BTC USD 60,991.9 Gold USD 4,328.60
Time now: Jun 1, 12:00 AM

SUKMA Sarawak 2024

Wilayah Persekutuan Raih Pingat Emas, Perak Gimrama All-Around Individu

19.08.2024 - Gimnas Wilayah Persekutuan mendominasi acara gimrama dengan meraih pingat emas dan perak dalam acara all-around individu pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching hari ini. Gerakan memukau, penuh koordinasi serta kreatif melayakkan Cassidy Tan Jia Xin, 13, menggondol emas kedua peribadi selepas mencatat 104.900 mata bagi empat apparatus dipertandingkan iaitu gelung, bola, belantan dan riben.

"Saya tidak pernah terbayang rangkul emas pada SUKMA kerana apa yang saya tumpukan ialah prestasi dan membuat jurulatih bangga, jadi (kemenangan) ini di luar jangkaan, saya hanya lakukan yang terbaik dan untuk negeri saya," katanya kepada pemberita.

Anak bongsu daripada dua beradik itu jelas berada pada kelas tersendiri apabila mengungguli tiga daripada empat disiplin disertainya iaitu gelung dengan 26.950 mata, bola (26.650 mata) dan riben (25.250 mata). Pingat perak pula diraih gimnas kebangsaan Nur Zhafirah Wong Rudy Kurniawan, manakala Dhaffatul Nurbaiti Harman dari Negeri Sembilan memenangi gangsa. Nur Zhafirah, 14, berkata dia mahu mendapat tempat di podium bagi acara individu yang berlangsung esok.

"Ini SUKMA terakhir saya, jadi saya mahu 'menikmati' momen namun pada masa sama hendak menang pingat, saya akan beraksi bagi dua apparatus iaitu belantan dan gelung esok," katanya yang mengakui kedua-dua disiplin itu merupakan kekuatannya.

Semalam, skuad Wilayah Persekutuan menunjukkan taring apabila menggondol emas dalam acara all-around berpasukan yang diwakili Nur Zhafirah, Cassidy, Rhea Dhaliwall dan Ru-Zanne Sui.​

1724064645695.png
 
Joey Tan Pertahan Emas Recurve Wanita

19.08.2024 - Biarpun terpaksa membahagikan masa antara akademik dan latihan, atlet memanah Sarawak Joey Tan Xing Lei kini mampu tersenyum lebar selepas berjaya mempertahankan pingat emas acara 70-meter recurve individu wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini. Pada acara yang berlangsung di Lapang Sasar Memanah, Petra Jaya, atlet berusia berusia 17 tahun itu terbukti sukar digugat apabila mengumpul 645 mata. Pemanah Selangor, Nur Ieka Hariesya Zainal Habsahli memperoleh pingat perak dengan 629 mata manakala wakil Terengganu Nurul Syakirah Hashim memungut gangsa dengan 610 mata.

"Sebenarnya saya akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini, jadi saya tidak mempunyai banyak masa untuk menjalani latihan disebabkan jadual yang padat, ia tidak mudah. Saya takut dan tertekan kerana mendapat keputusan yang baik pada SUKMA edisi lepas," katanya yang menzahirkan terima kasih kepada semua pihak khususnya jurulatih dan keluarga atas pencapaian berkenaan.

Dalam acara lelaki, pemanah Terengganu Muhammad Saiful Islam Mohd Rizuwan mencatat 656 mata untuk meraih pingat emas. Wakil Pahang Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affandi memperoleh pingat perak dengan 656 mata manakala wakil tuan rumah Liew Yu Jie mendapat gangsa dengan 334 mata.​

1724064752496.png
 
Eidelweiss Juara Dalam Kesakitan

19.08.2024 - Atlet tuan rumah Eidelweiss Franzel Francey Sami memahat sejarah baharu sukan karate Sarawak apabila meraih pingat emas acara Kumite wanita lebih 68 kilogram (kg) Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini. Lebih manis, Eidelweiss, 18, mencatat namanya selaku penyumbang pingat emas pertama untuk kem karate di pentas SUKMA sejak penyertaan pada edisi 2000. Namun di sebalik kejayaan dikecapi, beliau terpaksa melawan kesakitan demi menidakkan kemenangan wakil Terengganu Mirza Amirah Syuhada Mohd Faizal dengan kemenangan 8-6 untuk menggenggam emas di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini.

