matfx
Active Member
- Messages
- 1,855
- Joined
- Sep 17, 2007
- Messages
- 1,855
- Reaction score
- 143
- Points
- 33
KUALA LUMPUR - Mahkamah Persekutuan menetapkan esok untuk mendengar rayuan Kerajaan Negeri Sembilan dan empat yang lain terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan sebagai tidak sah enakmen Syariah negeri itu yang memperuntukkan bahawa adalah menjadi suatu kesalahan bagi lelaki Islam berpakaian seperti wanita.
Empat pihak lain itu ialah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan; pengarahnya; Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Sembilan; dan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sembilan.
Pada 27 Januari, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif membenarkan permohonan untuk merayu terhadap keputusan itu berasaskan satu persoalan undang-undang, yang akan dibincangkan dan diputuskan Mahkamah Persekutuan pada rayuan esok.
Persoalan undang-undang yang tetapkan mahkamah adalah sama ada Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 bercanggah dengan Perkara 5 (1), Perkara 8 (1), Perkara 8 (2), Perkara 9 (2) dan Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 5 adalah mengenai hak rakyat untuk hidup dan kebebasan diri, manakala Perkara 8 mengenai hak sama rata. Perkara 9 pula mengenai larangan buang negeri dan hak seseorang rakyat untuk bergerak secara bebas dan Perkara 10 adalah berkaitan hak seseorang rakyat untuk bebas bersuara.
Pada 7 November tahun lepas, Mahkamah rayuan membenarkan rayuan yang dikemukakan tiga transgender - Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26; Syukor Jani, 28; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30 - dan mengisytiharkan bahawa Seksyen 66, Enakmen Jenayah Syariah Undang-Undang Negeri Sembilan 1992 adalah tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan kerana memperuntukkan hukuman bagi lelaki Islam yang berpakaian seperti wanita.
Dalam permohonan semakan kehakiman mereka, Muhammad Juzaili, Syukor dan Wan Fairol, yang bekerja sebagai jurusolek pengantin, mendakwa Seksyen 66 enakmen itu tidak terpakai bagi mereka sebagai penghidap kecelaruan identiti jantina.
Pada hari sama, Mahkamah Persekutuan akan mendengar hujah Majlis Agama Islam Wilayah Persektuan (MAIWP) dan Jabatan Peguam Negara tentang sama ada undang-undang Islam adalah tertakluk kepada kebebasan asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah akan mendengar rayuan MAIWP dan Jabatan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa peguam bukan Islam layak beramal sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Dalam penghakimannya, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan bahawa Kaedah 10 Kaedah-kaedah Peguam Syarie 1993 yang menyebut bahawa hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie adalah bercanggah dengan Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.
Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh seorang peguam bukan Islam, Victoria Jayaseele
Martin, yang memohon untuk diterima sebagai peguam syarie di Wilayah Persekutuan.
Martin, 53, memperoleh Diploma Undang-undang dan Amalan Syariah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2004. - Bernama
Sumber : Sinar Harian