Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,760
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,760
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
PGA Tahan Enam Lelaki, Rampas Bijih Besi Dan Jentera Bernilai Hampir RM3 Juta
--kredit PGA Briged Tenggara
Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan enam lelaki dan merampas 360 tan bijih besi bersama lima kenderaan serta sebuah jentera berat bernilai keseluruhan RM2.98 juta dalam Ops Bersepadu Khazanah di sebuah kawasan perlombongan di Mukim Kuala Nal, Kuala Krai, hari ini.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata serbuan pada 1 tengah hari tadi dijalankan anggota Risik Batalion 8 PGA, Pengkalan Chepa dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kelantan hasil maklumat risikan.
Beliau berkata pemeriksaan di lokasi mendapati sebuah jentera pengorek sedang memindahkan bijih besi ke dalam empat mototrailer sebelum operasi dihentikan.
“Enam lelaki berusia antara 31 hingga 63 tahun terdiri daripada seorang penjaga kawasan, pemandu jentera pengorek dan empat pemandu mototrailer ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil semakan mendapati syarikat berkenaan memiliki permit perlombongan yang masih sah hingga 13 Nov 2026, namun pemeriksaan lanjut oleh PTG mengesahkan aktiviti perlombongan telah diperluaskan di luar kawasan yang diluluskan di bawah syarat lesen,” katanya dalam kenyataan malam ini,
Beliau berkata rampasan melibatkan sebuah jentera pengorek Hyundai, empat mototrailer Volvo pelbagai nombor pendaftaran serta 360 tan bijih besi dengan nilai keseluruhan RM2.98 juta.
Ahmad Radzi berkata kesemua suspek dan barang kes telah diserahkan kepada PTG Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001.
“Kesemua suspek mengaku bekerja di bawah seliaan seorang penyelia yang bertanggungjawab mengurus operasi perlombongan di kawasan berkenaan. Siasatan juga mendapati bijih besi yang dilombong dipercayai dihantar ke sebuah kilang pemprosesan di Kuantan, Pahang,” katanya.
Ahmad Radzi berkata PGA akan meneruskan risikan dan pemantauan secara berterusan bagi mengesan sebarang pelanggaran syarat lesen serta membanteras aktiviti perlombongan haram di Kelantan.