combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Tanggungjawab Kerajaan Pastikan Individu Pegang Amanah Negara Bersikap Jujur - PM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan bertanggungjawab memastikan individu yang memegang amanah negara supaya sentiasa bersikap jujur.
Beliau berkata kuasa yang dipegang bukan bertujuan untuk kepentingan diri mahupun keluarga, sebaliknya satu tanggungjawab melaksanakan tugas dengan cemerlang agar hasilnya dapat dikembalikan kepada rakyat dan negara.
Mengambil contoh pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang kini merekodkan kerugian hampir RM10 bilion, Anwar berkata perkara itu disebabkan terdapat kepimpinan yang tidak amanah dalam melaksanakan tugas mereka.
“Apabila saya menjadi Perdana Menteri, saya dapat laporan FELDA berhutang hampir RM10 bilion. Ini bukan politik, ini kenyataan. Bagaimana FELDA yang dulu diurus oleh orang Melayu, mereka mengurusnya dengan cekap dan cemerlang.
“FELDA menjadi (syarikat) perladangan terbesar di dunia...untung berbilion ringgit satu tahun. Keluarga kita, ibu bapa kita yang meneroka dan dapat pulangan dan hasil,” kata beliau di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Azhan Md Othman.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata kira-kira tujuh atau lapan tahun lepas, perubahan dalam pengurusan serta campur tangan politik keterlaluan terhadap FELDA menyebabkan agensi itu yang pada awalnya mencatatkan keuntungan berdepan kerugian.
“Akhirnya yang untung puluhan bilion itu sekarang dah rugi RM10 bilion. Ada orang kata mana rugi? Saya bayar RM980 juta setiap tahun untuk bayar kerugian FELDA. Siapa kata tak rugi?.