Rahim Bai ditahan polis kerana mengugut
Subang Jaya: Seorang lelaki warga emas ditahan polis selepas dipercayai mengugut seorang individu ketika mangsa sedang membuat siaran langsung di aplikasi TikTok di Kampung Sri Langkas, Puchong Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang apabila pengadu bersama beberapa rakannya membuat siaran langsung TikTok di kawasan berkenaan.
Menurutnya, ketika sesi siaran langsung berlangsung, beberapa lelaki tempatan termasuk suspek datang dan melarang pengadu daripada membuat rakaman di kawasan itu.
"Salah seorang lelaki yang dikenali sebagai Rahim Bai (suspek) telah mengeluarkan ugutan terhadap pengadu dengan mengatakan bahawa sekiranya rakaman tersebut menjadi tular akan 'memecahkan muka' pengadu.
"Pengadu berasa takut akibat ugutan tersebut dan seterusnya membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, Wan Azlan berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menahan seorang lelaki tempatan berumur 65 tahun kira-kira jam 4.20 petang, di sini, pada Rabu lalu.
Katanya, suspek kemudian dibawa ke mahkamah dan perintah tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu ini diluluskan bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan status siasatan masih berjalan," katanya.
Artikel Harian Metro