afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Penyatuan ummah, RCI dakwaan ‘mafia korporat’ antara usul lulus muktamar PAS
Muktamar PAS kali ini meluluskan usul memperkasakan agenda penyatuan ummah dan menggesa penubuhan RCI bagi menyiasat dakwaan aktiviti ‘mafia korporat’.
Usul penyatuan ummah itu dibentangkan wakil Dewan Ulama PAS, Zulqarnain Hassan, yang menegaskan kesatuan umat Islam merupakan antara asas penting kepada kekuatan umat, kestabilan politik, keharmonian masyarakat dan kesejahteraan negara.
“Justeru, penyatuan ummah hendaklah menjadi agenda strategik yang merentasi kepentingan parti dan pilihan raya, berasaskan prinsip Islam, persefahaman serta kepentingan umat dan negara,” katanya.
Usul disokong wakil PAS Indera Mahkota, Nasruddin Hassan, yang mengingatkan para perwakilan bahawa usaha penyatuan beberapa kali menemui kegagalan.
“Harap kali ini berjaya dan kita berusaha sampai jadi. Harap tiada ‘batu api’. Harap tak ada ‘tangan ghaib’ memainkan silap mata untuk menggagalkan agenda ini,” katanya.
Nasruddin juga menyeru media sosial dijadikan sebagai ‘medan penyatuan’. “Bukan medan perpecahan dan senjata untuk mematikan cita-cita penyatuan. Jangan kita mahu menang satu hujah, maka kita kehilangan 1,000 hati yang sedang mendekati Islam.”
Usul RCI pula dibawa wakil Dewan Pemuda PAS, Nazrul Nazir, yang menggesa siasatan secara bebas dan menyeluruh, diteliti berdasarkan fakta dan bukti tanpa menghukum mana-mana pihak terlebih dahulu.
Satu laporan Bloomberg pada awal tahun ini mendakwa beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terlibat dalam satu ‘mafia korporat’ yang menyediakan khidmat intimidasi, termasuk serbuan, bagi memberi tekanan kepada eksekutif perniagaan supaya menjual pegangan saham mereka.
Bagaimanapun, ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, Azam Baki, berkata dakwaan tersebut tidak berasas.
Dua usul ini antara tujuh yang dibentangkan pada muktamar PAS ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, hari ini.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan sebanyak 33 usul diterima sempena muktamar kali ini, di mana tiga usul diterima tanpa bahas, empat usul dibahaskan, manakala 26 lagi ditolak atau dirujuk kepada pihak berkaitan.