BTC USD 75,597.2 Gold USD 4,264.24
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Pekerjaan tetap catat rekod tertinggi; kadar penyertaan tenaga buruh merosot 4 tahun beruntun: MOM

adi19

Fun Poster
Messages
766
Joined
Oct 30, 2013
Messages
766
Reaction score
3
Points
25
screenshot_2025-11-28_103825.jpg

Jumlah peratusan pekerja Singapura yang memegang pekerjaan tetap capai paras tertinggi pada 2025. (Gambar: CNA/Oooi Boon Keong)

SINGAPURA: Jumlah peratusan pekerja Singapura yang memegang pekerjaan tetap mencapai paras tertinggi pada 2025, dengan lebih ramai pekerja merentasi kumpulan umur, pekerjaan dan tahap pendidikan berada dalam kedudukan stabil, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Jumaat (28 Nov).

Nisbah pekerja yang memegang pekerjaan tetap meningkat kepada 90.8 peratus tahun ini, manakala kerja kontrak tetap serta kerja sambilan/berdasarkan panggilan menurun, menurut keluaran awal laporan tenaga buruh MOM. Angka tersebut berada pada 90.1 peratus pada 2024, merosot daripada 90.5 peratus pada 2023.

IKLAN

Peningkatan dari segi pekerjaan tetap paling ketara dalam kalangan belia berusia 15 hingga 24 tahun, meningkat hampir lapan mata peratusan. Mereka yang berusia antara 25 hingga 29 tahun juga mencatat kenaikan satu mata peratusan.

Ini menunjukkan tiada perubahan ketara ke arah pekerjaan jangka pendek dalam kalangan pekerja muda, menurut MOM.
Nisbah pekerjaan tetap meningkat bagi kebanyakan industri, termasuk sektor pertumbuhan seperti perkhidmatan profesional, perkhidmatan kesihatan dan sosial, serta maklumat dan komunikasi.

Namun, kadar penyertaan tenaga buruh dalam kalangan penduduk merosot untuk tahun keempat berturut-turut kepada 67.9 peratus, turun daripada 68.2 peratus pada 2024.

Kadar penyertaan tenaga buruh Singapura pada umumnya meningkat sejak 1998, namun mula merosot pada 2021 ketika pandemik COVID-19.

Menurut MOM, penyusutan itu berpunca daripada penuaan penduduk, dengan corak tersebut mencerminkan lebih ramai pekerja yang berusia bersara dan keluar daripada tenaga buruh.

IKLAN

Tenaga buruh merangkumi warga Singapura dan penduduk tetap berusia 15 tahun ke atas yang bekerja atau sedang mencari pekerjaan.

Kadar penyertaan dijangka terus merosot sehingga proses penuaan penduduk stabil, kata pengarah jabatan penyelidikan dan statistik tenaga manusia, Ang Boon Heng.

Data MOM menunjukkan terdapat sekitar 1.16 juta orang di luar tenaga buruh pada tahun ini, 20,000 lebih ramai berbanding 2024.

Perubahan itu didorong terutamanya oleh persaraan, dengan 30.1 peratus daripada mereka yang tidak bekerja dan tidak mencari pekerjaan menyatakan sebab tersebut.

Corak tersebut juga dijangka berterusan apabila generasi "baby boomer" terus bersara, menurut laporan itu.

IKLAN

Lebih ramai juga tidak bekerja kerana tanggungjawab keluarga dan kerja rumah, masing-masing 22 peratus dan 15.8 peratus menyatakan sebab tersebut.

WARGA EMAS DAN WANITA DALAM TENAGA BURUH

Walaupun terdapat lebih ramai pesara, data menunjukkan lebih ramai warga emas berusia 60 tahun ke atas berada dalam tenaga buruh, dengan nisbah mereka meningkat daripada 12.3 peratus pada 2015 kepada 19.3 peratus pada 2025.

Dalam tempoh sedekad yang sama, nisbah penduduk di bawah usia 30 tahun turun akibat kadar kelahiran yang lebih rendah dan lebih ramai yang melanjutkan pelajaran, lalu menangguhkan penyertaan mereka ke dalam tenaga buruh.

Kadar penyertaan tenaga buruh keseluruhan Singapura masih berada pada tahap yang tinggi berbanding negara berpendapatan tinggi lain, menurut MOM.

IKLAN

Tekanan demografi turut diimbangi sedikit oleh peningkatan penyertaan tenaga buruh wanita sepanjang 10 tahun lalu.
Penyertaan wanita dalam tenaga buruh meningkat dengan ketara daripada 74.1 peratus pada 2015 kepada 80.5 peratus pada 2025.

Ini mencerminkan peningkatan tahap pendidikan wanita serta usaha bersepadu untuk menyokong mereka kekal atau kembali bekerja, menurut MOM.

