BTC USD 76,323.1 Gold USD 4,277.30
Time now: Jun 1, 12:00 AM

ShopLAH Tingkat Perbelanjaan Pelancong Menerusi Peruncitan Lapangan Terbang - MAHB

combat13

CG Top Poster Club
gem
Messages
28,153
Joined
Dec 18, 2007
Messages
28,153
Reaction score
346
Points
141
47c1289a8abba312910f924472b222f7698c2bb228e23


Ketika kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 semakin rancak, ShopLAH memperkukuh peruncitan lapangan terbang sebagai pemacu utama pengalaman pengunjung dan perbelanjaan pelancongan di seluruh rangkaian antarabangsa Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Sebagai kempen pengalaman peruncitan lapangan terbang yang berterusan, MAHB memaklumkan ShopLAH mengintegrasikan elemen beli-belah, menjamu selera dan penceritaan budaya dalam perjalanan penumpang, sekali gus mengukuhkan peranan lapangan terbang sebagai penyumbang aktif kepada ekonomi pelancongan Malaysia.

"Kempen ini menyokong objektif pelancongan negara dengan menggalakkan perbelanjaan penumpang yang lebih tinggi sambil menonjolkan jenama dan identiti Malaysia di pintu masuk utama," menurut MAHB dalam kenyataan.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata ShopLAH mencerminkan peranan pengendali lapangan terbang itu dalam membentuk tanggapan pertama dan terakhir pengunjung terhadap Malaysia, di samping meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang sambil memperkukuh ekosistem komersial melalui kerjasama rapat dengan pemegang konsesi, jenama tempatan dan komuniti kreatif.

"Dengan mengaktifkan peruncitan lapangan terbang sebagai sebahagian daripada perjalanan, kami memperkukuh lapangan terbang sebagai pintu masuk yang menghubungkan pelancongan, perniagaan dan identiti Malaysia, selaras dengan matlamat untuk meletakkan Malaysia sebagai negara yang paling berhubung di Asia Pasifik," katanya dalam kenyataan itu.

Sebagai sebahagian daripada pendekatan berasaskan pengalaman, ShopLAH turut menawarkan beg bebas cukai yang boleh dilipat edisi terhad sebagai cenderamata eksklusif kempen, yang dihasilkan melalui kerjasama dengan artis Malaysia, iaitu Hsieying, Kideika, Daisy Dalia, dan Afi Sulaiman, dengan setiap rekaan mencerminkan elemen budaya, warisan, kehidupan bandar dan makanan Malaysia menerusi format lestari dan boleh diguna semula.

Pada 2025, MAHB merekodkan 104.5 juta pergerakan penumpang di seluruh rangkaian tempatan, yang diterjemahkan kepada prestasi peruncitan yang kukuh, dengan jumlah transaksi jualan mencecah kira-kira 44 juta, meningkat 28.8 peratus dari tahun ke tahun.

Menurut kenyataan itu, jualan makanan dan minuman meningkat 19 peratus dari tahun ke tahun, manakala kategori hadiah dan cenderamata mencatat pertumbuhan 42 peratus, muncul sebagai segmen peruncitan yang paling pesat berkembang.

"Jualan ini termasuk coklat dan konfeksi, dengan jenama Malaysia kini menyumbang 33 peratus daripada keseluruhan kategori coklat," menurut kenyataan itu.

 
Back
Top
Log in Register