KUALA TERENGGANU: Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) menyasarkan lebih 32 regu dalam dan luar negara bersaing merebut Piala Presiden PSNT Terbuka Terengganu 2016 yang bakal diadakan di Stadium Negeri Kuala Terengganu, pada 12 dan 13 Februari depan
Kejohanan dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Koberts dan Syarikat Air Terengganu (SATU) diadakan buat julung kalinya membabitkan dua kategori Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita dengan hadiah keseluruhan RM12,500
Hadiah bagi kategori Terbuka Lelaki ialah juara meraih RM5,000, medal dan piala iringan, naib juara (RM3,000 dan medal) dan ketiga (RM1,000 dan medal) manakala juara Terbuka Wanita RM1,000, medal dan piala iringan, naib juara (RM700 dan medal) dan ketiga (RM400 dan medal)
Presiden PSNT, Shapian Ali, berkata pihaknya sudah menghebahkan kepada kelab dalam negara dan luar seperti Thailand, Singapura, Indonesia serta negara lain untuk turut menyertai kejohanan itu
Katanya, pihaknya juga sudah dihubungi beberapa kelab dari Selangor, Pahang, Kelantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklumat mengenai kejohanan itu
"Setakat ini, belum ada mana-mana kelab atau pasukan membuat pendaftaran, tetapi kita yakin penyertaan akan melepasi 32 regu yang disasarkan untuk kejohanan ini
"Malah, kita juga membenarkan pemain kebangsaan turut serta dalam kejohanan terbesar yang belum pernah dianjurkan PSNT sebelum ini," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi
Shapian yang juga bekas Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berkata, kejohanan itu juga adalah untuk memberi pendedahan kepada pemain Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu
Katanya, kejohanan itu juga sebagai persiapan pasukan senior Terengganu bagi menghadapi Piala Emas Khir Johari yang akan berlangsung di Putrajaya, pada 23 hingga 28 Februari depan
"Tarikh tutup penyertaan adalah pada 10 Februari dan mana-mana pasukan yang ingin menyertai kejohanan ini boleh berhubung dengan sekretariat pertandingan iaitu Setiausaha PSNT, Abas Mamat (019-9106069), Wan Sulaiman Wan Su (013-9288595) dan Rosmadi Mohamad (013-9336529)," katanya