah bangunan itu juga musnah bersama sistem radar berkenaan.

Kebakaran itu dipercayai bermula dari sebuah bilik komputer di Pusat Kawalan Trafik Udara di tingkat satu, kira-kira 5.15 pagi. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dua tahun kemudian iaitu pada 13 Ogos 1994, satu kebakaran kecil di sebuah bilik radar berhampiran terminal tiga LTAB menyebabkan lima jentera bomba dari Petaling Jaya, Damansara, DCA dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dikejarkan untuk memadamkan kebakaran.

Bagaimanapun kebakaran yang berpunca daripada fius yang dipercayai tidak diselenggara dengan baik itu menyebabkan negara kerugian RM16.5 juta.

Kini, operasi penerbangan di LTAB yang kemudian dikenali Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) pada Mac 1996 sudah dihentikan sepenuhnya selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang mengambil-alih penerbangan antarabangsa dan domestik terpilih pada 1998.

Apa yang pasti, tragedi kebakaran yang berlaku di lapangan terbang berkenaan akan terus kekal di ingatan pihak yang terbabit sebagai satu daripada memori hitam dalam sejarah penubuhannya.
 
arcintap-5nxl6ccy9pc9f7r450s_layout.jpg


arcintap-5nxl6hk4mqu12pefw50s_layout.jpg


arcintap-5nxljgbc72ua6hd350s_layout.jpg



INFO

Laporan Siasatan Lembaga Penyiasatan Kebakaran Blok Selatan Terminal Satu, LTAB pada 6 April 1992

Bukti dikemukakan Jabatan Kimia dan Jabatan Bekalan Elektrik mendapati kebakaran bermula di kedai bebas cukai di Lot 16 berdasarkan tiang besi terpintal dan hampir lebur dijumpai di bahagian atas kedai berkenaan yang menjadi tempat kebakaran bermula.

Corak kebakaran pada penyokong kayu yang bersandar pada tiang konkrit bahagian hadapan kedai Lot 16 menunjukkan api merebak dari siling ke bahagian bawah.

Pengalir elektrik dengan hujungnya membulat (lebur) dijumpai di antara sisa di kawasan pembakaran juga menunjukkan api bermula dari siling.

Haba yang dikeluarkan akibat kerosakan elektrik itu menyalakan siling lapisan kedua yang dibuat pekedai menggunakan kayu.

Asap merebak melalui ruang siling kerana asap tidak kelihatan di balai berlepas tiga, empat atau lima sehingga 2.40 pagi.

Kebakaran itu juga tidak dikesan awal kerana kedai berkenaan ditutup dengan pintu logam.

Lembaga Penyiasatan mengemukakan beberapa sebab kebakaran tidak dapat dikesan dan dikawal di peringkat awal:

Alat mencegah kebakaran seperti pancur air tidak berfungsi sepenuhnya.

Panel kawalan penggera api tidak berada dalam keadaan baik atau terletak di tempat salah.

Hos bomba tidak digunakan ketika kebakaran dikesan.

Cermin kaca tanda amaran kebakaran juga tidak dipecahkan.

Penggunaan kamera litar tertutup tidak dibuat mengikut peraturan.

Pegawai yang bertugas ketika kejadian berlaku juga didapati cuai selepas penerbangan terakhir. Mereka juga menghadiri jamuan Hari Raya manakala yang lain tertidur di stesen mereka.

Pengawasan dan rondaan yang dilakukan petugas keselamatan tidak dilakukan dengan teliti malah petugas yang menjaga kamera litar tertutup (CCTV) tertidur ketika bertugas menyebabkan tanda awal kebakaran tidak dapat dikesan.

Latihan kebakaran tidak diadakan secara sistematik kerana pekerja kedai bebas cukai tidak pernah terbabit dalam latihan seumpama itu.

Sistem pendawaian di kedai bebas cukai dibuat tanpa peraturan kerana ada banyak sambungan dan pindaan tidak diawasi DCA.

Kunci pintu kecemasan tidak diletak di tempat khas bagi menghadapi sebarang kecemasan.
 
Last edited:
Gila yang salah, mcm mana bagunan ni di luluskan, sapa la yang on duty check semua benda2 tu. Panic pun sama jugak
 
Semoga tiada kes kebakaran di KLIA dan KLIA2.
 
Hasilnya sila tgk terminal subang sekarang.

Rasanya lagi cantik drpd klia.
 
Gila yang salah, mcm mana bagunan ni di luluskan, sapa la yang on duty check semua benda2 tu. Panic pun sama jugak

Mungkin Sebab beberapa Kali renovate sampai tersasar jauh dari pelan Asal..

Pegawai yang meluluskan cf Dan dca pon macam banyak terlepas pandang..
 
Kesedaran pencegahan kebakaran bangunan di Malaysia masih rendah, apatah lagi tahap kesedaran ketika berlakunya tragedi itu.
 
Back
Top
Log in Register