Penyertaan Sukan Nasional Warga Emas SG naik 30%, lebih ramai aktif bersukan
Cik Tan Bee Tuan (kiri) dan ibunya Yeo Ah Choo (kanan) bermain golf cakera. (Gaambar: CNA)
SINGAPURA: Selepas terjatuh dua kali ketika tinggal bersendirian, Cik Yeo Ah Choo, 85 tahun, dipujuk anak perempuannya untuk menyertai sebuah Pusat Penuaan Aktif (AAC) berdekatan pada Mac 2025 bagi meningkatkan kekuatan fizikal dan pergerakannya.
Anak perempuannya, Cik Tan Bee Tuan, berkata ibunya pada mulanya keberatan untuk menyertai kegiatan di pusat tersebut.
IKLAN
“Saya menggalakkannya ... untuk turun dan melakukan senaman. Pada mulanya, beliau tidak mahu. Beliau kata terlalu ramai orang kerana beliau tidak suka bergaul,” kata Cik Tan, 61 tahun.
“Tetapi sekarang, dia sangat menyukainya. Beliau suka kejiranan ini dan semua warga emas di sini.”
Apa yang pada mulanya bertujuan membantu Cik Yeo menjadi lebih aktif akhirnya membawa pasangan ibu dan anak itu menyertai pertandingan sukan peringkat nasional.
Mereka kini sudah dua tahun berturut-turut menyertai Sukan Nasional Warga Emas, dengan kedua-duanya bertanding dalam sukan golf, yang semakin digemari Cik Yeo.
Golf cakera menggabungkan cara membaling frisbee dengan sistem kiraan mata seperti golf. Pemain perlu membaling cakera ke dalam bakul logam dengan jumlah balingan paling sedikit.
IKLAN
Dalam kedua-dua tahun, Cik Yeo dan anak perempuannya berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir selepas bersaing dalam pusingan kelayakan.
“Sekarang saya sangat suka menonton dan bermain golf cakera serta permainan bola lain, iaitu kegiatan yang lebih mudah untuk saya lakukan,” kata Cik Yeo.
PENYERTAAN MENINGKAT 30 PERATUS
Sukan Nasional Warga Emas dianjurkan oleh Sport Singapore (SportSG) sebagai sebahagian daripada program tahunan GetActive! Singapore dan terbuka kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas.
Pertandingan itu menawarkan lima jenis sukan yang disesuaikan mengikut keupayaan warga emas, iaitu boccia, golf cakera, 'ladder toss', bola lantai duduk dan 'sport stacking'.
IKLAN
Pusingan kelayakan mengikut zon tahun ini berlangsung dari 2 hingga 11 Jun, dengan pasukan terbaik mara ke peringkat akhir pada 4 Ogos.
Pusingan kelayakan dan peringkat akhir diadakan di OCBC Arena Hall.
Lebih 6,000 warga emas daripada hampir 130 Pusat Penuaan Aktif dan pertubuhan akar umbi menyertai pertandingan tahun ini.
Jumlah itu meningkat lebih 30 peratus berbanding lebih 4,500 peserta pada edisi pertama pada 2025.
Sukan tersebut bertujuan menggalakkan warga emas untuk terus aktif melalui kegiatan sukan yang disesuaikan dengan keupayaan mereka. Pertandingan juga memberi mereka peluang untuk bersaing supaya minat terhadap kegiatan fizikal dapat dikekalkan.
IKLAN
“Selain manfaat kepada kesihatan fizikal atau penyertaan dalam sukan, ia juga bertujuan mengeratkan hubungan dalam masyarakat dan meningkatkan kesejahteraan warga emas secara keseluruhan,” kata Pengarah Active Health SportSG, Genevieve Goh.
Cik Goh berkata Tinjauan Penyertaan Sukan dan Senaman Nasional tahun lalu menunjukkan semakin kurang warga emas menganggap usia lanjut sebagai penghalang untuk bersukan.
Menurut beliau, sebab mereka bersukan juga sudah berubah. Mereka bukan lagi bersenam semata-mata untuk kesihatan, tetapi juga mahu kelihatan dan berasa lebih baik.
LEBIH BANYAK JENIS SUKAN MUNGKIN DITAMBAH
Dengan jumlah peserta yang semakin meningkat, pihak penganjur kini merancang untuk mengadakan edisi ketiga Sukan Nasional Warga Emas pada tahun depan.
SportSG juga sedang meneroka kerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memperluaskan pertandingan tersebut.
Lebih banyak jenis sukan juga mungkin diperkenalkan.
“Berdasarkan maklum balas yang diterima, kami sedang meneroka sukan baharu yang sesuai dengan minat dan keupayaan warga emas,” kata Cik Goh.
SportSG juga berharap warga emas Singapura akhirnya dapat bertanding dan berkenalan dengan peserta dari luar negara.
“Berdasarkan apa yang kami lihat dalam pertandingan sepanjang dua edisi lalu, warga emas sememangnya mengambil pertandingan ini dengan serius,” katanya.
“Kami sedang berusaha membina masyarakat dan semangat kesukanan dalam kalangan warga emas di peringkat tempatan terlebih dahulu, sebelum mempertimbangkan kemungkinan membawa mereka bertanding di peringkat serantau.”
Penyertaan Sukan Nasional Warga Emas SG naik 30%, lebih ramai aktif bersukan
SINGAPURA: Selepas terjatuh dua kali ketika tinggal bersendirian, Cik Yeo Ah Choo, 85 tahun, dipujuk anak perempuannya untuk menyertai sebuah Pusat Penuaan Aktif (AAC) berdekatan pada Mac 2025 bagi meningkatkan kekuatan fizikal dan pergerakannya. Anak perempuannya, Cik Tan Bee Tuan, berkata...