ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
KUANTAN - Penduduk di kawasan Aspa Cottage di sini bimbang melihat keadaan tasik yang kini bertukar warna menjadi merah disebabkan kerja-kerja mengorek bauksit di kawasan tersebut.
Seorang penduduk, Abu Bakar Mahusin, 60, berkata, sejak beberapa bulan lalu ketika aktiviti mengorek bauksit ini aktif, keadaan tasik berhampiran dengan rumahnya menjadi keruh di samping timbunan tanah hasil daripada kerja-kerja mengorek.
Menurutnya, melihat keadaan tanah yang ditambun dekat tasik tersebut, ia boleh mengundang pelbagai masalah kepada penduduk terutamanya kepada dia sekeluarga.
"Kini saya jarang keluar rumah kerana udara yang tidak sihat. Pintu tingkap rumah juga tidak lagi dibuka kerana bimbang debu-debu dari kawasan tersebut masuk ke dalam rumah.
"Rumah saya adalah yang paling berisiko sekiranya terjadi apa-apa di kawasan tasik tersebut. Banjir 2013 yang lalu, rumah saya sudah dinaiki air dan bimbang kejadian ini akan berulang kembali jika kawasan tasik menjadi cetek.
"Apa yang saya lebih bimbang jika banjir lumpur melanda," katanya.
Abu Bakar berkata, sejak tinggal di kawasan ini sepuluh tahun lalu, suasana persekitaran hari ini adalah yang paling buruk.
Menurutnya, kawasan ladang kelapa sawit yang berhampiran kawasan perumahan ini dahulunya dipenuhi dengan pokok-pokok. Bagaimanapun, kini kawasan tersebut telah gondol akibat daripada aktiviti mengorek bauksit.
"Saya tiada masalah jika kawasan itu dikorek ataupun digali untuk mencari bauksit. Tetapi melihat kepada risiko yang bakal dihadapi, saya gesa campur tangan pihak atasan bagi mengatasi masalah ini.
"Apatah lagi sebelum ini tasik berkenaan merupakan kawasan tadahan air," katanya.
Sementara itu, Pengerusi KRT Aspa Cottage, Azahari Din berkata, isu bauksit berhampiran kawasan ini sudah berlaku sejak empat bulan lalu.
"Kesan jangka pendek seperti habuk kemerahan sudah mencemari penduduk di sini, manakala kesan jangka panjang pula mungkin akan berlaku apabila musim tengkujuh nanti.
"Banjir lumpur akan melanda Aspa Cottage dan kawasan tasik yang menjadi kawasan tadahan hujan ini akan ditimbus dengan tanah sedikit demi sedikit," katanya.
Aduan penduduk di Aspa Cottage mengenai timbunan sisa bauksit yang ditimbus pengusaha bauksit di kawasan berhampiran perumahan itu akan cuba diselesaikan segera.
Bawa isu ke Sidang Dun
Adun Beserah, Andansura Rabu berkata beliau akan turun padang dan menyiasat perkara berkenaan sebelum mengemukakan masalah berkenaan isu bauksit kepada kerajaan negeri.
"Saya tidak menerima sebarang makluman berhubung penimbusan sisa bauksit di kawasan tasik itu daripada penduduk setempat sebelum ini.
"Namun saya akan berusaha menyelesaikan masalah berkenaan memandangkan kerja-kerja mengorek bahan mineral itu bukan sahaja mengundang pencemaran alam sekitar tetapi juga mengancam kesihatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Dalam pada itu, katanya, pada 11 Ogos nanti, beliau akan mengemukakan perkara ini dalam Sidang Dun dan mahu kerajaan segera menangani permasalahan berkenaan.
"Saya akan berjumpa dengan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Exco berkaitan serta menggesa kerajaan mencari langkah bagi mengatasi masalah ini.
"Analisis telah membuktikan sungai kita telah tercemar dengan bahan logam berat dan bukan sahaja alam sekitar. Kerajaan sepatutnya cuba menyelesaikan masalah ini," katanya.
Last edited: