BTC USD 83,672.8 Gold USD 4,191.87
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Sepak Takraw

Regu bekas pemain kebangsaan tersungkur mengejut di Paroi

SEREMBAN - Majlis Bandar Raya Melaka Bersejarah (MBMB) A dan B, Gabungan Sepak Takraw Teluk Paku (Gastep) A, UMNO Jalan 6 C, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) C, Dinamis dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) A mencerahkan peluang untuk mewakili empat terbaik Kategori Terbuka Zon Tengah Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011.

Mereka melepasi pusingan keempat yang berlanjutan hingga pukul 10 malam dan mara ke suku akhir demi gelaran juara zon terakhir ini dan ganjaran RM2,500 di Kompleks Sukan Negeri, Paroi, Seremban yang menemukan 171 regu.

Zon Tengah ini turut menampilkan banyak regu yang menggunakan seorang bekas pemain kebangsaan dari era 90-an hingga alaf baru seperti Ahmad Ezzat Zaki, Ku Halim Ku Musa, Azlan Mubin dan Sulaiman Salleh, terpaksa mengangkat kaki lebih awal selepas kecundang kepada lawan masing-masing.

Jaguh sirkit Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), Universiti Teknologi Mara (UiTM) menepati ramalan awal dengan menempah salah satu daripada empat tiket separuh akhir kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam-Swasta (IPTA-S)/Bawah 19 Tahun.

Daripada empat regu yang dipertaruhkan di zon ini, regu 'C' anak buah Zaidi Ismail yang juga bekas penolong jurulatih skuad elit mengetuai kemaraan itu yang aksinya bakal bersambung mulai pagi ini.

UiTM C akan menentang ADTEC Shah Alam sementara Pelapis Kelantan A bakal berentap dengan Port Dickson dalam satu lagi separuh akhir Zon Tengah namun keempat-empatnya sudah memastikan tiket ke separuh akhir peringkat antara zon di Shah Alam, pertengahan bulan depan.

Bagi kategori Bawah 15 Tahun, Sekolah Sukan Negeri Selangor Seksyen 11A Shah Alam yang disebut-sebut sebagai pilihan utama, mara ke separuh akhir Zon Tengah tetapi bakal berentap dengan lawan yang dianggap sepadan mereka, Sekolah Menengah Sri Kota A.
 
Majlis Bandaraya Melaka A juara

SEREMBAN - Ketahanan mental dan pengalaman Majlis Bandaraya Melaka (MBMB) A memisahkan mereka sebagai juara zon tengah Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 dengan menewaskan Dinamis 2-0 (15-13, 15-11) pada perlawanan akhir di Kompleks Sukan Negeri dekat Paroi, semalam.

Kejayaan yang diukir dalam tempoh 50 minit itu meletakkan MBMB A mengetuai empat regu terbaik zon ini ke peringkat antara zon di Shah Alam, bulan depan sambil merangkul ganjaran RM2,500 sementara Dinamis sekadar berpuas hati dengan RM2,000.

MBMB A turut melengkapkan juara terbuka setiap zon kejohanan yang membuka tirainya sejak Jun lalu selepas Pestans A (Selatan, Pasir Gudang), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) B (Utara, Alor Setar) dan Gabungan Sepak Takraw Teluk Paku (Gastep) B (Timur, Gambang).

MBMB A membariskan Razif Arifin (tekong), Saiful Bakhtiar Sulaiman (pelibas) dan Syafiq Ab. Rahman (pengumpan) selain pemain simpanan, Hafiz Kaus sementara Dinamis dibarisi Azhan Mahmood, Mohd. Ab. Malik Paisan Berahim dan Mohd. Abuhari Mohd. Nor serta Ahmad Zulkarnain Zainal Abidin.

Turut mengiringi mereka ke sana ialah dua regu yang kalah separuh akhir, sejurus sebelum itu - MBMB B dan MPT A yang masing-masing ditewaskan MBMB A 14-16, 15-17 dan Dinamis 14-16, 6-15.

MBMB A jelas memanfaatkan kekuatan mental malah pengalaman khususnya yang dimiliki Syafiq, bekas apit kiri kebangsaan biarpun mereka ditinggalkan 9-13 dalam set pertama.

