Tips Urus Kewangan dengan Bijak. Elak Hutang!

Recommended Brokers


easicircle

Fun Poster
Joined
May 27, 2014
Messages
385
Reaction score
81
Points
20
Setiap individu perlu tahu bagaimana cara untuk menguruskan kewangan dengan bijak. Jika tidak akibatnya risiko untuk anda membebankan diri dengan pelbagai hutang adalah tinggi dan akhirnya mungkin terjerat ke kancah muflis. Menyentuh hal pengurusan kewangan ini bukan perkara yang mudah. Masing-masing mempunyai cara untuk mengurus kewangan samada secara bijak atau sebaliknya.

Bagaimana untuk mentadbir kewangan dengan baik? Terutama untuk golongan muda dan mereka yang lemah dalam pengurusan kewangan. Kebanyakan sering terbeban dengan pelbagai hutang. Jawapannya ada pada diri sendiri kerana hanya anda yang mampu mengubah corak urus tadbir kewangan ke arah positif atau negatif. Asas meminjam atau berhutang untuk kadar selamat sebenarnya tidak melebihi 40 peratus daripada pendapatan. Berikut beberapa tips urus kewangan yang boleh dipraktikkan.

Hutang Jahat


Maka bertuah bagi mereka yang bekerja di organisasi besar di mana berpeluang mendapat bonus tinggi setiap tahun. Oleh itu, gunakan duit bonus sehabis baik bukan menghabiskan kesemuanya untuk memenuhi kehendak semata-mata. Cara terbaik adalah menggunakan wang bonus untuk melangsaikan hutang jahat seperti pinjaman peribadi dan kad kredit. Anda pasti sudah tahu caj faedah dikenakan untuk kedua-dua pinjaman ini adalah tinggi jadi mengapa perlu tunggu bertahun-tahun melangsaikan jumlah pinjaman beserta faedah jika anda boleh mencari jalan melangsaikan jumlah penuh.

Pinjaman Pendidikan

Kebanyakan daripada graduan lebih gemar mengelak untuk membayar pinjaman pendidikan kerana masih belum mendapat pekerjaan yang membolehkan mereka membayar secara konsisten. Namun untuk mereka yang telah pun bekerja selama beberapa tahun sudah pasti tiada alasan untuk menangguhkan pembayaran.

Salah satu cara boleh anda gunakan untuk bayar kembali hutang pinjaman pendidikan dengan menggunakan wang simpanan pekerja. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut menyediakan kemudahan serta pilihan untuk para pencarum mengeluarkan simpanan daripada akaun kedua bagi tujuan pendidikan. Jadi mengapa perlu menunggu hingga ke 10 tahun untuk membayar kembali pinjaman pendidikan. Walaupun simpanan KWSP anda hanya sekadar cukup membayar separuh daripada jumlah hutang pinjaman. Baki selebihnya boleh gunakan bonus tahunan, perlu ada sedikit pengorbanan untuk memastikan hidup tidak dibebani hutang.

Dengan melunaskan hutang pendidikan (PTPTN) juga dapat memudahkan anda mendapat kelulusan pinjaman hartanah atau pinjaman lain. Amat penting untuk pihak bank menyemak rekod CCRIS anda untuk mengidentifikasikan corak pembayaran pembayaran anda. Walaupun setiap bank mempunyai kadar kriteria kredit yang berbeza namun jika corak pembayaran anda kurang baik sering tertunggak maka peluang untuk mendapatkan pinjaman amatlah rendah.

Ketepikan 10 Peratus

Demi mencapai impian perlu ada usaha dan konsisten untuk mencapai apa yang diingini. Sebagai contoh jika anda ingin menurunkan berat badan, perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah dengan menjaga pemakanan dan juga bersenam. Sama juga jika anda ingin mengurus kewangan dengan baik. Konsistensi amat penting untuk menjadikan anda seorang yang berdisiplin. Jika sebelum ini mungkin anda menyimpan tetapi hanya daripada baki lebihan gaji. Jadi bagaimana sekirannya anda mula menyimpan 10% daripada gaji anda untuk simpanan tetap. Simpanan tetap ini penting di waktu kecemasan seperti kereta rosak, kesihatan, diberhentikan kerja dan sebagainya. Tapi harus ingat hanya gunakan simpanan ini diwaktu terdesak sahaja jika tidak sebaiknya teruskan menyimpan secara konsisten.

Ikut Kemampuan Kewangan

Membeli berdasarkan kemampuan pendapatan bukan melebihi kemampuan. Jika ingin membeli sesuatu yang bakal memberi komitmen besar kepada anda haruslah mengikut kemampuan kewangan diri. Sama seperti jika anda merancang untuk membeli kereta atau rumah. Sebaiknya lakukan kajian dan senaraikan kos yang diperlukan sebelum dan selepas membeli. Kos sebelum seperti deposit, 'booking fees'. Kos selepas membeli seperti bayaran bulanan, penyelenggaraan bulanan, insurans, cukai tanah, pembentungan dan lain-lain.

Namun kos ini berbeza-beza mengikut jenis rumah atau kereta yang akan dibeli. Kebiasaannya golongan muda sering terjebak dengan pembelian kereta di luar kemampuan pendapatan kerana hanya menumpukan kepada bayaran bulanan kepada bank namun tidak tahu atau memasukkan kos penyelenggaran dan akhirnya akan terbeban dengan pelbagai kos tambahan. Menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) salah satu faktor penyumbang kepada kes muflis di kalangan golongan muda adalah kerana tidak mampu membayar kembali ansuran bulanan untuk pinjaman kereta.

Oleh itu anda haruslah bijak mengurus tadbir pendapatan supaya tidak dibelenggu dengan hutang. Konsep yang terbaik adalah apabila kita mula ukur baju di badan sendiri. Berpada-pada untuk berbelanja namun masih belum terlambat untuk menstruktur semula cara anda menguruskan kewangan dan melunaskan hutang.
 
Top
Log in Register