combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,123
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,123
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
PM Anwar Mahu Tujuh Inisiatif Bantu Warga Felda Dilaksana Segera
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada majlis Santai Perantau sempena 70 tahun FELDA di Dewan Perdana FELDA.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tujuh inisiatif yang diumumkan sebelum ini bagi membantu warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), dilaksanakan dengan segera.
Anwar berkata beliau telah meminta laporan kemajuan berkaitan semua inisiatif, yang antaranya merangkumi bantuan kepada Felda dan perumahan generasi baharu, disediakan setiap bulan supaya pelaksanaannya tidak tertangguh.
“Kita umumkan tujuh perkara itu saya dah beritahu Pengurus Besar (Felda), saya nak ada laporan kemajuannya setiap bulan supaya tidak tertangguh.
“Kadang-kadang saya tak salahkan rakyat. Kita umum pelaksanaan itu orang bosan tunggu, jadi sebab itu nak tunggu lama, soal rumah kedua sekurang-kurangnya ada sebahagian yang kita selesaikan,” kata beliau.
Anwar berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Santai Perantau sempena 70 Tahun Felda di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Felda Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.
Pada 7 Julai lepas, Perdana Menteri mengumumkan tujuh inisiatif sempena Sambutan Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 FELDA, antaranya memperkasakan literasi digital kepada warga peneroka melibatkan peruntukan sebanyak RM15.85 juta kepada 317 rancangan FELDA yang layak.
Selain itu, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi membaik pulih 370 sekolah rendah dan menengah di kawasan FELDA, manakala dana tambahan berjumlah RM3 juta disediakan bagi pasukan kesihatan Skuad MAYA FELDA.
Kerajaan juga bercadang meminda Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530), bagi membolehkan pembinaan lebih daripada satu unit rumah di atas satu lot kediaman milik peneroka FELDA.
Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan Persekutuan sedia mempertimbangkan bantuan kewangan kepada kerajaan negeri, berkaitan projek pembinaan lebih daripada satu unit rumah di atas satu lot kediaman milik peneroka FELDA, termasuk bagi proses pemasangan elektrik dan air.