Set kedua bagaimanapun berpihak kepada anak buah Omar Bayot ini sehingga lawan pula ditinggalkan pada kedudukan 11-4, 12-8 dan cuba dikejar dengan dua mata tambahan lawan sebelum disudahkan dengan 15-11.

Penolong jurulatih MBMB A, Mohd. Fahmi Omar berkata, anak buahnya tidak mudah panik walaupun Dinamis cuma kekurangan dua mata untuk memenangi set pertama kerana sudah biasa menempuh keadaan segenting itu apatah lagi dalam kejohanan sebesar KFC-Utusan ini.

"Kawalan gelanggang kami juga berkesan dan keyakinan mereka semakin melonjak apabila memenangi set pertama itu selepas bangkit mengejar dari jauh. Ia dibantu pula servis tekong kami (Razif) yang menjadi," katanya.

Jurulatih Dinamis, Mohd. Hanafi Mat Asin pula berkata, kegagalan menyudahkan set pertama selepas mendahului 13-9 sehingga disekat 15-13 menjadi punca utama kegagalan kami. Ada juga beberapa kesilapan individu yang turut memudahkan lawan menang set kedua.

Keputusan perlawanan akhir kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam-Swasta (IPTA-S)/Bawah 19 Tahun pula menyaksikan UiTM C menjuarainya dan mengaut RM2,000 selepas mengalahkan Pelapis Kelantan A 2-0 (15-8, 15-7).

Bagi Bawah 15 Tahun dengan ganjaran juara RM1,500, SMK Sri Kota A mengalahkan SMK Sri Kota B 2-0 (15-8, 15-8).
 
Adakan Divisyen Perdana

SEREMBAN - Bekas penolong jurulatih skuad elit negara, Zaidi Ismail menyarankan Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan pada edisi akan datang dapat mempertandingkan satu lagi kategori yang khas untuk pemain bertaraf kebangsaan atau negeri sahaja atau digelar Divisyen Perdana.

Katanya, kategori baru ini bertujuan menampilkan suatu kualiti permainan yang sesuai dan tinggi dengan mereka selain menjamin persaingan yang seimbang serta tidak perlu melibatkan pemain yang di luar taraf berkenaan.

"Mungkin KFC-Utusan boleh mewujudkan Divisyen Perdana seperti mana Piala Raja Thai supaya pasukan yang kurang handal tidak akan bertembung dan dibelasah lawan lebih handal dengan mudah dan perbezaan mata yang terlalu besar.

"Jika mudah sangat kalah, pasukan ini mungkin patah semangat untuk lebih awal untuk ke gelanggang dan seterusnya menjauhkan diri daripada bertanding lagi," katanya yang mengemudikan UiTM C menjuarai kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam-Swasta/Bawah 19 Tahun Zon Tengah di Paroi, Seremban, semalam.

Menurut Zaidi yang khidmatnya dengan skuad elit tidak disambung selepas Sukan SEA Laos 2009: "Syarat hanya seorang pemain negeri dalam kategori Terbuka KFC-Utusan kali ini wajar diteruskan tetapi hendaklah hanya mengambil kira mereka yang berpengalaman Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari.

"Antara kejohanan yang boleh dikecualikan daripada mengambil kira status pemain negeri atau negara ialah Kejohanan Maksak, Sukan Malaysia, Kejohanan Belia Kebangsaan mahupun Siri Super PSM (Persatuan Sepak Takraw Malaysia) sekarang."

Pendapat ini turut disokong oleh pengulas sukan Astro Arena 801 yang juga penasihat kejurulatihan pasukan Jepun, Mahadzer Mokhtar dengan menegaskan, mereka yang bakal bermain dalam Divisyen Perdana KFC-Utusan itu, mestilah dilarang daripada turun ke kategori lebih bawah daripadanya tetapi mereka yang di bawah, dialu-alukan untuk turut mencuba nasib ke Divisyen Perdana.

"Divisyen yang di bawah Perdana ini mestilah terdiri daripada pemain yang benar-benar amatur dan bakat baru," katanya yang pernah membimbing Jepun berlatih di Pulau Pinang selama sebulan dalam menghadapi Sukan Asia Doha 2006 dan mengadakan jelajah pertunjukan di Brazil, sebelumnya.

