ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Penduduk kecewa kawasan penempatan baharu tiada kemudahan asas.
KUALA TERENGGANU - Penduduk di penempatan baharu pemindahan Kampung Kubang Jela dan Teluk Pasu kecewa penempatan yang diberi tiada kemudahan asas.
Mazlan Mohd, 56, berkata, kediaman mereka tidak dilengkapi elektrik dan bekalan air paip.
"Setiap malam kami terpaksa bergelap, hanya lilin peneman tidur dan bateri kereta pula sebagai sumber elektrik.. sampai bila kami harus hidup susah begini," demikian luahan hatinya.
Mazlan merupakan salah seorang daripada tiga keluarga yang menetap di penempatan baharu pemindahan Kampung Kubang Jela dan Teluk Pasu, di sini yang kini berdepan dengan masalah tiada kemudahan asas di kawasan tersebut.
Selain tidak mempunyai elektrik, penduduk di sana turut menanggung beban ketiadaan sumber air hingga memaksa mereka menadah air hujan untuk kegunaan harian.
Sinar Harian difahamkan, sebanyak lapan rumah sudah siap dibina namun daripada jumlah itu, hanya tiga keluarga tinggal di sana manakala selebihnya menyewa kerana kediaman tersebut tidak dilengkapi kemudahan asas.
Terpaksa tadah air hujan
Menurut Mazlan, setelah rumahnya terlibat dengan pengambilan tanah untuk pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur pada 2012, dia sekeluarga terpaksa menyewa di Kampung Sungai Rengas sementara menunggu rumahnya siap.
Setelah sekian lama menunggu, dia bersama isteri, Faizah Hassan, 51, dan empat anaknya gembira apabila rumah sendiri yang dibina di penempatan baharu pemindahan itu akhirnya siap dan mereka mula berpindah pada awal Januari lalu.
Bagaimanapun, dia sekeluarga hampa dan kecewa apabila rumah tersergam indah tidak dapat didiami dengan selesa berikutan tiada kemudahan asas sedangkan sebelum diarahkan berpindah mereka dijanjikan infrastruktur lengkap.
"Sekarang rumah di sini (penempatan baharu) sudah siap tetapi tidak boleh duduk (tinggal) dan ada yang masih menyewa kerana tiada bekalan api (elektrik) serta air… dulu masa diarah berpindah kami dijanjikan infrastruktur yang lengkap, tetapi sehingga hari ini masih tiada apa-apa.
"Setiap malam kami terpaksa bergelap kalau hujan kami akan tadah air untuk kegunaan seharian," katanya.
Kata Mazlan, ada penduduk yang upah orang untuk gali telaga dan ada juga yang boreng air.
"Saya pernah boreng air di depan rumah, korek sedalam 12 meter (40 kaki) masih tidak jumpa punca air.
"Memang menjadi masalah kalau tiada kemudahan asas," katanya.
Gesa kerajaan tunai janji
Penat berdepan dengan masalah itu, Mazlan yang juga pesara kerajaan mengambil keputusan mengeluarkan belanja menyewa rumah di Kampung Sungai Rengas bagi memberi keselesaan kepada keluarganya.
"Tua-tua macam ni.. bila ada rumah sendiri memang hendak duduk (tinggal), tetapi bila jadi macam ini, susahlah kami.. buat rumah besar-besar pun tak guna juga kalau keadaan begini.
"Jadi sehingga kini saya masih menyewa, bergilir-gilir tidur di sini dan rumah sewa," katanya.
Kata Mazlan lagi, dia dan beberapa penduduk terpaksa keluarkan duit sendiri untuk bina jalan dan longkang di penempatan baharu itu untuk keselesaan mereka.
"Kami sudah tak tahan lagi dan gesa kerajaan pula mbantu kami dengan menunaikan janji mereka untuk sediakan kemudahan asas," katanya.
Dalam pada itu, Mazlan yang merupakan penghidap penyakit saraf berkata, hampir sebulan lalu rumahnya menggunakan bekalan elektrik sementara yang dipinjamkan dari kawasan perumahan berhampiran.
"Bila api (elektrik) tidak cukup, terpaksa bergelap juga sebab saya hanya pinjam dari perumahan seberang jalan, kalau ramai guna kami kena guna lilin. Sebab itu saya harap kemudahan asas ini dapat disegerakan," ceritanya.
Menurutnya, keadaan gelap juga menyebabkan berlakunya kecurian dan menjadikan kawasan itu tidak selamat malah rumahnya sudah dua kali dimasuki pencuri.
Mazlan berharap pihak berwajib dapat membantu menyelesaikan masalah itu dengan segera supaya mereka dapat tinggal di situ.
Janji ambil tindakan segera
Sementara itu, Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail ketika dimaklumkan berhubung masalah dihadapi penduduk, berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera berhubung aduan berkenaan.
"Kawasan pemindahan itu asalnya dahulu kita (kerajaan) hanya bagi lot tanah kepada setiap penduduk yang terlibat dengan pengambilan tanah.
"Apabila sudah ada rumah yang dibina dan mereka tinggal di situ, kerajaan akan bina infrastruktur kerana jika masih tidak ada rumah, kemudahan tidak mungkin dapat dilakukan.. tetapi dalam masalah ini, penduduk sudah ada, jadi kita akan usahakan supaya mereka dapat bekalan elektrik dan juga air… insya-Allah," katanya kepada Sinar Harian.