Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,780
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,780
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
SD Guthrie Pacu Pertanian Pintar Menerusi Pelancaran NEXA NURSERY
SD Guthrie Berhad (Guthrie) melancarkan NEXA NURSERY, sebuah tapak semaian termaju yang dikendalikan oleh SD Guthrie Seeds and Agricultural Services (SDGSAS), sekali gus menandakan pencapaian penting dalam usaha kumpulan itu memacu pertanian berteraskan teknologi serta kecemerlangan operasi.
Dilancarkan secara rasmi oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie Mohd Haris Mohd Arshad, kemudahan itu direka untuk meningkatkan produktiviti, kualiti, kebolehkesanan serta persekitaran kerja pengendali tapak semaian, di samping menghasilkan anak benih terbaik dalam kelasnya menerusi teknologi canggih seperti GenomeSelect.
Guthrie dalam kenyataan memaklumkan tapak semaian baharu itu menangani cabaran utama industri minyak sawit, termasuk kebergantungan terhadap tenaga kerja, tekanan kos serta pengoptimuman produktiviti.
Menurut Guthrie, sejak memulakan operasi, NEXA NURSERY telah menyemai lebih sejuta benih kelapa sawit yang bercambah dalam tempoh enam bulan lepas, dengan kapasiti lebih lima juta benih setahun pada fasa pertama ini, menerusi sistem pengeluaran separa automatiknya.
"Ini memperkenalkan model operasi baharu bagi tapak semaian kelapa sawit Guthrie yang menggabungkan pengeluaran berpusat, automasi dan proses berfokuskan kualiti. Sebagai hab prasemaian berpusat, kemudahan itu mampu menghasilkan dan mengurus anak benih dalam jumlah besar dengan piawaian kualiti yang konsisten, sekali gus meningkatkan skala operasi dan kecekapan.
"Kadar penakaian anak benih yang menjadi peneraju industri menghasilkan anak benih yang lebih sihat dan seragam, sekali gus menyediakan bahan tanaman lebih baik kepada pengusaha serta mengurangkan pembaziran, manakala proses separa automatik meningkatkan pemantauan, penjejakan dan jaminan kualiti sepanjang proses penghasilan anak benih, seterusnya memperkukuh konsistensi dan akauntabiliti," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Haris dalam kenyataan yang sama berkata NEXA NURSERY mencerminkan budaya inovasi yang ingin dipupuk oleh kumpulan berkenaan, iaitu apabila penyelidikan, teknologi dan kecemerlangan operasi digabungkan bagi menghasilkan impak perniagaan yang boleh diukur.
"Ia turut memperkukuh keupayaan kami dalam menghasilkan anak benih berkualiti lebih tinggi, melonjakkan produktiviti serta mempercepat penerapan teknologi termaju, didorong oleh dedikasi dan kerjasama pasukan yang terlibat," katanya.
Kumpulan itu memaklumkan pengintegrasian teknologi dengan aliran kerja yang dioptimumkan membolehkan NEXA NURSERY mengurangkan kos pengeluaran serta mengekalkan standard kualiti tinggi, di samping menyokong kemampanan menerusi pengurangan pembaziran, penggunaan sumber yang lebih cekap dan persekitaran kerja yang lebih selamat.
Loading…
www.bernama.com