combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,142
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,142
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Pekerja Kitar Semula Ditahan Bersama MDMA Bernilai RM470,000
Datuk Dennis Lim Kwang Keng
Polis merampas 3.1 kilogram (kg) dadah disyaki jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM470,000 selepas menahan seorang lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah rumah kampung di Teluk Air Tawar, Butterworth pada Isnin lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata suspek berusia 37 tahun yang bekerja sebagai pekerja kitar semula itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara hasil maklumat dan risikan.
“Berdasarkan siasatan, dadah itu dipercayai disimpan di rumah berkenaan untuk pasaran kelab malam dan dijual pada harga sekitar RM150 bagi setiap paket kepada pelanggan.
“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 27 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di IPD Timur Laut di sini hari ini.
Sementara itu, Lim memaklumkan Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang telah menjalankan 31 serbuan membabitkan kegiatan perjudian menerusi Ops Soga XI dari 11 Jun hingga 19 Julai sempena Piala Dunia 2026 yang berakhir pada 20 Julai lepas.
Beliau berkata operasi itu menyaksikan sebanyak 31 kertas siasatan dibuka serta menahan 36 individu, terdiri daripada 33 lelaki dan tiga wanita.
“Daripada 31 kertas siasatan itu, 24 kes telah dituduh di mahkamah, dengan 23 tertuduh mengaku bersalah manakala satu kes masih dalam perbicaraan.
“Empat lagi kertas siasatan masih dalam tindakan lanjut sementara tiga kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut kerana keterangan tidak mencukupi,” katanya.
Beliau berkata semua kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.