BTC USD 82,752.7 Gold USD 4,169.40
Time now: Jun 1, 12:00 AM

***Petua Pancing & Pemancing***

Adika

Super Active Member
Messages
8,726
Joined
Jul 25, 2007
Messages
8,726
Reaction score
3
Points
65
Thread ni hamba buka khusus bg berkongsi petua dengan para pemancing tak kisah la di mana skali pon.. Andai anda ada segala petua/tips silala tepek di sini buat panduan kita sesama ek. Tak kisah la dari mana anda dapat/copy. Moga apa saja petua, panduan dsb yg dapat dikongsi bersama di sini dapat dimanfaatkan oleh semua.
 
Anggap tidak dapat ikan sebagai ujian
Oleh Nuri Angkasa

RAMAI yang bertanya Pak Nuri, apakah petua yang membolehkan kita mendapat ikan setiap kali turun memancing. Pada masa sama, petua itu boleh mengatasi rakan pancing yang lain.

Ada beberapa petua yang perlu diamalkan. Ini tidak ada kaitan dengan mengamalkan serapah jampi atau kepercayaan yang boleh memisahkan akidah sebenar yang dituntut oleh agama Islam. Kita kena berpegang pada kalam Allah - rezeki, jodoh pertemuan dan kematian di tangan Allah - dan berusaha itu satu kewajipan.

Justeru, petua memancing untuk mendapat ikan, kita kena tahu jenis umpan yang digemari oleh spesies ikan di sesuatu kawasan memancing, waktu ikan lapar dan memburu umpan. Arus air laut dan perambut panjang atau pendek turut memainkan peranan bagi menarik perhatian spesies ikan.

Lokasi tukun, lubuk atau karang yang sudah dikenal pasti ada dihuni ikan dan umpan yang terbaik seperti ikan atau udang hidup tentu berjaya menjinakkan ikan dengan teknik pancing dasar atau jigging.

Dalam soal ini, tidak ada amalan serapah jampi diguna pakai bagi menarik perhatian ikan. Namun apa yang berlaku di dasar laut ialah umpan terbaik saja yang akan diburu ikan. Anda perlu selalu menukar umpan sambil bermain tali supaya umpan yang terapung itu dapat menarik perhatian ikan yang berlegar-legar di dasar.

Usaha ini perlu dilakukan dengan sabar dan yakin walaupun kadang kala ada umpan pemancing yang tidak disentuh langsung oleh sebarang ikan dalam masa yang begitu panjang sedangkan rakan pancing di kiri kanannya sudah berjaya mendaratkan pelbagai spesies ikan.

Kerana terlalu kecewa, ada pemancing akan sering bertukar-tukar joran dengan rakan sebelah. Namun beliau tetap menerima nasib yang sama. Sedangkan rakan yang menggunakan joran yang berpindah tangan itu terus mendaratkan ikan seperti biasa.

Justeru, ini bukan salah joran atau umpan yang tidak kena. Umpan yang digunakan adalah sama dan kadang kala tekong sendiri yang memasangnya. Berakhir ekspedisi 24 jam atau 36 jam, pemancing itu menerima nasib kurang baik kerana tiada seekor ikan yang dapat dipancing.

Siapa yang salah dalam perkara ini? Kenapa ikan tidak mahu menyentuh umpan pemancing ini? Sedangkan ikan mungkin banyak di dasar dan meragut umpan yang sama digunakan oleh rakannya?

Dalam situasi begini, kita harus menerima hakikat bahawa mungkin ini satu dugaan Allah dan tentu ada hikmah di sebaliknya. Anda jangan sekali-kali menyalahkan diri sendiri atau lebih teruk anda menganggap diri anda seorang yang malang.

Ingatlah, Allah yang menentukan nasib anda dan rezeki yang bakal diperoleh kelak. Syaratnya anda kena bersabar dan sentiasa bersyukur.
 
pemuda xder ker???


apa pun mmg bagus ko nih..:)cgrock:)cgrock:)cgrock
 
Bersihkan badan sebelum berjumpa anak
Oleh Nuri Angkasa

SABAN waktu, ada saja cerita mengenai bayi, anak kecil atau individu yang lemah semangat diganggu 'makhluk halus' apabila ada seorang daripada keluarga pulang daripada memancing atau dari satu tempat yang jauh.

Keadaan itu menyebabkan ada antara mereka terpaksa berjumpa bomoh atau ustaz yang tahu untuk menghalau atau menghindarkan makhluk yang tidak diingini itu daripada terus berada dalam rumah atau berdamping dengan mangsa dalam keluarga mereka.

