Pemilik restoran diberi amaran tidak perdaya pelanggan Islam
PEGAWAI Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor (KPDNHEP), bersama Kementerian Kesihatan Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Klang, Jabatan Islam Selangor (JAIS) dan Suruhajaya Syarikat Malaysia (SSM) melakukan pemeriksaan pada restoran mamak di sekitar Bandar Bukit Tinggi dalam Operasi dan Pemeriksaan Restoran Mamak. - NSTP/Roslin Mat Tahir
KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada semua pengusaha premis makanan di negeri ini supaya tidak sesekali memperdaya atau mengelirukan pengguna terutama umat Islam.
Kesalahan itu termasuk ketiadaan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta mempamerkan tulisan dan memasang bacaan ayat suci al-Quran di premis makanan walaupun pemiliknya bukan beragama Islam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam, berkata pihaknya bersama Jabatan Agama Islam (JAIS) amat memandang serius perkara itu dan akan menjalankan pemantauan menyeluruh secara berperingkat.
“Kita sememangnya mengambil maklum mengenai aduan berkaitan premis yang didapati mengelirukan dan menyebabkan kebimbangan kepada pengguna Islam.
“Sepanjang tahun lalu, kita menerima sebanyak 22 aduan mengenai perkara itu membabitkan status halal yang merangkumi bukan saja tiada SPHM, malah penggunaan bahan makanan di premis makanan.
“Justeru, kita meminta pemilik restoran mengelak daripada membuat penampilan yang boleh memperdaya dan mengelirukan pengguna seolah-olah premis itu menjual makanan halal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjalankan operasi pemeriksaan terhadap premis makanan di sekitar Bandar Bukit Tinggi di sini, petang tadi.
Hadir sama, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Abdul Haziq Izzat Abdul Wahid.
Pemeriksaan bermula jam 3 petang itu disertai seramai 38 pegawai dan anggota penguatkuasa KPDNHEP negeri, JAIS, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Kementerian Kesihatan.
Dalam operasi selama dua jam itu, sebanyak tiga restoran dikenakan tindakan atas kesalahan berkaitan tahap kebersihan, halangan dan tidak mematuhi syarat SSM.
Kata Azman, pengguna turut dinasihatkan membuat rujukan kepada pihak berkaitan sekiranya mahu sebarang maklumat tepat mengenai status premis makanan halal.
Dalam perkara berasingan, beliau berkata sebanyak tiga premis di Banting diarah tutup serta merta kerana melakukan kesalahan berkaitan tahap kebersihan semalam.
“Dalam operasi bersepadu itu, kita turut mengesan kesalahan penandaan harga di premis yang diperiksa bersama agensi berkaitan termasuk Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL),” katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/w...oran-diingatkan-tidak-perdaya-pelanggan-islam