Eksklusif: Dilayan macam binatang
Oleh IBRAHIM ISA
> Dipaksa kutip sisa babi
JOHOR BAHRU: “Kami dijual S$800 (RM1,808) seorang dan dilayan seperti binatang apabila barangan peribadi kami dirampas dan dipaksa bekerja sehingga 21 jam sehari,” kata Shukur Abu, 47, yang mendakwa ditipu ejen pekerjaan di Singapura.
Shukur berkata, dia juga dipukul jika tidak mengikut arahan, bekalan makanan tidak mencukupi dan tidak halal, manakala gaji bukan seperti dijanjikan.
“Kami dijanjikan bekerja di atas kapal dengan gaji S$1,000 (RM2,260) tapi setibanya di sana, kami dipaksa bekerja sebagai buruh untuk membersihkan sampah di kawasan pasar seluas lebih satu kilometer. Tiada bayaran diberikan, sebaliknya kami dikatakan berhutang dengan mereka,” katanya kepada Metro Ahad.
Bapa empat anak berasal dari Senggarang, Batu Pahat, dekat sini, berkata mujur hanya selepas tujuh hari bekerja di republik itu dari 1 hingga 7 Ogos lalu, dia berjaya melarikan diri dan pulang semula ke Malaysia.
Menurut Shukur, dia membuat keputusan mencari rezeki di Singapura kerana pendapatannya sebagai nelayan merosot berikutan tangkapan ikan dan jualan umpan semakin berkurangan sejak kawasan kampungnya dilanda banjir besar, Januari lalu.
“Sejak bencana itu kehidupan kami tertekan, sedangkan saya perlu menyara dua anak yang masih bersekolah dan seorang menuntut di institut pengajian tinggi swasta (IPTS). Apabila seorang rakan memberitahu ada iklan di akhbar menawarkan pekerjaan di Singapura, saya tidak teragak-agak mengikutnya.
“Sebelum ke Singapura, saya terpaksa menjual bot dan motosikal. Berbekalkan wang RM3,000, saya bersama rakan pergi ke Johor Bahru pada 30 Julai lalu,” katanya.
Menurut Shukur, selepas berkenalan dengan ejen berkenaan, mereka ditempatkan di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Uda, di sini, dan dilayan dengan baik.
Keesokan harinya, mereka dibawa ke sebuah kondominium di Teluk Danga, di sini, untuk menandatangani kontrak bekerja dengan syarikat perkapalan dan dijanjikan gaji melebihi S$1,000 (RM2,260).
Shukur berkata, mengikut kontrak itu dia perlu bekerja 12 jam sehari, tempat tinggal disediakan, selain kemudahan pinjaman tunai harian sebanyak S$10.
“Ketika itu kami tidak perlu bayar apa-apa kerana ejen itu mendakwa mereka adalah majikan yang mencari pekerja, bukan ejen pekerjaan,” katanya.
Menurutnya, dari kondominium itu dia dan rakannya bersama lima wanita tempatan dibawa ejen berkenaan ke Singapura. Setibanya di republik itu, mereka menjalani pemeriksaan perubatan sebelum dibawa ke sebuah pejabat di Chinatown untuk mendaftarkan diri sebagai pekerja.
“Ketika mendaftarkan diri, saya melihat ejen Malaysia berdiri di sebelah ejen Singapura yang duduk dan mengambil keterangan kami. Sebaik selesai urusan pendaftaran seorang pekerja, ejen Singapura itu membayar S$800 (RM1,808) kepada ejen Malaysia.
“Saya bertanya ejen Malaysia, mengapa dia menerima duit daripada ejen Singapura dan dia menjawab, ‘hutang lama’, tetapi ketika itu saya mula tidak sedap hati,” katanya.
Shukur berkata, selepas selesai urusan pendaftaran, semua pekerja baru dari Malaysia disuruh pergi membeli barang keperluan diri masing-masing dengan alasan selepas menaiki kapal untuk bekerja, sukar mendapatkan barang keperluan.
“Ketika itu lima wanita yang datang bersama kami sudah tiada. Saya tidak tahu ke mana mereka dibawa. Yang tinggal hanya saya dan kawan saya. Kami terus membeli barang keperluan sebagaimana diarahkan dan segera kembali ke pejabat.
“Kami seterusnya diberi pakaian seragam, tapi saya terkejut apabila mereka merampas semua barangan yang baru kami beli serta wang tunai kami. Saya bertanya, bukankah kami sepatutnya bekerja di kapal seperti dijanjikan.
“Mereka menjawab, tiada kapal tapi kami kena kutip sampah. Jika enggan, kami akan dipukul. Kami kemudian dipaksa menyerahkan pasport dan kad pengenalan masing-masing, selain diarah menandatangani satu surat perjanjian yang menyatakan kami berhutang kepada mereka S$2,500 (RM5,650),” katanya.
Menurut Shukur, sejak itu bermulalah penderitaannya apabila dia dan rakannya diarah menyertai 12 pekerja Malaysia lain mengutip sampah dan membersihkan kawasan pasar seluas kira-kira satu kilometer persegi.
Katanya, 12 pekerja itu semuanya lelaki dan lapan daripada mereka berasal dari beberapa negeri di Semenanjung, manakala empat lagi dari Sabah dan Sarawak.
“Kami diarah bekerja mulai jam 3 petang dan hanya tamat pada jam 5 pagi. Belum puas kami tidur, pada jam 7.30 pagi kami dikejutkan untuk bekerja pada jam 8 pagi hari sama,” katanya.
Shukur berkata, mereka diarah melakukan pelbagai pekerjaan, termasuk mengelap meja, menyapu dan mengutip sampah serta membersihkan sisa makanan.
“Kami juga dipaksa mengutip sisa makanan yang haram seperti daging babi. Paling menyedihkan, apabila kami cuba memakai sarung tangan, kami dipukul majikan kerana setiap pergerakan kami diawasi menerusi kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Menurutnya, semua pekerja diberi makanan yang dibekalkan dari kedai bukan Islam, menyebabkannya tidak lalu makan, dan tiada tempat tinggal disediakan, menyebabkan kebanyakan mereka tidur berhampiran tong sampah besar.