Justeru, kali ini sekali lagi Pak Nuri mengingatkan kaki pancing seluruhnya terutama kepada mereka yang meninggalkan rumah agak lama untuk keluar memancing di laut, tasik, sungai, kolam dan lombong tinggal.

‘Makhluk halus’ yang mengiringi kita pulang kadang kala tidak memberi sebarang amaran mengenai kehadirannya ketika kita sedang memancing atau berjalan pulang. Kecuali, apabila tiba di rumah ia akan mengganggu anak kecil terutama bayi yang baru lahir.

Melalui petua orang tua-tua, apa yang perlu dilakukan ialah anda tidak perlu terus masuk ke rumah selepas pulang dari sesuatu trip pancing. Sebaliknya, berehatlah beberapa minit di luar rumah dengan sebaik-baiknya membaca surah al-Fatihah atau berazan kemudian baru melangkah masuk ke dalam sambil memberi salam. Anda juga dilarang terus mendapatkan anak kecil sebaik tiba dalam rumah, untuk beberapa ketika. Anda juga boleh selawat dan berzikir sepanjang perjalanan pulang itu supaya tahap gangguan boleh diminimumkan atau dihindari sepenuhnya.

Cara pantang larang begini sudah diamalkan sejak berzaman. Kesannya amat nyata bagi mengelak kanak-kanak kecil diganggu oleh makhluk halus yang memang gemar menyakat kanak-kanak atau mereka yang lemah semangat.

Makhluk halus yang mengikut anda dari tempat yang anda tidak ketahui asal usulnya atau dari laut yang terdedah dengan hantu syaitan mungkin ada yang berminat untuk mengikut pulang. Untuk itu, sebagai ikhtiar anda maka bersedialah lebih awal dengan berpandukan pantang larang bagi menghindarkan sesuatu yang kita tidak ingini.

Selain itu, ada juga beberapa petua iaitu adalah lebih baik anda menanggalkan pakaian yang dipakai ketika memancing sebelum memasuki rumah. Ini boleh dilakukan sama ada pakaian itu ditinggalkan di luar rumah atau terus masuk ke bilik air untuk dibasuh dan seterusnya anda membersihkan badan atau mandi.

Selepas mandi dan melakukan solat sunat dan yang fardu, pasti anda rasa segar. Justeru, pada waktu ini anda boleh mengambil anak kecil, atau sebaik-baiknya membantu isteri menyiang ikan yang dibawa pulang. Lakukannya dengan penuh ikhlas, mesra lagi bertanggungjawab. Allah akan memberikan keberkatan yang berkekalan, Insya-Allah.

Sekadar berkongsi...
 
Suami gantung joran apabila isteri hamil
Oleh Nuri Angkasa

KEPERCAYAAN melarang suami memancing apabila si isteri mengandung sudah menjadi satu daripada budaya masyarakat Melayu sejak berzaman dulu lagi. Justeru, Pak Nuri terpanggil untuk mengisi ruangan kali ini dengan pendapat beberapa orang nelayan veteran dan pakar agama yang boleh memberi pandangan serta fatwa terbaik bagi menyelesaikan keraguan di kalangan orang ramai.

Menurut pandangan Tok Daing Mahadi, nelayan berusia 89 tahun dari Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor ketika ditemui penulis beberapa bulan lalu, bahawa kepercayaan itu diada-adakan oleh isteri serta keluarga kedua-dua pihak. Larangan supaya suami tidak turun memancing ketika isteri hamil adalah kerana bimbang bayi yang bakal lahir akan mendapat kecacatan seperti mulut sumbing, badan bersisik ataupun ada tabiat menyukai air dan pelbagai lagi gambaran atau andaian buruk yang semata-mata untuk menakutkan suami.

Larangan ini terus dipercayai oleh mereka yang benar-benar bimbang kelahiran anak pertama mendapat cacat. Tetapi bagaimana dengan nelayan yang bergantung hidup sepenuhnya pada pada hasil tangkapan atau hasil pancingan ikan di laut, sungai atau tasik? Apakah mereka turut tidak turun ke laut sepanjang tempoh isteri hamil?

Tok Daing Mahadi mempunyai kepercayaan sendiri lalu menyerahkan takdir ini kepada Allah. Nelayan terus turun ke laut untuk mencari rezeki walaupun isteri berbadan dua atau hamil dan Alhamdulillah bayi yang lahir berada dalam keadaan cukup sifat (tidak ada sebarang kecacatan).