Sementara itu, beliau turut menggesa PSM agar mengambil kesempatan daripada kehadiran dua kategori IPTA/Bawah 19 dan Bawah 15 KFC-Utusan di empat zon (Selatan, Utara, Timur dan Tengah) sejak Jun lalu dengan mencungkil ramai bakat baru bagi membentuk skuad pelapis kebangsaan.

"Saya rasa ia bertepatan dengan saranan Datuk Zolkples Embong (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara), baru-baru ini dengan menugaskan dua perunding dari Thailand yang kini bersama skuad elit (Prawet Intar dan Taweet Wongkaen) mengenal pasti bakat baru berkenaan, mungkin dalam persaingan peringkat Antara Zon di Shah Alam (14 hingga 15 Oktober ini)," katanya.
 
Skuad elit takraw tetap No. 2 dunia

KUALA LUMPUR - Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) wajar menghela nafas lega apabila dua kekalahan 'malapetaka' kepada Indonesia dalam Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thai Ke-26, minggu lalu, tidak menjejaskan ranking dunia terbaru skuad elit negara.

Anak buah Jamaluddin Hassan tetap berada pada tangga kedua dalam senarai Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan UFA Sports, biarpun dibenam Indonesia 2-1 dan 3-0 pada akhir acara berpasukan dan Kumpulan B beregu di Pusat Beli-belah Fashion Island, Bangkok.

Memandangkan Malaysia mungkin tidak menyertai acara beregu pada Sukan SEA Indonesia, November ini, kekalahan tersebut tidak sepahit kekalahan berpasukan yang berulang seperti ketika Piala Raja Thai di Chiang Mai, tahun lalu apabila disekat Korea Selatan 1-2 juga pada separuh akhir.

Mujurlah ranking berkenaan hanya mengambil kira keputusan Siri Super I Istaf Thailand juga di gelanggang sama yang menyaksikan Noor Azman Hamid (Syazwan Husin), Norshahruddin Mad Ghani dan Faizul Hairy Osman dihampakan Indonesia 3-2 (10-15, 15-12, 16-17, 15-7, 12-15) dalam suku akhir, 10 September lalu.

Malaysia mengumpul 525 mata selepas turut bergelar naib juara Piala Dunia di Kuala Lumpur, Julai lalu, di belakang musuh tradisi yang juga juara dunia dan Siri Super I, Thailand (750 mata).

Indonesia mengekori pada tempat ketiga dengan 475 mata dan naik dari tangga keenam.
 
Seluar panjang 'ributkan' Sepak Takraw Siri Super PSM

KUALA LUMPUR - Teraju Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Liga Siri Super PSM 2011 tetap bertahan di tangan Selangor selepas Sirkit II, minggu lalu di tengah-tengah kekecohan pertikaian seluar panjang seorang pemain Perak yang turut mencuri tumpuan di Dewan 2020, Kangar, Perlis.

Kemasukan skuad elit negara atau dinamakan PSM kali ini selepas menangguhkan Sirkit I di Melaka, Jun lalu, tampak menggugat juara Piala Emas Khir Johari 2011 itu yang hanya dipisahkan dengan dua mata, 16 berbanding 14 selepas lapan dan tujuh perlawanan masing-masing.

Malah, anak buah Jamaluddin Hassan yang cuba memulihkan semangat daripada malapetaka diaibkan Indonesia tiga kali di Bangkok, pertengahan bulan ini, berjaya menundukkan Selangor 3-0 dalam pertandingan liga berpasukan yang turut menyelitkan regu bawah 21 tahun ini.

Hanya Kuala Lumpur dan Kelantan sempat mencalarkan rekod kemenangan bersih PSM apabila cuma ditewaskan 1-2 manakala empat lagi perlawanan menyaksikan mereka mudah menewaskan Johor, Pulau Pinang, Perlis dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0.

Selangor menerajui kedudukan mata sejak Sirkit I Siri Super tetapi pencabar terdekatnya di Melaka yang juga naib juara Piala Khir, Kuala Lumpur kini turun ke tangga ketujuh sementara tempat ketiga selepas aksi di Kangar menjadi milik Terengganu, terikat 14 mata dengan PSM.

Kedudukan ini disusuli dengan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) yang di Melaka lalu, menggunakan nama Majlis Sukan Negeri Sembilan (MSNS) selain Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masing-masing di tempat kelima dan keenam.

