hiduprakyat
CG Top Poster Club

- Messages
- 27,485
- Joined
- Dec 6, 2010
- Messages
- 27,485
- Reaction score
- 1,681
- Points
- 201
Polis tahan lelaki disyaki pukul kucing hingga mati
Januari 2, 2026, Jumaat - 1:40pm
KUCHING: Polis mengesahkan tangkapan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun berhubung satu video tular di media sosial yang memaparkan perbuatan kejam memukul seekor kucing hingga mati menggunakan objek menyerupai kayu.
Ketua Polis Daerah ACP Alexson Naga Chabu berkata, video berdurasi 41 saat itu dipercayai dirakam di sebuah kedai dobi layan diri di Jalan Astana, di sini.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam kejadian berkenaan, manakala semakan lanjut mengesahkan objek yang digunakan adalah sebatang kayu.
“Siasatan turut mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan hasil ujian saringan awal air kencing menunjukkan suspek positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Ang Mei Cin di talian 010-7039818.
oleh
Jeremy Lanson
Artikel : Utusan Borneo