Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
PKR Perlu Terus Pertahan Politik Adil, Tolak Isu Perkauman - Naib Presiden
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Amirudin Shari
PKR perlu terus mempertahankan pendekatan politik yang adil kepada semua golongan masyarakat, sambil menghormati kedudukan Islam dan orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.
Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari berkata kedudukan agama Islam dan orang Melayu, adalah teras dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dihormati semua pihak.
“Tapi dalam masa sama, kita berlaku adil kepada semua orang Melayu, orang Cina, India, orang Kristian, Buddha dan Hindu,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari kedua Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Menteri Besar Selangor itu berkata perjuangan reformasi yang dicetuskan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, telah berjaya mengarusperdanakan pelbagai perkara termasuk penyuburan demokrasi dan hak asasi, pengagihan ekonomi yang adil dan pentadbiran kerajaan berintegriti.
Senada dengan Amirudin, Naib Presiden PKR Datuk Seri R Ramanan mahu PKR kekal tegas dalam mempertahankan kepelbagaian kaum di negara ini, serta menolak sekeras-kerasnya tindakan menggunakan isu perkauman sebagai modal politik.
Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata pendirian itu penting, bagi memastikan keharmonian rakyat kekal terjamin dan tidak tergugat oleh agenda politik yang sempit.
“Dalam politik negara kita, ada pihak yang sengaja memainkan isu perkauman untuk meraih undi dan memecahbelahkan perpaduan demi kepentingan diri. Namun, PKR harus terus menjadi parti yang tegas mempertahankan kepelbagaian dan menolak sekeras-kerasnya tindakan tersebut,” katanya.
Ramanan turut menyeru agar seluruh kepimpinan dan ahli parti mengutamakan kesatuan serta mengenepikan ego peribadi, demi mengukuhkan jentera parti di semua peringkat.
“Kalau kita bergaduh sesama sendiri di atas, yang akhirnya menjadi mangsa ialah jentera di bawah. Cabang terjejas, Ranting terjejas, anggota keliru, jentera menjadi lemah dan akhirnya lawan politik kita yang mendapat keuntungan. Kita mesti bekerjasama sebagai satu keluarga,” katanya.