Namun Singapura masih ketinggalan berbanding negara-negara berpendapatan tinggi terkemuka akibat kadar pekerjaan sambilan dalam kalangan wanita yang rendah - 5.9 peratus, berbanding purata 13.7 peratus di negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Encik Ang berkata selain pendidikan yang lebih tinggi, faktor lain yang menyumbang kepada penyertaan wanita dalam tenaga buruh termasuk perubahan sikap sosial terhadap peranan jantina dalam penjagaan anak dan ketersediaan kemudahan penjagaan kanak-kanak.

Penyertaan tenaga buruh lelaki kekal tinggi pada 91.8 peratus.

PERTUMBUHAN PENDAPATAN SEBENAR

Pendapatan sebenar pada persentil ke-20 terbawah dan median persentil ke-50 masing-masing meningkat dari tahun ke tahun, sejajar dengan pertumbuhan produktiviti dalam jangka panjang, menurut MOM.

Para pekerja pada persentil ke-20 mencatat pertumbuhan pendapatan sebenar sebanyak 3.8 peratus. Dari segi nominal, pendapatan mereka meningkat daripada S$3,026 pada 2024 kepada S$3,164 tahun ini.

Pekerja median mencatat kenaikan 4.3 peratus dari segi pendapatan sebenar, dengan pendapatan nominal meningkat daripada S$5,500 pada 2024 kepada S$5,775 tahun ini.

MOM menyatakan pertumbuhan pendapatan sebenar pada persentil ke-20 mengatasi pertumbuhan pada tahap median dalam tempoh lima dan 10 tahun lalu.

Dalam kedua-dua tempoh tersebut, para pekerja persentl ke-20 menikmati peningkatan pendapatan sebenar sebanyak 2.9 peratus setahun.

Ini lebih tinggi berbanding kenaikan median tahunan pendapatan sebenar - 1.6 peratus setahun dari 2020 hingga 2025, dan 2.1 peratus setahun dari 2015 hingga 2025.

MOM menyatakan bahawa peluasan Model Gaji Progresif (PWM) terus mengecilkan jurang pendapatan antara para pekerja berpendapatan rendah dan pertengahan.

Nisbah pendapatan persentil ke-20 kepada pendapatan median meningkat kepada 0.55 tahun ini, berbanding 0.52 pada 2020 dan 0.51 pada 2015.

Produktiviti berterusan dan peningkatan kemahiran akan membantu menyokong pertumbuhan pendapatan yang lebih inklusif, tambahnya.

PENGANGGURAN DAN PEKERJA YANG BERPUTUS ASA

Kadar pengangguran bagi kedua-dua golongan Profesional, Pengurus, Eksekutif dan Teknisyen (PMET) dan bukan PMET kekal rendah dan stabil, menurut MOM.

Kadar pengangguran penduduk meningkat sedikit daripada 2.7 peratus kepada 2.8 peratus bagi PMET, dan menurun daripada 3.4 peratus kepada 2.8 peratus bagi bukan PMET.

Kadar pengangguran jangka panjang menurun bagi kedua-dua kumpulan, daripada 0.7 peratus kepada 0.6 peratus bagi PMET, dan daripada 0.6 peratus kepada 0.5 peratus bagi bukan PMET.

Secara berasingan, jumlah pekerja yang berputus asa, atau mereka yang tidak mencari pekerjaan kerana merasakan usaha itu tidak akan membuahkan hasil, kekal rendah pada 7,400 atau 0.3 peratus tahun ini.

Mereka kebanyakannya merupakan warga emas berusia 60 tahun ke atas, diikuti mereka yang berusia dalam lingkungan 50-an. MOM menyatakan ini mencerminkan “peningkatan dalam profil pendidikan warga emas, dan bukan kerana peningkatan tahap kekecewaan dalam kalangan warga emas yang berpendidikan lebih baik”.

Buat pertama kali, MOM turut menyertakan data berhubung pengalaman kerja di luar negara dalam kalangan pekerja tempatan, yang akan terus dikumpulkan pada tahun-tahun akan datang.

Ini sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kesiapsiagaan tenaga kerja tempatan bagi kepimpinan korporat, kerana syarikat multinasional lazimnya mencari para pemimpin yang mempunyai pengalaman antarabangsa, menurut kementerian tersebut.

Tinjauan mendapati 76,000 atau 3.1 peratus pekerja tempatan mempunyai pengalaman kerja sepenuh masa di luar negara sekurang-kurangnya selama enam bulan.

Tinjauan Tenaga Kerja Komprehensif MOM mengumpulkan data daripada 33,000 isi rumah, dengan kadar maklum balas keseluruhan sebanyak 86.8 peratus.

 
Back
Top
Log in Register