ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Yusof Ahmad
KUALA LUMPUR 30 Mac – Orang ramai berharap kerajaan dapat mempertingkatkan usaha untuk memberi penerangan yang lebih meluas tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) apabila ia dilaksanakan Rabu ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di pasar raya sekitar Cheras dan Ampang hari ini mendapati kebanyakan orang ramai sedar tentang pelaksanaan GST namun berharap penerangan berterusan dapat diberikan.
Bagi seorang suri rumah, Nik Fatimah Nik Zulkifli, 32, kerajaan perlu memperbanyakkan program atau ceramah berkaitan GST agar orang ramai dapat memahaminya.
“Ramai dalam kalangan pengguna yang keliru dengan pelaksanaan GST kerana telah disajikan dengan pelbagai maklumat yang tidak tepat hingga menyebabkan mereka marah dan menentang pelaksanaan GST.
“Saya faham tentang GST ini tetapi tidak adil sekiranya harga barang naik begitu tinggi sebelum pelaksanaan cukai baharu itu lagi. Kerajaan perlu membuat tinjauan harga barang yang naik sebelum 1 April,” katanya di sini .
Sementara itu, seorang peniaga, Suzinah Rostam, 53, berkata, sebagai peniaga dia sudah meneliti kesemua maklumat tentang GST di Internet.
“Penerangan yang jelas dan tepat perlu supaya masyarakat boleh membuat perbandingan melalui maklumat yang disebarkan, taklah menyalahkan kerajaan sahaja dengan pelaksanaan GST yang dikatakan membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Seorang suri rumah, Hawa Noordin, 43, berkata, kerajaan perlu memperbanyakkan program dan taklimat sehingga ke peringkat akar umbi seperti di daerah, mukim, kampung hingga ke kawasan pedalaman.
“Kebanyakan mereka yang memahami tentang konsep GST ini rata-ratanya mereka yang tinggal di bandar, jadi kerajaan seharusnya memberi pencerahan juga kepada mereka yang susah untuk mendapat akses tentang cukai itu,” katanya.
Di samping itu, seorang suri rumah, Wun Choon Yaan, 35, berkata, penerangan yang jelas dan tepat perlu memandangkan GST merupakan sistem percukaian yang unik.
“Tidak ramai di antara kita yang faham tentang GST, saya sendiri kurang arif tentang cukai ini. Kerajaan seharusnya lebih memperbanyakkan iklan di televisyen dan radio kerana orang ramai mudah tertarik dengan kedua-dua media tersebut,” katanya.
Seorang pekerja di syarikat swasta, Norbaini Najib, 25, berkata, dalam era teknologi maklumat, pengguna boleh mengakses maklumat tentang GST, contohnya di laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram.
“Kerajaan perlu bijak menarik perhatian golongan muda kerana kebanyakan mereka tidak mengambil serius tentang apa yang kerajaan laksanakan,” katanya.
Bagi seorang pesara tentera, Yusof Ahmad, 61, berkata, dia mendapat maklumat tentang GST melalui ceramah dan dialog yang dianjurkan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Kementerian Kewangan dan JKDM perlu lebih aktif membuat ceramah berkaitan GST untuk pengguna kerana sebagai rakyat mereka mempunyai hak untuk mengetahui dengan lebih terperinci apa yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.
Sementara itu, guru sekolah rendah, Suhaiza Mohd. Fauzi, 31, berkata, GST merupakan salah satu instrumen persediaan ke arah negara maju pada tahun 2020, oleh itu kerajaan harus mengeluarkan lebih banyak bajet untuk membuat iklan yang dapat menarik semua golongan masyarakat.
“Masyarakat perlu tahu tentang kebaikan GST yang akan dilaksanakan oleh kerajaan supaya tidak timbul rasa tidak puas hati,” katanya.