Namun, agak mengecewakan ialah penarikan diri mengejut Melaka dan Pahang daripada Siri Super di Kangar ini sekali gus memaksa jawatankuasa pertandingan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) merombak dan membatalkan kesemua keputusan perlawanan lalu yang melibatkan mereka.

Sementara itu, selepas Perak menang 2-1, keputusan perlawanan itu diubah menyebelahi Kedah ekoran bantahan terhadap pemakaian seluar panjang 'sut trek' seorang pemainnya, Fauzi Ghazali yang didapati tidak menepati peraturan permainan yang ditetapkan PSM mahupun Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).

Bekas tekong Sukan Asia Busan 2002 itu juga dikenakan kad merah dan dibuang daripada kejohanan oleh pengadil apabila masih berkeras memakainya sebelum menentang Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan digantung daripada sebarang kejohanan anjuran PSM sehingga kesnya dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib.

Selain Piala Datuk Ahmad Ismail sebagai rebutan, Siri Super PSM turut menawarkan habuan RM20,000 kepada juara selepas tiga sirkitnya (termasuk di Pulau Pinang, Disember ini) manakala lapan terbaik liga, bakal berentap semula bagi pusingan kemuncak dan merebut Piala Perdana Menteri, tahun depan.
 
RM65,000 gamit 48 regu terbaik KFC-Utusan

KUALA LUMPUR - Debaran dan keghairahan 48 regu yang telah menempah tiket kelayakan, semakin kencang dan kian memuncak menjelang Peringkat Antara Zon (Separuh Akhir) Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan Kedua, 2011 di Pusat Sukan Universiti Tekonologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor dari 14 hingga 15 Oktober ini.

Menjadi tumpuan utama kali ini pastinya empat juara ketiga-tiga kategori Terbuka, Institusi Pengajian Tinggi (IPT)/Bawah 19 Tahun dan Bawah 15 Tahun dari Zon Selatan, Utara, Timur dan Tengah pada Jun hingga bulan lalu manakala lawan yang mereka kalahkan sebelum ini, tentu sekali cuba menuntut perhitungan semula pembalasan dendam!

Namun suasana dan rentak persaingan malah tawaran ganjaran kemenangan yang jauh lebih lumayan, mampu mencetuskan kelainan besar di Pusat Sukan UiTM, Shah Alam apabila format Peringkat Antara Zon turut diubah kepada liga berkumpulan berbanding kalah mati di peringkat setiap zon lalu.

Daripada sejumlah RM10,500 sebagai habuan setiap zon, ia kini meningkat kepada RM64,800 dengan pecahannya ialah RM10,000 dan RM8,000 bagi juara dan naib juara Terbuka Antara Zon; RM8,000 dan RM6,000 (IPT/B19) dan RM6,000 dan RM4,000 (B15) selain menjangkau sehingga empat regu yang sekadar ke suku akhir di Shah Alam nanti.

Perubahan format turut bererti satu majlis pengundian khas pembahagian kumpulan buat 16 regu setiap kategori berkenaan, bakal dilangsungkan pada 13 September menjelang perhitungan di Shah Alam itu namun masih dengan mengambil kira pencapaian terakhir masing-masing di setiap zon lalu.

Kali ini UiTM Shah Alam yang mempunyai dua regu ke Antara Zon (ketiga bersama IPT/B19 Timur dan juara IPT Tengah) bakal turun sebagai tuan rumah selain ditemani beberapa wakil lain dari Selangor seperti PKNS (dua regu), MPSJ, ADTEC Shah Alam dan SMK Seksyen 11 Shah Alam (tiga regu).
 
Jasa Zaibo julang SMK Sri Kota

KUALA LUMPUR - ‘Zaibo’ mungkin lebih dikenali di pentas lawak tanah air tetapi bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kota, pemilik gelaran yang sama di Melaka, turut berjasa dalam menjulang mereka menguasai dua tempat teratas kategori Bawah 15 Tahun Zon Tengah Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011, bulan lalu.

Nama sebenar ‘Zaibo’ sepak takraw ini kurang diketahui namun dia dikatakan berpengalaman mewakili negara sebagai apit kiri dan hasil serba sedikit tunjuk ajar dan khidmat nasihatnya, SMK Sri Kota berjaya mengetepikan 27 pencabar B15 untuk merangkul habuan juara dan naib juara zon di Paroi berjumlah RM2,500.

