Pekerja tanpa anak bimbang cuti jaga anak tambah beban kerja, jejas masa keluarga
Seorang ibu bekerja menguruskan dokumen pejabat sambil menjaga bayinya yang berada di sisinya. (Gambar: iStock)
SINGAPURA: Setiap kali seorang rakan sekerja mengambil cuti penjagaan anak, Adam (bukan nama sebenar), 29 tahun, yang bekerja dalam sektor kewangan, biasanya berkongsi beban kerja tambahan dengan anggota lain dalam pasukannya.
Beliau biasanya tidak keberatan apabila dua rakan sekerja dalam pasukan seramai lima orang yang dianggotainya mengambil cuti untuk menguruskan anak mereka, terutamanya jika ketidakhadiran mereka sudah dirancang dan tugas diagihkan dengan baik.
IKLAN
Namun, apabila mereka mengambil cuti penjagaan anak secara mendadak, Adam, yang belum berkahwin, sering kali terpaksa menyusun semula rancangan cutinya sendiri atau memikul beban kerja tambahan.
Justeru, apabila Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun ini (NDR2026) pada Ahad (23 Ogos) bahawa skim cuti penjagaan anak baharu akan memberi ibu bapa bekerja lebih banyak cuti, Adam mempunyai perasaan bercampur-baur kerana secara umumnya, beliau menyokong langkah untuk menangani kadar kesuburan Singapura yang semakin merosot.
"Saya bekerja di sebuah syarikat kecil. Jika rakan sekerja dalam pasukan saya yang mempunyai anak mendapat cuti lebih panjang, lebih banyak kerja perlu dipikul mereka yang tidak mempunyai anak," kata beliau.
"Saya rasa jumlah cuti yang mereka ada sekarang sudah agak banyak. Saya terkejut apabila mendapat tahu ia akan ditambah."
Di bawah skim baharu itu, setiap ibu bapa akan mendapat cuti lapan hari jika mereka mempunyai seorang anak, 10 hari jika mempunyai dua anak dan 12 hari jika mempunyai tiga anak atau lebih.
IKLAN
Ini berbanding enam hari cuti setahun yang diterima sekarang bagi ibu bapa yang mempunyai anak berusia enam tahun ke bawah, atau dua hari setahun jika anak mereka berusia antara tujuh dengan 12 tahun.
Perasaan bercampur-baur yang dialami Adam berhubung penambahan cuti penjagaan anak turut dikongsi beberapa individu lain.
Mediacorp bercakap dengan 10 individu yang sama ada masih bujang, sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak, atau mempunyai anak berusia lebih 12 tahun, bagi memahami pandangan mereka yang tidak meraih manfaat secara langsung daripada perubahan cuti penjagaan anak tersebut.
Seperti Adam, ramai secara umumnya menyokong perubahan tersebut kerana ia memberi ibu bapa sokongan yang diperlukan. Namun, mereka bimbang terpaksa memikul lebih banyak kerja apabila rakan sekerja mereka mengambil cuti.
Mereka yang bekerja di pertubuhan yang lebih besar berkata kesannya mungkin agak kecil kerana terdapat tenaga kerja yang mencukupi untuk mengagihkan beban kerja. Namun, mereka yang bekerja di syarikat lebih kecil kurang pasti sama ada kerja dapat diagihkan secara adil.
IKLAN
Beberapa individu turut menarik perhatian bahawa cuti penjagaan anak yang diambil secara mendadak sudahpun menimbulkan masalah tenaga kerja di tempat kerja yang mempunyai jumlah kakitangan terhad.
Ada yang bimbang keadaan tersebut boleh menimbulkan rasa tidak puas hati antara pekerja yang mempunyai anak dengan mereka yang tidak mempunyai anak.
Penambahan cuti penjagaan anak turut menimbulkan persoalan tentang keadilan. Mereka yang ditemui berpendapat manfaat serupa boleh diberikan kepada para pekerja yang menjaga anggota keluarga yang sudah lanjut usia.
Semasa ditanya berhubung kebimbangan tersebut dalam rancangan Talking Point CNA pada Isnin, Menteri Negara Kanan Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan Rahayu Mahzam berkata isu-isu itu "wajar diberi perhatian".
Cik Rahayu, yang bekerja sebagai peguam sebelum menceburi bidang politik, berkata beliau juga pernah berdepan kesukaran memikul beban kerja apabila rakan sekerjanya mengambil cuti.
IKLAN
"Itulah sebabnya kita perlu menguruskan keperluan pihak berkepentingan yang berbeza-beza. Pemerintah juga sentiasa melakukan perkara ini dengan bekerjasama dengan majikan, pekerja dan kesatuan sekerja untuk mencari jalan tengah yang boleh dilaksanakan."
Beliau menambah bahawa pemerintah bukan sahaja berbincang dengan pihak berkepentingan berhubung cuti penjagaan anak, malah aturan kerja fleksibel dan dasar tenaga kerja yang lebih baik.
Ini bermakna dasar sumber manusia yang sesuai diperlukan, di samping perbincangan mengenai cara untuk menyokong ibu bapa, kata beliau.
"Kami cuba menggalakkan dan mendorong satu budaya di mana seluruh masyarakat berganding bahu dan memahami bahawa kita semua mungkin mempunyai keperluan yang berbeza-beza."
ADAKAH PENAMBAHAN CUTI PENJAGAAN ANAK TIMBULKAN ISU TENAGA KERJA?
Selain menambah cuti penjagaan anak, pemerintah turut mengumumkan bahawa ia akan membayar balik kos bagi keseluruhan tempoh cuti wajib berkaitan anak kepada majikan, sehingga had S$2,500 seminggu.
Mediacorp sebelum ini melaporkan bahawa perniagaan mengalu-alukan langkah pemerintah menanggung sepenuhnya kos cuti penjagaan anak. Namun, sebahagian daripada mereka menimbulkan persoalan tentang cara untuk mengisi kekurangan tenaga kerja apabila pekerja bercuti.
Bagi pekerja, ini bermakna tidak semua tempat kerja mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk mengagihkan beban kerja secara adil.
Ketidakhadiran boleh menjejas operasi harian, terutamanya apabila ia berlaku serentak dengan cuti yang sudah dirancang pekerja lain.
Jika beberapa pekerja bercuti pada masa yang sama, ia juga boleh menyebabkan beban kerja lebih berat bagi rakan sekerja yang lain.
Pekerja tanpa anak bimbang cuti jaga anak tambah beban kerja, jejas masa keluarga
Setiap kali seorang rakan sekerja mengambil cuti penjagaan anak, Adam (bukan nama sebenar), 29 tahun, yang bekerja dalam sektor kewangan, biasanya berkongsi beban kerja tambahan dengan anggota lain dalam pasukannya.