kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,716
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,716
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Sabah Peruntuk Lebih RM100 Juta Tajaan Biasiswa Tahun Ini
Datuk Seri Hajiji Noor
Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini untuk menampung pelajar sedia ada serta tajaan baharu melibatkan 2,182 pelajar.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan hari ini berkata usaha itu memberi manfaat kepada ribuan pelajar yang melanjutkan pengajian di pelbagai peringkat, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.
“Sehingga kini, jumlah keseluruhan pelajar yang menerima tajaan BKNS telah mencecah 13,389 orang, sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan lebih ramai anak Sabah memperoleh akses kepada pendidikan berkualiti.
“Komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan kekal menjadi keutamaan kerana sektor berkenaan menjadi asas penting dalam melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa meletakkan pembangunan modal insan sebagai asas kepada kemajuan negeri dan seiring dengan perkembangan semasa, Sabah memerlukan graduan berilmu, berkemahiran tinggi, berdaya saing serta mempunyai minda kreatif.
Hajiji berkata kerajaan bertekad meneruskan pelbagai program bantuan pendidikan termasuk 14 inisiatif yang diperkenalkan sejak 2021, antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off, Bantuan Khas Peperiksaan, Bantuan Ihsan Komputer, Bantuan Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah.
“Langkah yang kami ambil ini adalah untuk membantu pelajar serta keluarga, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan pendidikan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Hajiji berharap pelajar terus mengekalkan kecemerlangan termasuk meneroka dan melanjutkan pengajian dalam bidang strategik yang menjadi pemacu pembangunan masa hadapan, khususnya sektor minyak, gas dan tenaga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional serta kecerdasan buatan.