BTC USD 62,574.0 Gold USD 4,440.63
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Selamat Hari Wesak

Md Hanif

Legendary Member
gem
Messages
11,435
Joined
Jun 13, 2023
Messages
11,435
Reaction score
279
Points
146

Hari Wesak: Aaron Ajak Rakyat Semarak Perpaduan, Bina Masyarakat Digital Beretika​

2ae523981f2b12e7694b2795ff3216566a1a79c9e08ca

Kredit: FB - Aaron Ago Dagang

Bersempena dengan sambutan Hari Wesak, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus memperkukuh nilai kemanusiaan, menyemarakkan semangat perpaduan dan membina masyarakat digital yang lebih beretika, beradab dan bijaksana.

Sambil mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada penganut agama Buddha di negara ini, beliau berkata tema sambutan peringkat kebangsaan tahun ini, “Mendepani Era Digital, Memupuk Kebijaksanaan Bersama”, membawa mesej yang amat signifikan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Dalam dunia digital hari ini, perpaduan bukan lagi hanya diuji di dunia nyata, tetapi juga di media sosial.  Satu hantaran mampu menyatukan masyarakat, namun satu fitnah juga mampu merosakkan keharmonian negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Aaron berkata cabaran era digital ialah penyebaran kebencian, berita palsu, ekstremisme dan budaya menghukum tanpa berasaskan fakta.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa nilai MADANI seperti hormat, ihsan dan kemampanan sosial perlu diterjemahkan dalam kehidupan harian termasuk dalam penggunaan media sosial.

“Apa yang kita tulis, kongsi dan komen mencerminkan tahap kematangan masyarakat kita. Setiap rakyat mempunyai tanggungjawab untuk menjadi agen perpaduan, bukan penyebar kebencian.

“Rakyat Malaysia perlu menjadi masyarakat digital yang matang, berfikir sebelum berkongsi, menyemak sebelum percaya dan menghormati walaupun berbeza pandangan,” katanya.

Aaron berkata Kerajaan MADANI percaya bahawa dialog antara agama merupakan asas penting dalam memperkukuh perpaduan negara, kerana ia platform terbaik untuk membina kefahaman, merapatkan jurang dan memupuk rasa hormat antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Beliau berkata Malaysia dibina atas kekuatan menerima dan meraikan kepelbagaian yang menjadi tunjang kepada keharmonian dan kestabilan negara.

 

Hayati Nilai Luhur Hari Wesak, Tangkis Hasutan Kebencian - Anwar​

23afd5a8040312f104512b0632ae078d6a1bc4e83f3a9

Kredit: Laman Facebook Anwar Ibrahim

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk merenung nilai-nilai luhur yang menjadi asas kehidupan bermasyarakat bersempena dengan sambutan Hari Wesak hari ini.

Beliau berkata nilai-nilai tersebut khususnya kebijaksanaan, kesederhanaan, ihsan dan kasih sayang sesama insan, bukan sahaja diraikan dalam tradisi keagamaan malah terus relevan dalam membina sebuah masyarakat yang saling memahami dan menghormati.

Anwar berkata dalam negara yang rencam budaya, agama serta latar kehidupan, nilai cinta, ihsan dan kasih sayang yang diangkat ketika sambutan Wesak, memberi makna mendalam tatkala wujud kelompok yang cuba menyalakan api permusuhan antara kaum dan agama.

“Saya percaya penyebaran cinta dan kasih sayang akan menenggelamkan hasutan kebencian, menjernihkan prasangka serta memperkukuh hormat dan persefahaman, yang menjadi asas kepada keharmonian dan perpaduan negara,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri turut berharap agar sambutan Hari Wesak tahun ini dapat membawa ketenangan, kesejahteraan dan kebahagiaan kepada penganut Buddha di Malaysia.

Beliau berkata sambutan itu juga wajar menjadi titik tolak untuk terus menyemarakkan nilai kemanusiaan, yang menyatukan rakyat sebagai sebuah bangsa yang beradab dan bermaruah.

Hari Wesak diraikan oleh penganut Buddha di seluruh dunia bagi memperingati tiga peristiwa penting dalam kehidupan Siddharta Gautama iaitu kelahiran, pencerahan dan kematian beliau.

 

TPM, Jemaah Menteri Zahir Ucapan Hari Wesak, Seru Rakyat Terus Pelihara Perpaduan​

70d0e8c8bfe9aed4a247349a5d1346a96a1bc70db6c18


Timbalan Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri hari ini menzahirkan ucapan Selamat Hari Wesak kepada penganut agama Buddha, sambil menekankan perpaduan, toleransi serta saling menghormati  dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kepelbagaian agama, budaya dan tradisi, yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Malaysia, terus mencerminkan semangat keharmonian dan saling menghormati, yang diamalkan selama ini.

“Keunikan inilah yang membentuk identiti negara kita serta menjadi antara kekuatan dan tarikan Malaysia di mata dunia. Semoga sambutan Hari Wesak tahun ini, membawa kebahagiaan dan kegembiraan kepada semua yang meraikannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pula menyeru rakyat agar terus memperkukuh perpaduan dalam kepelbagaian, yang menjadi identiti Malaysia serta sumber kekuatan utama dalam memacu kemajuan negara.

“Dengan adanya keutuhan perpaduan, kita mampu mendepani apa jua cabaran termasuk krisis tenaga dan gangguan bekalan global yang sedang memberi kesan kepada seluruh dunia ketika ini. Semangat kebersamaan dan toleransi akan menjadi asas penting untuk negara terus kekal kukuh, berdaya tahan dan makmur,” katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil  berkata nilai kasih sayang, kebijaksanaan dan ihsan perlu terus disemai agar keharmonian yang telah kita bina sekian lama sentiasa terpelihara.

“Kita wajar saling mengingatkan sesama kita tentang peri pentingnya hidup dengan rasa hormat, berbuat baik sesama manusia dan memperkukuh semangat kebersamaan serta perpaduan dalam masyarakat,” katanya.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pula berharap sambutan Hari Wesak tahun ini, membawa kesejahteraan dan kebahagiaan kepada semua yang menyambutnya.

“Kita perkukuh semangat perpaduan, keharmonian, toleransi dan saling hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan kepercayaan di negara ini,” katanya.

 

Sultan Pahang, Tengku Ampuan Zahir Ucapan Selamat Hari Wesak​

ecb425e74f0ad12a1b3b616929f79b186a1bdbfcd5d5e

Kredit: Laman Facebook Kesultanan Pahang

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Hari Wesak kepada seluruh penganut agama Buddha.

Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, baginda berdua menzahirkan harapan agar sambutan itu dapat menyemarakkan nilai kasih sayang, keharmonian, toleransi dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama di negeri Pahang dan negara.

“Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar sambutan Hari Wesak menjadi ruang untuk memperkukuh perpaduan, persefahaman dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat, selaras dengan prinsip saling menghormati yang menjadi tunjang kepada kestabilan dan kemakmuran negara,” menurut kenyataan itu.

Hantaran itu memaklumkan Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang turut mendoakan agar seluruh rakyat Pahang dan Malaysia terus dikurniakan kesejahteraan, keamanan serta kehidupan yang harmoni dalam suasana masyarakat majmuk yang bersatu padu.

 
Back
Top
Log in Register