"Sangat bersyukur dengan kejayaan ini apatah lagi ia emas pertama dalam karate buat Sarawak. Biarpun cedera saya cukup berbangga dengan pencapaian ini. Saya juga tidak sangka peluang diberi untuk beraksi dalam kategori ini (lebih 68kg) membuahkan hasil dan ia berbaloi sebab sebelum ini saya berada dalam kategori bawah 68kg," katanya kepada Bernama.

Ketika menghadapi kesakitan dalam gelanggang pertandingan, Eidelweiss hanya terbayangkan wajah ibu dan bapa menyebabkan beliau bangkit melawan kesakitan untuk terus memberikan saingan sengit demi mendapatkan mata kemenangan. Sementara itu, ketua jurulatih karate Sarawak Jarvis Julian berkata kejayaan hari ini merupakan sesuatu yang dinantikan oleh beliau yang pernah mewakili Sarawak pada SUKMA 2000.

"Kita menunggu untuk saat ini, 24 tahun itu tempoh agak lama akhirnya kita mencipta sejarah. Sejak saya jadi atlet dulu inilah emas pertama buat karate. Tiada apa lagi dapat saya gambarkan atas kejayaan ini kerana beliau (Eidelweiss) memberikan kegembiraan ibarat saya yang menang emas," katanya yang mengendalikan skuad karate Sarawak sejak 2016.​

1724064840563.png
 
Wakil Sarawak Anson, Mirabel Juara Kejohanan Golf

19.08.2024 - Dua bintang muda Sarawak berada di kelas tersendiri apabila Anson Yeo Boon Xiang dan Mirabel Ting masing-masing dinobatkan juara bagi kategori lelaki dan wanita pada kejohanan golf Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Kelab Golf Sarawak di sini hari ini. Memulakan saingan dengan ketinggalan dua pukulan, Anson mempamewrkan aksi menakjubkan pada pusingan terakhir dengan merakamkan satu bawah 71 untuk mengatasi pendahulu Muhammad Ajmal Amin Mohd Fajri dengan kelebihan tiga pukulan. Pemain berusia 18 tahun itu merangkul emas dengan jumlah catatan enam bawah 210 pukulan selepas melakarkan 71 dan 68 pada dua pusingan terdahulu manakala Ajmal Amin dari Selangor membawa pulang gangsa dengan empat atas par 76 untuk jumlah 213 (74-63-76.

Pingat gangsa menjadi pemain pemain Perak Andrew Yap dengan satu atas 217 (74-73-70). Ajmal Amin, bagaimanapun, membantu Selangor mempertahankan emas acara berpasukan dengan bersama-sama Poon Jia Hao, Austin Gan dan Ezekiel Riz Hafi Suzearitz mencatatkan jumlah 659 pukulan. Sarawak membawa pulang pingat perak dengan barisan diketuai Anson, Joshua Lim, Cayden Kong dan Wesley Chai mengumpul 666 pukulan manakala pingat gangsa menjadi milik pasukan Perak dibarisi Andrew, Aiden Tai John Roberts, Lim Hao Yu dan Mohammad Rafiq Nadzimi Ramlan melakarkan 669 pukulan. Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah, Anson berkata beliau tidak menjangka dapat merangkul dua pingat dalam penampilan sulungnya dan bersyukur penglibatan dalam sukan itu sejak berusia lima tahun akhirnya membawa kepada perhatian umum.

"Saya sangat gembira untuk menang di hadapan penonton di laman sendiri...mereka benar-benar mendorong saya untuk bangkit mengejar kedudukan pendahulu dan saya cuba melakukan birdie sebanyak mungkin. Kemungkinan akan mempertahankan gelaran pada SUKMA akan datang tetapi bergantung kepada jadual dan sama ada saya menjadi pemain profesional (pro). Sepatutnya saya menjadi pemain pro tahun in tetapi mengubah rancangan untuk kekal amatur untuk satu atau dua tahun akan datang,"katanya.

