Berita Terkini...
Ni aku post dr akhbar BERITA HARIAN....
3 pemimpin Hindraf didakwa menghasut
Oleh Hardi Effendi Yaacob, Mohd Azis Ngah, Rafidah Md Ruzki, Nurhayati Abllah dan Fatin Hafizah Mohd Shahar
Polis beri amaran tindakan tegas jika sertai perhimpunan haram
KUALA LUMPUR: Tiga pemimpin Pasukan Tindakan Hak-Hak Hindu (Hindraf), ditahan polis dan dihadapkan ke mahkamah mengikut Akta Hasutan semalam kerana didakwa menghasut dalam satu ceramah di Kuala Selangor, pertengahan bulan ini.
Pengerusi Hindraf, Waytha Moorthy Ponnusamy, 41; abangnya yang juga peguam Hindraf, Uthayakumar Ponnusamy, 46; dan penasihat undang-undang Hindraf, S Ganapathi Rao Veramah, 34, ditahan di lokasi berasingan di ibu negara dan Selangor, semalam.
Ketiga-tiga mereka dipercayai turut terbabit dalam cubaan mempengaruhi pengikut Hindraf untuk menyertai perhimpunan haram yang akan diadakan oleh badan berkenaan di depan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di sini, Ahad ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar, berkata penahanan tiga individu berkenaan dibuat mengikut Akta Hasutan kerana didapati menyampaikan ceramah yang menghasut serta boleh menggugat ketenteraman awam.
"Mereka adalah individu berpengaruh dalam Hindraf dan dipercayai cuba menggalakkan pengikutnya mengikuti perhimpunan haram yang akan diadakan Ahad ini.
"Perhimpunan itu tidak mendapat permit dan polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap orang awam yang terbabit secara langsung atau tidak langsung kerana ia adalah perhimpunan haram," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, di sini, semalam.
Uthayakumar ditahan di pejabatnya di Bangsar, kira-kira jam 10.20 pagi semalam sebelum, bersama Ganapathy Rao dan Waytha Moorthy, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Klang, petang semalam.
Mereka dituduh mengeluarkan perkataan berbaur hasutan di Restoran Yun He, Sungai Rambai, Batang Berjuntai, Kuala Selangor, pada 16 November lalu antara jam 8.30 malam hingga 11.30 malam.
Tiga peguam itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan 1948 (pindaan 1969) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama. Sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan. Hakim Zunaidah Mohd Idris membenarkan mereka dibebaskan dengan ikat jamin RM800 seorang dan menetapkan Isnin ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya dari Putrajaya, Idris Mohd Yusuf, Fariza Hamzah dan Norizan Ariffin manakala tiga peguam itu diwakili M Manoharan.
Lebih 100 penyokong Hindraf berkumpul secara aman di luar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, sejak tengah hari bagi membantah penahanan tiga peguam terbabit. Mereka dipercayai datang dari sekitar Lembah Klang, berkumpul di pintu masuk utama IPK Selangor menunggu ketiga-tiga peguam itu dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang.
Kira-kira 50 pegawai dan anggota polis daripada Unit Simpanan Persekutuan (FRU), anggota polis biasa dan anggota daripada Cawangan Khas, dilihat berkawal di pintu masuk dan di sekitar IPK Selangor bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Pada jam 4 petang, penyokong pertubuhan itu melaungkan kata-kata 'peguam kami tidak bersalah' dan 'kami menyokong peguam kami' sebelum sebuah kereta peronda dan pacuan empat roda dilihat keluar untuk membawa tertuduh ke mahkamah, 10 minit kemudian.
Pada 7 November lalu, Hindraf mengemukakan permohonan untuk mengadakan perhimpunan di depan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di sini esok tetapi tidak diluluskan polis kerana dikhuatiri menjejaskan ketenteraman serta keselamatan awam.
Hindraf mendakwa perhimpunan itu dibuat bagi menyerah petisyen kepada Ratu Elizabeth II untuk membantu menyokong permohonan masyarakat India negara ini yang memfailkan saman menuntut pampasan 4 trilion Pound Sterling (RM27.7 trilion) daripada kerajaan British.
Tuntutan itu difailkan di Britain 30 Ogos lalu kerana tindakan British membawa rakyat India ke Malaysia sebagai buruh kontrak dan mengeksploitasi mereka selama 150 tahun. Kerajaan British juga didakwa gagal melindungi hak kaum itu dalam Perlembagaan ketika memberi kemerdekaan Malaysia.
Kelmarin, Mahkamah Majistret di sini, mengeluarkan perintah sebelah pihak menghalang Waytha Moorthy, Uthayakumar dan Ganapathi Rao, serta dua lagi iaitu M Manoharan dan R Kengadharan serta semua pihak yang menyokong Hindraf daripada menganjurkan perhimpunan berkenaan.
Majistret Tasnim Abu Bakar membenarkan permohonan yang dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya B Sarala Pillai dan perintah dikeluarkan mengikut Seksyen 98 Kanun Acara Jenayah yang berkuat kuasa selama tujuh hari.
Mengikut perintah itu, sesiapa yang mengingkarinya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000.
Walaupun perintah itu meliputi kawasan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Britain, tindakan juga boleh diambil mengikut Akta Polis 1967 terhadap sesiapa yang berhimpun di kawasan lain, kerana terbabit dalam perhimpunan haram.
Sementara itu, polis mula meningkatkan kawalan keselamatan di ibu negara semalam dengan mengadakan sekatan jalan raya bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan penganjuran perhimpunan haram berkenaan.
Sekatan diadakan di hampir semua laluan ke ibu negara bagi memastikan tiada anasir tidak diingini cuba mengambil kesempatan mengadakan perkara menyalahi peraturan undang-undang, menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas.
Tinjauan Berita Harian di beberapa laluan utama memasuki ibu negara mendapati kesesakan teruk terutama pada waktu puncak berlaku di Jalan Kuching, Lebuhraya Persekutuan, Jalan Pudu, Jalan Hang Tuah, Jalan Ampang, Jalan Tun Razak dan Lebuhraya Sungai Besi-Seremban.
Jurucakap trafik Jalan Bandar berkata, kesesakan dijangka bertambah teruk mulai hari ini berikutan orang ramai berpusu-pusu memasuki Kuala Lumpur kerana cuti hujung minggu. "Seramai 500 anggota dikerahkan bertugas 24 jam terutama di laluan strategik bagi memastikan kelancaran lalu lintas terutama menjelang hujung minggu ini," katanya.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/BeritaUtama/20071123232457/Article