Umum telah maklum bahawa bagi mana-mana diktator, mencari isu, mencipta isu, merekacipta isu, mewujudkan isu dan sebagainya merupakan sebahagian dari strategi mereka untuk terus popular. Dalam segi yang lain, ianya sebagai jalan keluar untuk melepasi sesuatu kemelut yang dikira boleh menjejaskan imejnya di mata rakyat. Sejarah banyak memperihalkan tentang gelagat tokoh-tokoh diktator dunia sebelum ini, yang begitu pandai mencetuskan isu ‘gempar’ semata-mata untuk mengelabui mata rakyat dari kebejatan sebenar perbuatan mereka. Sukarno dulu mencipta isu ‘ganyang Malaysia’ untuk mengalihkan perhatiannya dari masalah dalaman di Indonesia. Begitu jugalah dengan diktator-diktator yang lain di seluruh dunia dan zaman.
Akibat ‘sesak nafas’ dengan pengakuan Dato Shafie itulah maka Mahathir terpaksa mencari sesuatu isu yang dikira boleh melekakan perhatian rakyat dari isu rasuah dan salahguna kuasanya ke atas Ketua Pengarah BPR itu. Maka tercetuslah isu rampasan senjata oleh ‘kununnya’ sekumpulan 15 lelaki yang menyamar sebagai tentera. Saya merasa sungguh aneh bercampur lucu sekali dengan isu yang dicipta oleh Mahathir kali ini. Nanti di bawah ini saya akan ceritakan serba sedikit beberapa kejangalan ‘skrip’ arahan pengarah dari Istana Putrajaya itu.
Pertama, diberitakan dengan meluas bahawa 15 lelaki itu (G15) berpakaian celoreng tentera memasuki kem dengan hanya bersenjatakan tangan kosong dan mampu ‘memperdayakan’ pengawal kem tersebut yang berjumlah 9 orang. Media-media penjilat buntut melaporkan yang G15 itu tidak menggunakan sebarang kekerasan ke atas pengawal tersebut, tetapi cuma menggunakan ‘pengaruh’ uniform mereka sahaja sehinggakan pengawal-pengawal kem terpaksa ‘tunduk’ dengan permintaan mereka untuk membuka pintu stor senjata.
Hampir 15 tahun lalu, seorang lelaki yang berpakaian celoreng tentera juga telah mengamuk di Chow Kit dengan sepucuk M16 dan telah membunuh seorang lelaki di sebatang lorong di Chow Kit itu dengan tembakan rambangnya. Setelah beberapa hari memujuk lelaki itu, akhirnya dikenalpasti beliau ialah Prebet Adam, yang sah memang seorang tentera yang datang ke Kuala Lumpur semata-mata untuk membalas dendam atas kematian adiknya yang dibunuh oleh Yang Dipertuan Agong ketika itu, Sultan Iskandar melalui pukulan dengan kayu golf. Oleh kerana Prebet Adam itu seorang anggota tentera, maka memanglah beliau berpakaian sebagai tentera sekalipun untuk tujuan peribadinya.
