Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,771
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,771
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Tiga Bulan Redah Lautan Demi Amanah Negara Bawa Pulang Kapal TLDM
Kredit: Datuk Danyal Balagopal Abdullah
Meredah lautan selama hampir tiga bulan dari Cherbourg, Perancis ke tanah air pada 1973 menjadi antara episod mencabar buat 171 warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam misi membawa pulang empat kapal perang negara.
Laksamana Muda (B) Datuk Danyal Balagopal Abdullah berkata pada usia 22 tahun ketika itu, beliau bersama 170 kru lain menggalas amanah membawa pulang KD Perdana, KD Ganas, KD Ganyang dan KD Serang yang merupakan antara kapal ofensif moden terawal dimiliki TLDM dan beroperasi di Asia Tenggara.
“Saya sebagai Pegawai Pandu Arah KD Ganyang dan kru lain diberi tanggungjawab besar membawa pulang empat kapal ini ke Malaysia dan bagi kami ketika itu ia bukan sekadar membawa pulang kapal tetapi melaksanakan amanah diberikan demi negara.
“Pada masa sama, kami teruja untuk balik ke kampung kerana sebelum itu kami telah menjalani kursus dan latihan di Perancis selama setahun hingga lebih dua tahun mengikut peranan masing-masing sebagai persediaan mengendalikan kapal berkenaan,” katanya kepada Bernama.
Keempat-empat Kelas Perdana Combatante itu dibina Constructions Mécaniques de Normandie (CMN) di Cherbourg dan dilengkapi pelbagai sistem persenjataan moden termasuk peluru berpandu antikapal MM38 Exocet yang sekali gus memberikan TLDM keupayaan serangan jarak jauh.
"Kami menghadapi pelbagai cabaran sepanjang perjalanan, termasuk laut bergelora dan kerosakan kapal. Tetapi tugas perlu diteruskan. Kami perlu memastikan kapal-kapal ini sampai ke tanah air bersempena dengan sambutan Hari TLDM pada 1 Julai tahun berkenaan," katanya.
Pelayaran sejauh kira-kira 12,000 batu nautika itu dimulakan skuadron berkenaan dari Cherbourg pada pada 5 Mei 1973 tetapi terpaksa berpatah balik kira-kira enam jam kemudian akibat cuaca buruk di Teluk Biscay sebelum meneruskan pelayaran pada keesokan harinya.
Krisis di Timur Tengah yang menyebabkan Terusan Suez ditutup memaksa skuadron itu mengubah haluan dengan mengelilingi Tanjung Harapan sebelum merentasi Lautan Hindi untuk kembali ke tanah air.