Begitu juga dengan pandangan seorang tokoh agama dari Besut, Terengganu Tuan Haji Embong yang tidak menolak kepercayaan ini adalah satu ikhtiar untuk menyekat suami dari turun memancing ketika isteri hamil. Ini bukan pandangan ulama atau ajaran agama Islam. Justeru hakikat ini tidak harus dijadikan amalan untuk menghalang suami turun ke laut mencari rezeki.

Namun ada kepercayaan berikutan berlaku kelahiran bayi cacat seperti sumbing bibir kerana suami dikatakan mengoyak mulut ikan ketika mengeluarkan mata kail yang menelan umpan lalu cerita itu dikaitkan dengan cacat anak yang lahir itu sebagai bukti yang terus dipercayai hingga hari ini.

Untuk itu, sebagai umat Islam kita harus menyedari bahawa Allah tidak menghalang hamba-Nya keluar mencari rezeki yang halal walau dalam keadaan isteri hamil. Cuma atas rasa simpati jika mahu diterjemahkan sebagai kasih sayang pasangan suami isteri, maka suami akan terus berada di samping isteri pada saat-saat diperlukan. Perasaan kasih sayang begini juga dituntut oleh agama dan mendapat pahala dari Allah. Namun itu juga bukan satu petua yang terus menghalang turun ke laut ketika isteri hamil. Sesungguhnya Allah maha berkuasa lagi maha bijaksana.


Slalu dengar gak nih.. so jgn riso lg pas ni ek...
 
Pemancing latah, sawan perlu jujur
Oleh Nuri Angkasa

ADA beberapa perkara penting yang hendak dikongsi bersama dengan rakan pancing melalui Petua Pak Nuri kali ini iaitu mengenai keselamatan diri ketika ekspedisi memancing di laut ataupun di mana saja.

Rakan pancing dalam kumpulan besar atau kecil adalah saudara paling rapat antara satu sama lain walaupun itu mungkin kali pertama menyertai kumpulan berkenaan.

Ketika di laut, kita perlu bekerjasama (team work) dalam apa juga keadaan. Mengasingkan diri adalah satu sifat yang merugikan diri sendiri. Malah keadaan lebih merbahaya jika kita ditimpa kemalangan yang memerlukan bantuan kawan.

Dalam bot tidak ada ibu bapa, saudara mara, doktor atau pakar bedah untuk memberikan bantuan selain rakan pancing berada dalam kumpulan itu yang akhirnya akan memberi bantuan apabila diperlukan.

Bekerjasama dan sifat suka menolong adalah budaya kita orang Melayu. Dengan cara atau sikap ini juga kita dapat membantu atau membuat persediaan lebih awal jika pemancing perlu diberi pertolongan. Kepada ahli kumpulan yang ada penyakit latah yang tidak boleh tersentuh atau terperanjat atau ada yang mempunyai penyakit sawan; sentiasa terdedah kepada pelbagai bahaya ketika berada di laut.

Setiap ahli dalam kumpulan perlu mendapat maklumat mengenai perkara ini terutama bagi rakan pancing yang baru menyertai mereka. Pak Nuri difahamkan, sering berlaku kemalangan seperti pemancing terjun ke laut apabila si latah diusik atau terperanjat. Orang yang melatah juga akan bertindak sama ada kasar, membahayakan pemancing atau diri sendiri. Justeru, ingatlah bahawa di atas bot bukan tempat untuk bergurau senda dengan si latah.

Begitu juga dengan penghidap sawan laut yang sudah tidak dapat dikawal. Justeru, menjadi tanggungjawab ahli dalam kumpulan untuk membantu dan sentiasa peka dengan keadaan ini.

Jika seseorang pemancing menghidap mana-mana penyakit itu maka berterus terang kepada rakan pancing dalam kumpulan adalah satu cara paling baik. Jangan malu untuk menyatakan keadaan sebenar sebab keadaan lebih buruk boleh berlaku jika kita berdepan dengan situasi yang datang secara mendadak dan dalam keadaan tidak bersedia.

Adalah menjadi harapan Pak Nuri supaya pemancing terbabit berterus terang terutama kepada pemancing yang baru menyertai kumpulan atau trip memancing supaya langkah awal dapat disediakan atau semua pemancing sudah dimaklumkan dan akan bertindak pantas jika berlaku keadaan yang tidak diingini.

Segan atau malu yang memerangkap diri sendiri terus berdepan dengan keadaan lebih buruk dan menyusahkan rakan kumpulan adalah satu perbuatan yang merugikan dan tidak wajar untuk menjadi seorang pemancing laut.

Jngn sampai nyusahkan orang lain...
 
Back
Top
Log in Register