ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
MELAKA 23 Mac - Menyedari pentingnya usaha menggalakkan minat di kalangan generasi muda melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, pelbagai usaha diadakan banyak pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT), pihak swasta dan sebagainya.
Usaha menanam minat serta memberi pendedahan mengenai kepentingan melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi selepas persekolahan tidak pernah putus malah sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Malah, ia amat digalakkan dan menjadi sebahagian daripada aspirasi kerajaan dalam memastikan golongan muda tidak terlepas daripada mendapat pelbagai faedah disediakan melalui peluang tersebut.
Sehubungan itu, Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengambil langkah proaktif menyokong usaha tersebut dengan menganjurkan Karnival Pendidikan Mara di pekarangan Pasar Raya Besar Mydin di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini khusus bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih hala tuju pendidikan mereka.
Program selama dua hari bermula 14 hingga 15 Mac lalu itu begitu menggalakkan dengan dihadiri lebih 10,000 pengunjung terutama golongan pelajar untuk mendapatkan maklumat serta tips berguna memilih kursus pengajian yang bersesuaian.
Karnival yang bukan pertama kali diadakan di negeri ini bermula seawal 10 pagi melibatkan sebanyak 60 IPT dari seluruh negara termasuklah IPT di bawah Mara, universiti awam dan swasta yang mempromosikan program pengajian masing-masing.
Sambutan menggalakkan diterima itu sekali gus mencetuskan idea kepada pihak Mara yang mahu menjadikannya karnival tahunan serta diperluaskan kepada skala lebih besar pada masa akan datang.
Idea asal penganjuran Karnival Pendidikan Mara itu dicetuskan hasil daripada hasrat agensi itu untuk memberi kefahaman kepada pelajar serta ibu bapa dalam menentukan hala tuju dan karier pada masa hadapan.
Sempena karnival tersebut, pelbagai acara diadakan bersesuaian dengan temanya termasuklah gerai pameran yang mempamerkan mengenai pendidikan untuk pelajar lepasan pelajar SPM dan juga pameran kerjaya.
Lebih menarik lagi, karnival kali ini memperkenalkan segmen peluang pendidikan dan kerjaya serta menonjolkan segmen kemahiran dan inovasi untuk para pengunjung mengenali lebih dekat bidang yang ditawarkan.
Kebiasaannya, karnival pendidikan yang diadakan itu memberi ruang kepada semua wakil dari sektor pendidikan untuk berkumpul di bawah satu bumbung selain memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat terkini mengenai program pengajian profesional, ijazah, diploma, sijil daripada institusi diiktiraf di seluruh negara.
Para pengunjung bukan dari kalangan pelajar turut mendapat faedah daripada karnival tersebut kerana ia turut menawarkan perkongsian maklumat mengenai bidang-bidang lain termasuklah keusahawanan dan kewangan daripada agensi berkaitan.
Pengarah Mara negeri, Fazli Rizal Ismail berkata, selain 60 IPT terlibat, turut terdapat sebanyak 10 gerai pameran usahawan dan pihak bank yang menawarkan perkhidmatan dalam menggalakkan golongan muda menceburi bidang perniagaan dari peringkat awal.
Menurutnya, Mara berharap dengan membawa konsep Roadshow Karnival Pendidikan Mara 2015 itu dapat menjadi satu pusat perhentian kepada para pelajar dan ibu bapa meninjau peluang pendidikan yang ada.
"Saya berharap Karnival ini dapat meningkatkan lagi penyebaran maklumat mengenai aktiviti dan program Mara yang mana secara tidak langsung akan turut meningkatkan sistem penyampaian Mara," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau Dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, karnival tersebut turut memberi peluang kepada lepasan sekolah mendapatkan maklumat mengenai peluang melanjutkan pelajaran.
"Selain memberi panduan serta hala tuju pendidikan kepada para lepasan SPM, karnival ini juga telah menjadi satu alternatif kepada IPT dan Institusi Pendidikan Mara (IPMa) untuk mempromosikan sendiri kursus sedia ada untuk ditawarkan kepada pelajar," katanya yang merasmikan karnival tersebut.