Malah pada separuh akhir di Kompleks Sukan Negeri itu lagi, regu A dan B mereka tampak terlalu kuat buat pemenang ketiga bersama, SMK Seksyen 11 Selangor dan SMK Tun Hussein Onn Johor sekali gus cuma perlu berentap sesama sendiri bagi menentukan juara dan ranking menjelang pengundian Peringkat Antara Zon di Shah Alam, Khamis ini.

Pengurus pasukan, Baharim Md. Yasin ketika dihubungi di Melaka, berkata: “Kami hanya mengenalinya dengan panggilan Zaibo. Dia memang banyak membantu kami dengan tunjuk ajar berdasarkan pengalamannya sebagai bekas pemain negara (selain dilatih Abu Samah Ahmad).”

SMK Sri Kota yang diberikan taraf Sekolah Sukan Negeri Melaka mulai 2006, turut memiliki lapan daripada 10 pemain yang berpengalaman mewakili negeri itu pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) yang berjaya mara ke suku akhir kategori Bawah 15 di Kuala Terengganu, Jun lalu.

“Latihan bagi menghadapi Antara Zon KFC-Utusan dijalankan setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad selepas sesi persekolahan pemain.

“Baru-baru ini kami cuba tingkatkan kemahiran selain membiasakan mereka menempuh cabaran getir apabila menemukan mereka dalam perlawanan persahabatan dengan pasukan yang lebih dewasa,” katanya.

Namun turut disebut-sebut sebagai bakal pilihan utama kategori B15 demi ganjaran RM6,000 pada Peringkat Akhir di Damansara, 16 Oktober ini ialah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Johor dan Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nanas (SSTBN) yang masing-masing juga menguasai tiga terbaik Zon Selatan dan Timur, Jun dan Julai lalu.

Juara Zon Utara pula ialah SMK Gunung Rapat A Perak yang menewaskan Mutiara Impian B Pulau Pinang pada perlawanan akhir di Alor Setar, 2 Julai lalu diikuti dengan SMK Tatar C Kedah dan ASTAB Perak selain Majlis Sukan Sekolah-sekolah Kelantan (MSSK) A selaku satu lagi regu pemenang ketiga Zon Timur.
 
target sukan sea 1 EMAS... tinggi benar target tu..
 
Adnan harap akan ‘lahir’ bintang baru

KUALA LUMPUR - Legenda sepak takraw kebangsaan, Adnan Saidin memuji penganjuran Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 yang disifatkannya sebagai medan terbaik untuk mencungkil bakat baru di peringkat akar umbi.

Adnan yang cukup disegani dengan jolokan ‘Raja Libas’ itu mengharapkan akan ada sekumpulan pemain muda terbaik dipilih untuk diketengahkan sebaik peringkat akhir kejohanan menutup tirainya di pusat membeli belah The Curve, Mutiara Damansara, Ahad ini.

Seperti kebanyakan peminat sepak takraw tanah air, jaguh era 80-an itu yang sudah terbatas kesabarannya melihat kejatuhan pasukan kebangsaan, tertunggu-tunggu bilakah zaman kegemilangan pasukan Malaysia yang satu ketika begitu gah akan kembali.

“Kejohanan seperti inilah pentas mencari permata baru dan digilap untuk menjadi juara dunia kelak. Saya percaya inilah masanya, peringkat akhir yang menampilkan barisan pemain terbaik dari seluruh negara.

“Janganlah sejurus tamat kejohanan, tiada usaha lanjut dilakukan. Seraplah mereka yang berpotensi mungkin ke dalam skuad pelapis kebangsaan atau program tertentu untuk mereka berkembang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Tambah Adnan, beliau ada menyaksikan sendiri kelibat pemain-pemain muda ketika menjadi tetamu jemputan di saingan Zon Utara, Julai lalu.

“Kualiti saingan tidak kurang hebatnya, saya lihat ada beberapa tekong yang agak menyerlah dengan servis cukup tajam. Saya menjangkakan saingan peringkat akhir lebih menarik hujung minggu ini,” jelasnya.
 
Back
Top
Log in Register