Sementara itu, Mirabel mengekalkan penguasaan sejak pusingan pertama untuk mengatasi wakil Perak Wang Xin Yao dengan kelebihan 10 pukulan selepas mencatatkan 206 pukulan (69-67-70) manakala Xin Yao dengan 216 (73-73-70) untuk pingat perak. Pingat gangsa menjadi milik pemain Wilayah Persekutuan Ng Jin Xuen dengan jumlah dua atas par 218 (73-71-74). Emas acara berpasukan wanita dimenangi skuad Perak dibarisi Xin Yao, Nur Diana Syafiqah Abdullah, Siti Nur Husna Aina Abd Karim dan Nurul Adawiyah Ab Jalil dengan jumlah 676. Selangor (Foong Zi Yu, G. Aarthi, Nur Batrisyia Balqis Abdul Ghani, G. Kaathiyayani )membawa pulang pingat perak manakala Sarawak (Mirabel, Sharifah Aiysyah Tijan Syed Fazil, Abigail Kedung Pearson) gangsa selepas kiraan semula (OCB) apabila masing-masing terikat dengan jumlah catatan 688 pukulan.​

1724064954908.png
 
Kelantan Lakar Sejarah Raih Emas Kriket Lelaki

19.08.2024 - Skuad kriket Kelantan melakar sejarah tersendiri apabila meraih pingat emas dalam acara T20 lelaki menewaskan Sarawak pada final di Padang Kriket & Ragbi Petra Jaya, di sini hari ini. Di sebalik tekanan beraksi di laman tuan rumah, Kelantan di bawah bimbingan Ahmad Zahid Adnan tetap unggul ketika mengesahkan kejayaan manis selepas mengetepikan cabaran Sarawak dengan kelebihan 25 larian. Bercakap kepada pemberita, Ahmad Zahid memuji fokus tinggi dan semangat kental anak buahnya untuk memenangi perlawanan.

“Pandangan peribadi saya, perlawanan ini amat sengit sebab kedua-dua pasukan tunjuk komitmen tinggi,” katanya.

Ketua pasukan Kelantan, Amirul Asyraf Ayob berkata kejayaan itu sesuatu yang membanggakan selepas mereka tidak menyertai sebarang pertandingan dalam kejohanan kebangsaan sepanjang dua tahun lalu.

“Tiada siapa jangka kami akan menang kerana kami tidak bertanding dalam kejohanan kebangsaan tetapi kami berlatih dengan tekun dan menunjukkan ketabahan apabila datang ke Kuching. Kali pertama kami bertanding dalam kriket SUKMA adalah 15 tahun lalu. Ini kemenangan besar pertama kami dalam kriket Malaysia, jadi ia memang sangat bermakna. Apa yang membuatkan permainan ini istimewa di Kelantan adalah hakikat jurulatih kami adalah guru sekolah yang percaya kepada kami dan menunjukkan kami cara untuk bermain kriket dengan baik,” kata pemain berusia 20 tahun itu

Pingat gangsa menjadi milik Selangor yang menundukkan Terengganu dengan kelebihan 31 larian pada aksi penentuan tempat ketiga.
1724080948260.png
 
Putri Nurrafqistina Damia Sumbang Emas Ke-Empat Taekwondo Perlis

20.08.2024 - Putri Nurrafqistina Damia Md Roshidi membuktikan wakil wanita Perlis tiada tandingannya apabila menyumbang emas keempat Perlis menerusi acara taekwondo. Pada aksi akhir kategori bawah 46 kilogram (kg) di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini, atlet tempur berusia 16 tahun itu menewaskan Aryssa Ashura Adnan Ashraff dari Selangor 2-0. Kemenangan itu menyaksikan Putri Nurrafqistina Damia muncul atlet ketiga wanita Perlis merangkul gelaran juara di Bumi Kenyalang. Ini selepas kejayaan Wong Zin menerusi poomsae individu wanita dan campuran serta Nadia Aina Syazwani Ishak bagi kategori bawah 67 kg.

Saingan bawah 58kg lelaki pula menyaksikan Sebastian Tan Chung Wan dari Kelantan menumbangkan wakil Perlis, Darschan S Nathan 2-1. P Moganarrajan dari Johor pula jelas tiada tandingan apabila menumbangkan wakil Negeri Sembilan Ahmad Muhaimin M Al Hafiidz 2-1 untuk emas bawah 54kg lelaki.
1724134155163.png
 
Kuartet 4x400m Lelaki Johor Perbaharui Rekod Temasya

20.08.2024 - Kehadiran pelari 400 meter negara, Umar Osman memberi impak besar buat kuartet 4x400m Johor yang memenangi pingat emas dan memperbaharui rekod Sukan Malaysia (SUKMA) pada edisi 2024 di Sarawak. Umar bersama Muhammad Aiman Najmi Mohd Anuar, Mohamad Akmal Haziq Mohd Zahari dan Wills Harnessy Gindal mempamerkan larian konsisten untuk merakamkan catatan terpantas 3 minit 12.35 saat pada aksi final di Stadium Sarawak di sini. Catatan itu membolehkan mereka memadamkan rekod temasya 3:12.66s milik kuartet Melaka terdiri daripada Khairul Hafiz Jantan, Amirul Haziq Borhan, Mohd Azam Masri dan Badrul Hisyam ketika melakukannya pada edisi 2016 juga di Sarawak.

