combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,142
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,142
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Tiada Dokumen Pengenalan Diri JPN Dimiliki Warga Bangladesh Yang Ditahan Di Kuantan
Tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ditemui dalam pemilikan seorang lelaki warga Bangladesh yang ditahan selepas disyaki memiliki sebuah pasport Malaysia bukan miliknya dalam operasi khas di Kuantan, Pahang, semalam.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan lelaki itu ditahan hasil operasi bersama Jabatan Imigresen (JIM) susulan risikan media sosial atau Open Source Intelligence (OSINT) berhubung penularan gambar seorang individu memegang pasport Bangladesh bersama Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).
"Hasil risikan awal mendapati individu terbabit aktif di beberapa platform media sosial termasuk Facebook, TikTok dan Threads dan dipercayai bekerja dalam sektor pembinaan di Malaysia.
"Pada masa sama, individu itu turut memaparkan pasport Malaysia yang disyaki bukan miliknya, sekali gus menimbulkan keperluan untuk tindakan pengesanan dan pengesahan segera oleh pihak berkuasa," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan JPN akan terus memperkukuh keupayaan risikan, perkongsian maklumat dan kerjasama strategik bersama JIM, polis dan agensi penguat kuasa lain bagi membanteras penyalahgunaan identiti, pemalsuan dokumen serta sebarang ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan sistem pengenalan diri negara.
Menurut JPN lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana pasport yang bukan miliknya diperoleh, tujuan pemilikan dan sama ada terdapat unsur penyalahgunaan dokumen perjalanan, penyamaran identiti atau kesalahan lain di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
JPN turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti yang disyaki melibatkan penyalahgunaan identiti atau dokumen perjalanan negara.
Setiap maklumat yang diterima akan disiasat secara profesional dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang.
Sebelum ini tular dalam platform media sosial memaparkan seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh memegang dua pasport yang didakwa PMA dan pasport Bangladesh.