Begitu jugalah dengan G15 tadi. Pihak berkuasa dan Najib sendiri telah mengesahkan yang mereka berpakaian tentera dengan pelbagai kategori pangkat, sebab sememangnya mereka adalah tentera. Ya, kerana mereka sebenarnya adalah anggota tentera yang telah diberi arahan khas untuk menjadi pelakon bagi drama khas arahan dari Istana Putrajaya itu. Kalau tidak masakan begitu ***** pengawal 9 orang tadi mahu membenarkan orang yang tidak dikenali memasuki kawasan sebegitu sensitif di waktu pagi buta, walhal tentera terkenal dengan kepatuhan disiplinnya yang ketat. Apatah lagi dengan ATM yang memang sentiasa mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan dilantik sebagai pasukan pengaman PBB di serata ceruk dunia, seperti di Bosnia, Somalia, Congo dan sebagainya. Bengap sangatkah anggota pengawal 9 orang itu sehinggakan tidak mampu membezakan antara ‘wajah’ seorang perompak dengan wajah sebenar anggota tentera sekalipun beruniform. Kalau iyapun hendak membuat pemeriksaan mengejut, logikkah ianya di buat pada jam 2.15 pagi ? Takkan pengawal 9 orang tadi sebegitu ***** sehingga semenjak menjadi anggota tentera, tentulah mereka tahu ada prosedur tertentu dalam pemeriksaan senjata, samada mengejut atau biasa. Jadi, apabila ada segerombolan orang yang berpakaian tentera di waktu jam 2.15 pagi datang untuk membuat pemeriksaan mengejut, tidakkah menimbulkan tandatanya, pemeriksaan mengejut apa pulak malam-malam begini ? Dari unit mana pulak mereka ini ? Logikkah nak buat pemeriksaan senjata di waktu pagi buta ? Jadi persoalan-persoalan ini sudah pasti akan berlegar di kepala 9 pengawal tadi, jika benar yang datang 15 orang itu benar-benar sebagai perompak tulen.
Skrip drama ***** itu semakin menampakkan ketidaktelitian pengarahnya, kerana dalam masa 2 jam sebanyak dua kem tentera yang dirompaknya. Kelakar sungguh rasanya. Di zaman yang sudah tidak ada komunis ini, lucu sangat apabila dua kem tentera dirompak dalam satu malam, sedangkan di zaman darurat dahulu pun tidak pernah kita dengar ada kem tentera dirompak. Yang ada cuma diserang sahaja dan ini perkara biasalah dalam mana-mana tempat yang belum aman. Kalau orang nak rompak wang di bank pun, paling sempat cuma satu bank sahaja yang dikaut duitnya.Inikan pula merompak senjata ! Dan paling lucu lagi, dikabarkan bagaimana G15 tersebut mengangkut beratus-ratus senjata dan peluru dengan 3 buah Pajero. Ini bermakna setiap Pajero boleh memuatkan 5 orang dengan timbunan senjata yang dirompak itu. Yang anehnya pulak dalam Utusan Meloya 6 Julai, diberitakan di muka depannya, gambar-gambar 4 buah Jeep Cherokee dan sebuah Land Rover kepunyaan ‘perompak’ tadi, walhal perompak tersebut diberitakan menggunakan 3 buah Pajero !. Jadi, mana satu yang hendak dipakai ni? Inilah jadinya apabila skrip ditulis dengan tidak teliti dan secara tergopoh gapah.
Kemudian diperhatikan, anggota tentera yang mengepung kawasan bukit tempat persembunyian ‘perompak’ tadi kelihatan semacam relaks sahaja. Kalau betul para perompak tersebut telah mencuri senjata dalam jumlah yang begitu besar, logikkah tentera yang mengepungnya itu buat “relaks” sahaja tanpa membina sebarang benteng pasir atau tembok untuk dijadikan perlindungan dari sasaran tembakan perompak itu? Kenapa askar yang mengepung perompak itu cuma berdiri tercegat sahaja di sekitar bukit itu tanpa mengambil kira risiko yang bakal mereka hadapi ? Kalau di Memali dulu bukan main lagi mereka berkemah dan bertembok, yang ini cukup aneh sekali apabila tentera yang mengepung itu mendedahkan diri mereka dengan begitu mudah kepada sasaran tembakan ‘perompak’ itu.
Saya tidak mahu mengulas banyak lagi perkara-perkara lucu di sebalik ‘drama’ arahan kedua pengarah di Istana Putrajaya ini (drama pertama dulu “Konspirasi Agung terhadap Anwar’ atau “AnWar” ) kerana dalam sehari dua ini telah berpuluh-puluh tulisan rakyat yang pada pandangan saya, pertama kali dalam sejarah negara “mempersoalkan” sebuah kejadian jenayah rompakan sebegini. Biasanya bagi kes-kes jenayah tulen seperti rompakan di bank dan sebagainya, rakyat tidak pernah mempertikaikan kesahihannya. Tapi ‘rompakan’ senjata ini telah ditelanjangi habis-habisan oleh rakyat, sebagai sesuatu yang amat luar biasa dan pelik !