Pingat perak acara itu dimenangi kuartet Perak dibarisi D Samuel, Muhammad Anas Muhammad Zubair Kanan, Ahmad Amir Aiman Mohd Kamaruddin dan N Kanishkann (3:12.99s) manakala gangsa diraih Sabah menerusi Aubrey Aron, Muhammad Fahami Samsudin, Edrick Feivel Florentius dan Muhammad Khalil Helmi (3:13.40). Bagi Umar, kejayaan yang dilakar setakat ini di Bumi Kenyalang membuatkan dia semakin membara bagi mempertahankan emas acara 400m esok selain turut mengintai peluang untuk meleburkan rekod temasya berusia 22 tahun milik Muhd Zaiful Zainal Abidin 47.34s yang dicipta pada edisi 2002 di Sabah.

“Sasaran utama saya adalah untuk mempertahankan emas yang dimenangi pada 2022 selain cuba untuk perbaharui rekod SUKMA. Saya akan cuba yang terbaik untuk capai kedua-dua sasaran itu,” katanya.

Ditanya mengenai peluang untuk memperbaharui rekod kebangsaan miliknya 46.09s pada temasya kali ini, Umar bagaimanapun enggan meletakkan harapan yang tinggi meskipun dirinya berada dalam keadaan terbaik dan bebas daripada sebarang kecederaan.Saingan 4x400m wanita menyaksikan kuartet Terengganu muncul juara selepas merakam masa terpantas 3:54.83s diikuti Johor kedua (3:55.53s) manakala Selangor ketiga (4:01.81s).Sementara itu, pelari Terengganu, Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif memenangi emas dalam acara 110m lari berpagar dengan catatan 14.26s diikuti Muhammad Fiross Mohd Faizal dari Wilayah Persekutuan yang meraih perak (14.51s) manakala atlet Johor, Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau membawa pulang gangsa (14.57s).

Dalam saingan 100m lari berpagar wanita, emas dimenangi pelari Selangor, Lie Yee Teng dengan catatan 14.28s diikuti Nur Shaqirah Cik Mat Kilau dari Johor perak (14.87s) manakala gangsa menjadi milik atlet Perak, Farah Syakira Azifsafrin (14.97s).
1724160775941.png
 
Atlet 16 Tahun, Pauline Raih Emas Lempar Cakera

20.08.2024 - Atlet Sarawak, Pauline Ului membuktikan usia muda bukan halangan untuk dia mencipta kejayaan apabila merangkul pingat emas dalam acara lempar cakera wanita di SUKMA Sarawak 2024, hari ini. Pauline yang baru berusia 16 tahun cemerlang apabila melakukan balingan sejauh 38.50 meter sekali gus menduduki tempat pertama pada aksi final di Stadium Sarawak di sini. Catatan itu bagaimanapun gagal untuk menyamai rekod peribadi terbaiknya 40.00m. Pingat perak dimenangi atlet Perlis, Farhana Izurein Faizal Amizul dengan catatan 38.41m manakala atlet Selangor, Sasha Alyssa Philip membawa pulang gangsa dengan 37.62m.

“Secara jujurnya saya agak gugup kerana ini adalah SUKMA pertama yang juga kejohanan terbesar saya. Dengan keadaan cuaca hujan hari ini, ia bukan sesuatu yang mudah. Pada masa sama, saya terlalu fokus untuk memperbaharui rekod peribadi terbaik saya. Sejak dari balingan pertama hingga akhir, saya berasa gugup tetapi apabila disahkan sebagai pemenang, saya sangat lega,” kata pelajar Sekolah Menengah Long Bedian di Ulu Baram itu.

