BTC USD 63,157.2 Gold USD 4,326.02
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Viral Restoran Caj Air Suam RM2!

'Kami bagi percuma saja air suam'​

27 Januari 2023 12:13pm

2071132.jpg


Shahrul Iswan


SEREMBAN - Sememangnya menjadi hak peniaga untuk mengenakan caj air suam atau air kosong kepada pelanggan, namun ia biarlah bersesuaian bukannya sehingga RM2.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa premis makanan di daerah ini dan Port Dickson pada Jumaat bagaimana pun mendapati kebanyakan mereka memberi percuma air berkenaan kepada pelanggan.

Malah ada yang meletakkan tong air tersebut bagi memudahkan pelanggan mengambilnya.

Pemilik restoran di Seremban 2, Shahrul Iswan Zailan, 36, pula berkata, sejak membuka restoran empat tahun lalu, dia sememangnya tidak mengenakan sebarang caj untuk air suam dan air kosong kepada pelanggan.

"Di setiap meja makan saya akan sediakan sebotol air kosong dan jika tidak cukup, pelanggan boleh ambil secara percuma di mesin air disediakan.

"Niat saya sambil berniaga mahu bersedekah. Tapi kalau peniaga lain nak caj pun tiada masalah, cuma harganya perlulah bersesuaian," katanya.

Bagi peniaga di Port Dickson pula, Saiful Nizam Talib, 43, berkata, tidak sampai hati untuk mengenakan caj kepada pelanggan yang minum air suam atau air kosong.

Oleh sebab itu katanya, dia menyediakan tong air kosong di kedainya bagi memudahkan pelanggan mengambilnya.

2071131.jpg


Siti Nor Ain


Peniaga di Medan Selera Penghulu Cantik, Siti Nor Ain Mohd Sin, 34, berkata, mana-mana peniaga berhak mengenakan caj air suam kepada pelanggan namun ia biarlah berpatutan.

"Biasanya saya tak caj pun, tapi kalau satu kumpulan pelanggan datang semuanya minta air suam, saya cajlah 20 sen segelas.

"Tapi kalau RM2 segelas, memang tak wajarlah," katanya.

2071130.jpg


Muhammad Ammar menunjukkan air suam dan ais kosong adalah percuma


Muhammad Ammar Wan Mohd Saidi, 28, berkata, dia serba salah untuk mengenakan caj air suam namun ia terpulang kepada peniaga.

Sebelum ini tular di media sosial, peniaga di Port Dickson mengenakan caj RM2 untuk air suam dan RM1 untuk air kosong kepada pelanggan.

Resit berkenaan dikongsi seorang pelanggan pada hantaran Facebooknya dan jumlah keseluruhan bil yang dimuat naik pelanggan terbabit termasuk hidangan makanan dan minuman lain, ialah RM102.

Dia turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati jika pergi makan di kedai berkenaan yang terletak di Port Dickson.


 

Tak munasabah caj air suam RM2 - MB​

27 Januari 2023 12:23pm

2071135.jpg


Aminuddin Harun. - Foto Bernama


SEREMBAN - Tindakan peniaga mengenakan caj RM2 untuk segelas air suam kepada pelanggan adalah tidak munasabah.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peniaga tidak sepatutnya mengambil kesempatan menaikan harga secara melampau walaupun pada musim perayaan.

"Kalau air suam itu, kita sepatutnya tahulah berapa harganya. Saya harap ia tak berlaku lagi kerana kerajaan bukannya menaikkan tarif air.

"Saya mohon para peniaga di Port Dickson supaya tidak mengambil kesempatan walaupun pada cuti umum atau hari biasa dengan kekalkan kemesraan yang selalu dikatakan supaya orang tak rasa jadi sejarah hitam buat mereka apabila datang ke Port Dickson," katanya kepada media pada Khamis.

Sebelum ini tular di media sosial, peniaga di Port Dickson mengenakan caj RM2 untuk air suam dan RM1 untuk air kosong kepada pelanggan.

Resit berkenaan dikongsi seorang pelanggan pada hantaran Facebooknya dan jumlah keseluruhan bil yang dimuat naik pelanggan terbabit termasuk hidangan makanan dan minuman lain ialah RM102.

Aminuddin yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson berharap kes berkenaan tidak berulang demi menjaga Port Dickson sebagai destinasi pelancongan terkenal.

"Saya berharap peniaga bersikap lebih bertanggungjawab dan bukannya mahu mengejar keuntungan kerana masih ada masa panjang untuk menjalankan perniagaan," katanya.


 
kalah telur punya harga... hahahaha... niaga air lah mcm ni... hahahhaa
 
Back
Top
Log in Register