Masalah Yang Memeningkan Kepala Pengguna Twitter
Sejak jutawan Elon Musk mengambil alih Twitter, platform tersebut telah dilanda pelbagai isu serta memeningkan kepala pengguna dengan pelaksanaan ‘paywall’. Bukan itu sahaja, akaun yang telah disahkan turut tertakluk kepada ‘paywall’ tersebut yang bermakna pengguna perlu melanggan Twitter jika ingin mengekalkan tanda ‘verified’ berwarna biru. Terkini, pengguna berdepan dengan isu untuk melihat ciapan dan Musk mengumumkan bahawa mereka mengenakan had sementara “untuk menangani tahap pengikisan data dan manipulasi sistem yang melampau.”
Pada mulanya, dia berkata akaun yang disahkan dihadkan untuk membaca 6,000 ciapan sehari, manakala akaun tidak disahkan hanya boleh membaca sehingga 600 ciapan. Akaun tidak disahkan baharu pula cuma boleh melihat 300 ciapan sehari. Nilai ini kemudian dinaikkan kepada 10,000, 1,000 dan 500 masing-masing. Aplikasi tersebut dilihat telah kembali kepada asal, tetapi tidak jelas sama ada had tersebut masih diguna pakai atau tidak.
Aplikasi Baharu Dalam Dunia Media Sosial
Threads menggunakan susun atur dan antara muka (interface) Instagram yang berasaskan teks. Pengguna boleh berkongsi gambar, tetapi garis masa disusun menyerupai Twitter dengan teks sebagai fokus utama berbanding gambar di platform itu. Berbeza dengan Twitter, Threads meletakkan 500 had karakter bagi setiap hantaran. Twitter mengekalkan had 280 bagi akaun percuma, manakala pemilik akaun yang dilanggan boleh mengarang sehingga 10,000 karakter. Video yang dimuat naik di Threads boleh sehingga 5 minit lamanya.
Satu-satunya kekurangan Threads yang dilihat setakat ini adalah pengguna hanya boleh log masuk ke satu akaun Threads bagi satu peranti, tidak seperti Instagram yang membenarkan penggunaan banyak akaun. Di samping itu, terdapat pertanyaan tentang perbendaharaan yang sesuai untuk Threads. Dengan Twitter yang telah wujud lebih satu dekad, ia telah mempunyai perbendaharaan katanya yang tersendiri. Walaupun mungkin tidak diketahui di seluruh dunia, perkataan “tweet” kelihatan telah menjadi satu perbendaharaan kata yang diterima pakai.
Jadi, bagaimana dengan perbendaharaan kata untuk Threads? Kami mengalu-alukan cadangan dari anda!