ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Noraini Nazirah ketika menceritakan detik cemasnya berpaut pada pokok selama lapan jam ketika banjir tahun lalu.
KUALA KRAI - 'Walaupun dah lebih tiga bulan dia hilang, setiap tutur kata dan gelagatnya masih jelas di ingatan," luah pasangan suami isteri yang kehilangan cucu, Nordiana Adila Mohd Ashraf Afandi ketika banjir gelombang pertama, 17 Disember lalu di Kuala Pertang, di sini.
Faridah Khalid, 58, dan Abd Ghani Sulaiman, 63, masih terkenangkan cucu mereka yang hilang sebaik terlepas dari pegangan ibunya, Suhana Abd Ghani ketika berusaha menyelamatkan diri dengan memanjat ke bumbung rumah setelah air masuk ke rumah mereka.
Abd Ghani berkata, Nordiana Adila yang berusia 1 tahun 8 bulan merupakan anak bongsu daripada enam beradik.
Menurutnya, cucunya itu seorang yang petah berbicara dan bijak di mana setiap pagi Nordiana akan mengejutkan ahli keluarganya bagi menunaikan solat Subuh.
"Setiap hari dia bangun awal, kemudian dia akan kejutkan kami sembahyang subuh.
"Sekiranya sesiapa yang tidak bangun, dia akan kejutkan sampai bangun dan mengarahkan semua orang sembahyang," katanya sebak apabila mengenangkan gelagat cucunya itu.
Abd Ghani berkata, walaupun anak kecil itu hilang dan masih belum ditemui hingga kini, dia pasrah dan redha dengan ketentuan tuhan.
"Orang lain meninggal ada kubur.
"Tetapi dia tenggelam sampai hari ini belum ditemui, tetapi kami pasrah dengan apa yang terjadi," katanya yang masih mengingati detik-derik terakhir cucunya tenggelam dan hilang kerana semuanya berlaku di depan mata.
Selain Nordiana Adila, dia serta cucu-cucunya turut terjatuh ke dalam air yang agak dalam tetapi bernasib baik dapat berpaut pada pokok.
"Cucu pakcik, Noraini Nazirah berpegang pada pokok selama lapan jam hingga tangannya luka.
"Berikutan itu dia terpaksa dirawat di Hospital Kota Bharu dan Hospital Kuala Krai lebih seminggu," katanya.
Dia berkata, walaupun cucunya belum ditemui hingga kini dia berpuas hati dengan usaha mencari yang dilaksanakan anggota bomba dan penyelamat bersama jabatan-jabatan lain yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat.
"Kesemua pihak telah berusaha bersungguh-sungguh mencari cucu pakcik.
"Pakcik tetap berpuas hati dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat," katanya yang kini tidak mampu bekerja dan hanya mengharapkan isterinya menoreh getah.
Abd Ghani turut meluahkan rasa syukur kerana badan bukan kerajaan telah menyiapkan rumah untuk mereka sekeluarga dua minggu selepas banjir.
Abd Ghani berkata, sebelum kejadian cucunya berperangai aneh apabila enggan masuk ke dalam kereta ketika mereka berada di Gua Musang untuk pulang ke Kuala Krai.
"Cucu pakcik menangis dan merengek seolah-olah dapat mengetahui apa yang bakal terjadi," katanya.
Katanya, arus deras dan keadaan agak gelap membuatkan dia tidak mampu menyelamatkan cucunya itu.
Tambahnya, ketika itu dia hanya mampu berpesan kepada isteri, anak dan cucu-cucunya supaya menjaga diri masing-masing.
Sementara itu, Faridah berkata, dia bersyukur Noraini Nazirah telah pulih dari trauma.
Katanya, tidur malam cucunya itu juga lena seperti mana sebelum kejadian.
"Bagaimanapun parut ditangannya masih jelas kelihatan," katanya yang kini mengambil alih tugas suaminya mencari rezeki dengan pendapatan sekitar RM300 dalam masa dua minggu.