balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
TUMPAT - Seorang pemuda maut dipercayai dipukul selepas sehari dihantar oleh keluarganya di sebuah pusat rawatan di sini, kelmarin.
Mangsa, Mohd Alias Ibrahim, 27, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tumpat, selepas dibawa kakitangan di pusat tersebut kira-kira jam 7 malam.
Pengasas pusat rawatan berkenaan, Mohd Zain Abu Bakar,75, berkata dia dimaklumkan oleh penghuni lain mangsa dalam keadaan letih kerana terjatuh dalam tandas.
“Saya ketika itu baru pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
“Selepas dimaklumkan keadaan mangsa, saya kemudian mengarahkan beberapa penghuni pusat terbabit supaya mengusungnya keluar untuk diberi minum air penawar.
“Apabila melihat keadaannya, saya terus mengarahkan penghuni di pusat tersebut memasukkan mangsa ke dalam kereta untuk dibawa ke hospital,” katanya.
Bagaimanapun katanya, ketika dalam perjalanan mangsa meninggal dunia.
Menurutnya, berdasarkan cerita penghuni di pusat tersebut, mangsa menghentakkan kepalanya di dinding tandas dan kemudiannya terjatuh.
“Mangsa juga ada mengamuk tidak mahu tinggal di pusat tersebut, selepas didaftar masuk oleh keluarganya pagi kelmarin (Jumaat) pada jam 10 pagi,” katanya.
Ibu mangsa, Saudah Mat Daud, 57, berkata, dia menghantar anak keempat daripada lapan beradik itu ke pusat rawatan berkenaan, kerana anaknya dikatakan mengamuk dan meracau di rumahnya di Tendong, Pasir Mas.
“Kebetulan Khamis depan saya ingin menunaikan umrah bersama suami, Ibrahim Kasim, 66.
“Berikutan bimbang kesihatan Mohd Alias dan khuatir tiada sesiapa menguruskan makan minumnya, saya membawanya ke pusat ini untuk merawat penyakitnya,” katanya.
Saudah berkata, dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu, kira-kira jam 8.30 malam selepas dihubungi Mohd Zin yang ketika itu berada di Hospital Tumpat.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, siasatan awal mendapati ada kesan pukul terhadap mangsa.
“Setakat ini belum ada tangkapan ke atas suspek dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/pemuda-maut-dipercayai-dipukul-1.147688