Saya kembali semula kepada babak di akhir cerita tadi. Dollah Brandy (sempena pembelaan beliau kepada peminum-peminum arak yang ditahan JAIS baru-baru ini) dalam berita Jam 8.00 tadi mengumumkan yang mayat tebusan yang ‘terkorban’ akibat dibunuh tadi akan digali semula. Kah kah kah kah ! Kelakar sungguh ! Bukankah dalam mana-mana insiden hatta kemalangan jalanraya pun, mayat seseorang mangsa yang dikategorikan dalam siasatan polis akan dibawa dulu ke hospital untuk dibedah siasat. Selepas segala prosedur selesai barulah ianya boleh dikebumikan dengan kebenaran polis. Tetapi dalam kes sebesar ini, boleh mayat tersebut dikebumikan terus, kemudian mahu digali semula ? Dimana pulak kuburnya? Mana pulak saudara mara mereka yang menangis dan meratapi kematian itu? Kenapa akhbar dan TV tidak menyiarkannya walhal dalam kes kemalangan Skyhawk atau budak mati lemas pun, bukan main lagi tv dan akhbar gian nak melapor itu dan ini, hatta saudara terdekat si mati ada bermimpi aneh atau si mati sendiri berkelakuan ganjil sebelum meninggal dan sebagainya. Tetapi dalam ‘Kes Besar’ rompakan senjata ini, watak-watak yang dinyatakan oleh Dollah Brandy dan Norian Mai itu sekadar nama-nama mereka sahajakah? Orang atau jasadnya mana?
Kemudian, berita tv jugak melaporkan yang 3 orang tebusan yang mati tersebut baru dikenal pasti. Kalau detektif sendiri yang jadi tebusan masakan nama beliau tidak diketahui ? Kenapa lambat sangat baru dapat mengetahui nama-nama tebusan tadi ? Juga dilaporkan yang salah seorang penjenayah yang mati itu bernama ‘Abdul Halim Ali’. Ini satu lagi lucunya. Adakah KSN telah bersetuju supaya namanya digunakan untuk lakonan hebat ini ? Dilaporkan juga yang Panglima Tentera Darat. Jeneral Zaini pergi berunding dengan ketua perompak itu dimana beliau hendak ditembak, tetapi sempat ditepis lalu mengena anggota kumpulan perompak itu sendiri. Ini tak ubahnya macam cerita Hindustan dimana hero sentiasa tak kena kalau kena tembak. Logikkah dalam keadaan genting begitu beliau pergi seorang diri ? Aneh lagi skrip yang pincang ini.
Masa nak mengharamkan Arqam dulu bagai nak gila akhbar dan tv menyiarkan gambar-gambar mereka yang terlibat atau dikehendaki polis. Hampir penuh segala ruang disiarkan muka-muka orang Arqam. Tetapi anehnya, dalam drama ini, seorang watak pun tidak disiarkan. Baik yang jadi perompak mahupun yang jadi tebusan. Kalau dah berjaya memanggil anggota keluarga perompak tersebut untuk memujuk mereka, masakan tiada sekeping gambar pun yang boleh disiarkan di akhbar dan tv untuk pengetahuan orangramai ? Yang jadi tebusan pulak tiada keluargakah mereka itu, yang menangis dan berdoa sambil diinterview oleh wartawan-wartawan media ? Adakah gambar-gambar mereka menjadi suatu rahsia besar dan tidak boleh disiarkan kepada umum, walhal gambar-gambar kem dan senjata yang dirompak itu disiarkan pula secara besar-besaran ke seluruh dunia ! Inilah yang menjadi persoalannya.
sambungan...