Sementara itu, atlet Wilayah Persekutuan, Kristian Tung terus cemerlang apabila merekodkan emas kedua peribadinya selepas mengungguli saingan acara 1,500m lelaki dengan masa 4 minit 04.62 saat diikuti atlet Perak, Shawn Roshan Singh (4:04.94s) dan Mohamad Ahsan Atta Ur Rahman dari Sabah (4:07.54s). Pagi tadi, Kristian yang berpangkalan di United Kingdom merangkul emas pertama selepas menjuarai saingan 10,000m lelaki. Saingan 1,500m wanita pula menyaksikan atlet Johor, S Geetha merangkul emas (4:45.16s) diikuti Clezendra Chanda Cevester Empari dari Sarawak (4:54.29s) dan atlet Selangor, C Taarini (4:58.52s).
1724160843825.png
 
Sepasang Burung Kenyalang Buat ‘Kejutan’ Di Stadium Tertutup Miri

21.08.2024 - Satu kejadian menarik berlaku di Stadium Tertutup Miri sebentar tadi, apabila sepasang burung kenyalang kelihatan hinggap di bumbung premis berkenaan. Kemunculan burung ikonik Sarawak itu, turut menarik perhatian orang ramai yang hadir menyaksikan peringkat suku akhir acara pencak silat kategori olahraga yang berlangsung di stadium tersebut, hari ini. Ia kerana, sepasang burung kenyalang dijadikan sebagai Satria dan Satrina iaitu maskot rasmi Sukan Malaysia (Sukma) XXI.

Menurut kepercayaan kaum setempat, kehadiran burung kenyalang itu adalah simbol pembawa tuah sekali gus dikatakan menjadi petanda Sarawak akan meraih kemenangan. Hari ini, bermula acara peringkat suku akhir silat kategori olahraga membabitkan Kelas A, Kelas B, Kelas C, Kelas D, Kelas E, Kelas F, Kelas H dan Kelas Bawah 45 tahun ke bawah. Kira-kira 11 pesilat Sarawak akan bertanding dalam kategori masing-masing bagi merebut peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir dan akhir.
1724215122281.png
 
Kuartet 4x100m Selangor Sambar Emas Lelaki, Wanita

23.08.2024 - Selangor unggul menutup saingan hari terakhir sukan olahraga Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 apabila menyambar dua pingat emas masing-masing menerusi 4×100 meter (m) lelaki dan wanita di Stadium Sarawak di sini hari ini. Pada saingan akhir, kuartet dibarisi Ahmad Sufi Mohd Faiesal, Danish Irfan Tamrin, Muhammad Haziq Mohamad Akhir dan Adam Hakim Samsuddin mencatat masa 40.86 saat (s) untuk mengesahkan kilauan emas. Pingat perak dimenangi kuartet Sabah yang melepasi garisan penamat dengan catatan masa 41.06 saat dan melengkapkan podium dengan gangsa adalah Pahang selepas merakam 41.21s.

“Pertama sekali, terima kasih kepada jurulatih saya dan orang yang sokong saya. Di sini saya kesal kerana 100m dan 200m tidak dapat menonjol di peringkat akhir, saya gembira dapat emas 4x100m (tapi) saya sedih ini SUKMA terakhir saya,” kata Adam Hakim ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Selangor sekali lagi mempamerkan kehebatan dalam acara 4x100m wanita menerusi gandingan Dhane Marsyella Eehsan Faez Sivam, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal, Aina Batrisyia Abdullah, dan Teng Lie Yee. Mereka tiada tandingan selepas mencatatkan masa 47.97s, diikuti perak diraih kuartet Johor (48.32s) manakala gangsa menjadi milik kuartert tuan rumah, dengan catatan 48.38s.

“Untuk pasukan ini kita pun tak jangka sebenarnya, kita ada pesaing hebat, Johor, Terengganu semua negeri hebat. Ini kali pertama kita serta acara berganti-ganti bersama, SUKMA lepas tiada. Kita dapat bagi terbaik untuk Selangor dan hadiahkan emas,” kata Nur Afrina yang turut meraih emas acara 100m dan 200m untuk bergelar ratu pecut SUKMA 2024.

Dalam pada itu, jurulatih skuad olahraga Selangor Mohd Sharil Ab Rahman menyifatkan kejayaan tersebut adalah hasil kerja keras anak buahnya dalam memastikan pencapaian terbaik di SUKMA 2024. Secara keseluruhan, skuad olahraga Selangor menduduki tempat kedua dalam carta kedudukan pingat dengan mengumpul lapan emas, lima perak dan empat gangsa, di belakang juara Johor (9-5-4).
1724401056783.png
 
Back
Top
Log in Register