Perodua lancar Bezza GXtra
SERDANG - Pembuat kereta tempatan, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) melancarkan varian baharu kereta sedan pertama syarikat itu, Bezza GXtra pada harga RM35,500 untuk manual dan RM37,500 untuk automatik.
Pelancaran varian baharu yang dikuasakan dengan enjin 1.0 liter itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pameran Automotif Malaysia di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang di sini hari ini.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, varian peringkat asas baharu itu adalah bagi menggantikan Bezza 1.0 standard G dengan penambahan skirt sisi dan pemegang pintu luar krom.
“Dari segi dalaman, papan pemuka dan panel audio dihiasi dengan kemasan ‘piano black’ manakala corong udara, sayap stereng serta tapak gear dihiasi trim berwarna terang. Selain itu, model tersebut turut disertakan dengan fungsi bluetooth,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, Bezza GXtra juga boleh didapati dalam warna biru laut yang sebelum ini hanya ditawarkan bagi varian 1.3 liter.
“Bezza GXtra newakili langkah seterusnya dalam jangka hayat model ini. Dengan menyediakan spesifikasi trim yang setanding dengan Bezza 1.3 liter Premium X, kami memberikan lebih banyak nilai berbanding varian sebelumnya,” katanya.
Di dalam pada itu, katanya. Bezza merupakan sedan pertama keluaran Perodua dan menjadi sedan kenderaan cekap tenaga (EEV) paling mampu milik di Malaysia dan sudah terjual hampir 100,000 sejak dilancarkan pada pertengahan 2016.
“Bezza telah menjadi pilihan ramai keluarga kecil di Malaysia kerana kebolehpercayaannya, kos pemilikan yang rendah, pemanduan yang mudah dan ruang yang luas,” katanya.
http://www.kosmo.com.my/terkini/perodua-lancar-bezza-gxtra-1.658613