BTC USD 76,316.9 Gold USD 4,280.89
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Pergiat Usaha Diplomatik, Yakinkan Misi Asing Turunkan Nasihat Perjalanan Ke Esszone - Hajiji

kupanglaut

Super Active Member
Messages
9,704
Joined
Jun 13, 2025
Messages
9,704
Reaction score
97
Points
80

Pergiat Usaha Diplomatik, Yakinkan Misi Asing Turunkan Nasihat Perjalanan Ke Esszone - Hajiji​

976cc31037e35d0851b4f44ca70677d56a7410f48db9f


Usaha diplomatik perlu dipergiat bagi meyakinkan misi asing menurunkan nasihat perjalanan ke Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) susulan peningkatan berterusan tahap keselamatan di kawasan itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata penyampaian maklumat yang berkesan kepada kedutaan dan suruhanjaya tinggi asing berhubung perkembangan positif dalam aspek keselamatan akan meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa serta merancakkan kedatangan pelawat ke destinasi di pantai timur negeri itu.

“Ini penting supaya mereka dapat membuat penilaian semula, seterusnya mempertimbangkan untuk menurunkan nasihat perjalanan ke Sabah Timur berdasarkan perkembangan positif, khususnya fakta bahawa tiada kes penculikan untuk tebusan dilaporkan di kawasan itu sejak Januari 2020.

“Secara keseluruhan, keadaan keselamatan di ESSZone adalah baik dan terkawal,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESSZone di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan bersama-sama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu membuktikan penyelarasan strategik berterusan antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam aspek keselamatan maritim serantau.

Hajiji berkata beliau baru-baru ini telah melawat enam pulau di perairan Sabah bagi meninjau pos keselamatan serta menilai tahap kesiapsiagaan operasi di lapangan.

Beliau berkata rekod sifar penculikan yang berjaya dikekalkan sepanjang tempoh enam tahun lepas merupakan satu pencapaian penting hasil usaha Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan pasukan keselamatan yang terlibat.

Hajiji turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ESSCOM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atas pengorbanan mereka menjaga sempadan darat dan perairan negeri itu.

Ketua Menteri itu memberi jaminan Kerajaan Negeri Sabah akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri bagi menaik taraf aset keselamatan, meningkatkan kesiapsiagaan operasi serta mengutamakan kebajikan anggota yang bertugas di kawasan sempadan.

 
Back
Top
Log in Register