afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
PKR Kedah tempelak Sanusi salahkan Anwar berkait lesen judi
Tunku Nashrul Abaidah mengingatkan Sanusi Nor bahawa ketika PAS berada dalam kerajaan Perikatan Nasional, pentadbiran yang disertai parti itu meningkatkan cabutan khas judi daripada lapan kepada 22 kali setahun.
Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Tunku Nashrul Abaidah Tunku Nashrul berkata, Sanusi sepatutnya menjelaskan kegagalan pentadbiran kerajaan negeri dalam kes berkenaan dan tidak menjadikan perdana menteri sebagai sasaran.
Katanya, tindakan kerajaan negeri menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan telah dicabar di mahkamah dan keputusan memihak kepada pengendali berkenaan.
“Sanusi, usah baling batu sembunyi tangan. Sikap bermuka-muka dan berpura-pura suci dalam isu ini jelas mencerminkan kemunafikan politik.
“Realitinya, ketika PAS berada dalam kerajaan Perikatan Nasional, pentadbiran yang disertai partinya meningkatkan cabutan khas judi daripada lapan kepada 22 kali setahun.
“Sebaliknya, Anwar sebagai perdana menteri dan menteri kewangan yang dihamun oleh Sanusi itulah yang menurunkannya kembali kepada lapan kali setahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan yang membatalkan tindakan negeri itu menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan.
Mahkamah Persekutuan juga memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000, selepas panel tiga hakim memutuskan kerajaan Kedah gagal memenuhi ambang yang diperlukan bagi mendapatkan kebenaran merayu.
Sebelum itu, Mahkamah Rayuan pada Disember tahun lalu melalui keputusan majoriti 2-1 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati tindakan kerajaan Kedah menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan perjudian bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti berpandangan urusan berkaitan perjudian dan loteri berada di bawah bidang kuasa Persekutuan, termasuk kuasa Kementerian Kewangan mengeluarkan dan mengawal selia lesen pengendali serta ejen perjudian.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Taufiq Johari menuduh Sanusi menghina keputusan mahkamah apabila menggunakan kata-kata kesat seperti ‘celaka’ dan ‘pelaq’ ketika mendesak Anwar menghalang pengendali berkenaan daripada memperbaharui lesen mereka.
Beliau menambah bahawa Islam jelas melarang perjudian bagi umat Islam, namun penggunaan bahasa yang tidak sopan itu tidak wajar bagi seorang pemimpin seperti Sanusi.
“Tindakan dan kata-katanya bukan sahaja merupakan serangan terhadap perdana menteri, malah penghinaan terhadap keputusan mahkamah dan maruah Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan Mahkamah Persekutuan adalah muktamad dan dibuat secara bebas tanpa campur tangan pihak eksekutif. Perkara berkaitan undang-undang seperti ini tidak sepatutnya dijadikan bahan politik murahan,” katanya dalam kenyataan.
Sanusi sebelum ini dilaporkan memberi amaran perdana menteri akan dimaki rakyat Kedah sekiranya membenarkan aktiviti perjudian disambung semula di negeri itu.
Berucap pada sesi penjelasan isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah pada malam Selasa, beliau berkata, kerajaan negeri sudah melakukan apa yang terdaya untuk menghalang aktiviti berkenaan menerusi larangan menyeluruh terhadap premis perjudian dan loteri di Kedah.
