kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,699
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,699
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Permohonan Badan Peguam Cabar DNAA Ahmad Zahid Ditangguh
Permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mencabar keputusan pendakwaan menghentikan prosiding kes rasuah Yayasan Akalbudi melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dijadualkan didengar di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, ditangguhkan.
Hakim Alice Loke Yee Ching membenarkan penangguhan itu selepas peguam utama Badan Peguam Datuk S. Ambiga memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 8 Okt depan untuk mendengar permohonan Ahmad Zahid dan Peguam Negara bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat pada 7 Mei lepas.
“Kami berpendapat kita perlu menunggu sehingga permohonan undang-undang berkenaan diputuskan sebelum meneruskan permohonan ini. Oleh itu, kami memohon penangguhan prosiding hari ini," kata Ambiga.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, yang mewakili Peguam Negara berkata pihak pendakwaan tidak membantah permohonan penangguhan itu memandangkan prosiding di Mahkamah Persekutuan akan menentukan ujian undang-undang yang terpakai bagi semakan kehakiman dalam hal yang melibatkan budi bicara pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 Okt depan untuk pengurusan kes bagi mendapatkan perkembangan berkaitan keputusan prosiding di Mahkamah Persekutuan.
Pada 7 Mei lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan Badan Peguam memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara pada 4 Sept 2023 untuk menghentikan prosiding terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.
Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 yang sebelum itu menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman tersebut.
Ahmad Zahid yang juga responden kedua dicadangkan dalam prosiding semakan kehakiman itu kemudian memfailkan permohonan berasingan pada 25 Mei lepas bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.
Beliau mengemukakan lima persoalan undang-undang bagi menyokong permohonan kebenaran merayu mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.