Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,760
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,760
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah - Kredit: SUK Kedah
Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mahu pengurusan sumber negeri dilaksanakan secara berhemat, cekap dan berstrategi bagi memastikan setiap perbelanjaan memberi impak optimum dalam mendepani krisis tenaga global pada masa ini.
Baginda bertitah amalan penjimatan perlu dijadikan keutamaan di semua peringkat jabatan dan agensi dengan menitikberatkan keperluan berbanding kehendak dalam setiap keputusan yang dibuat.
"Beta sering mengikuti dengan serius perkembangan semasa di peringkat global, khususnya konflik dan peperangan yang melanda Asia Barat dan Eropah Timur yang pastinya memberi kesan kepada kestabilan ekonomi negara dan negeri,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Perasmian Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-15 di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Baginda turut menyeru rakyat untuk mengamalkan sikap berjimat cermat dan berbelanja secara berhemat.
Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin menyeru kerajaan negeri Kedah supaya sentiasa bertindak pantas dan proaktif dalam menilai serta menambah baik dasar dan peraturan sedia ada yang menyusahkan rakyat.
"Kerenah birokrasi yang berlebihan, prosedur yang lapuk serta undang-undang yang tidak lagi relevan, hanya akan menghalang kemajuan dan melemahkan keyakinan rakyat terhadap sistem penyampaian kerajaan.
"Sehubungan itu, beta menyeru agar tindakan semakan dan penambahbaikan dalam perkhidmatan awam dapat dilaksanakan secara menyeluruh di semua peringkat jabatan dan agensi bagi mempertingkatkan kecekapan, mempercepatkan penyampaian perkhidmatan serta memacu produktiviti negeri ke tahap yang lebih tinggi di masa hadapan," titah baginda.
Sultan Sallehuddin juga bertitah hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan tidak boleh dilihat secara terpisah, sebaliknya perlu berasaskan semangat kerjasama yang adil dan saling melengkapi.
Sultan Kedah Mahu Pengurusan Sumber Negeri Dilaksana Secara Berhemat, Cekap
Sultan Kedah, krisis, Asia Barat, global, penjimat