dhiaperfumes
CG Top Poster Club

- Messages
- 41,571
- Joined
- Nov 12, 2009
- Messages
- 41,571
- Reaction score
- 63
- Points
- 120
MUNGKIN ramai yang tertanya-tanya siapakah pemilik suara lagu Satu-satunya yang kini sering didengari menerusi corong-corong radio.
Memperkenalkan diri mereka sebagai Numerus, sebuah band indie yang mahu mencari tapak di arus perdana ternyata berjaya menarik perhatian industri dengan kelunakan suara penyanyinya, Dynda, 23, atau nama sebenarnya Atiqah Nur Fatma Nor.
Diketuai Zarimi Zahari, 30, dan Redzuan Zahari, 32, band ini membawakan muzik rock namun lebih ringan berbanding biasa.
Jelas Zarimi, kebiasaannya muzik rock lebih heavy dengan campuran pelbagai instrumen menyebabkan ia kurang sesuai mengikut peredaran zaman.
"Genre rock dipilih kerana penyanyi utama kami, Dynda sudah terbiasa dengan muzik sebegini.
"Sebenarnya elemen rock pula tertumpu kepada penampilan kami dan cara pemakaian," katanya.
Sedikit mengenai maksud tersirat single pertama Numerus itu, Zarimi berkata, ia berkisar mengenai cinta yang pernah dilalui setiap insan.
Katanya, ia tidak menekan maksud yang terlalu mendalam sebaliknya lebih bersifat umum dengan lirik yang ringkas dan santai.
"Kisah mengenai perjalanan hidup sebuah keluarga yang terlibat dengan konflik. Dari situ ia menguji cinta dan sayang mereka yang terlibat dengan masalah itu.
"Tidak ditujukan kepada mana-mana pihak namun ia sekadar peringatan untuk kita semua," katanya.
Bercerita mengenai penubuhan Numerus, Zarimi menyatakan ia berlaku secara kebetulan dan tidak sengaja.
Bermula dengan dia dan adiknya, Redzuan bermain gig (band) di sebuah pusat muzik di Kuala Lumpur, Zarimi bertemu dengan Dynda.
"Ideanya timbul selepas kami bertiga disatukan menjadi satu band. Jika dihitung kami sebenarnya sudah lama ingin menubuhkan band secara rasminya namun ketiadaan penyanyi utama agak menyukarkan.
"Namun begitu selepas bertemu dengan Dynda, baharulah saya dapat memikirkan genre muzik yang sesuai untuk band kami," jelasnya.
Ditubuhkan awal tahun lalu, Numerus terus melancarkan single pertama mereka iaitu Satu-satunya.
"Alhamdulillah... sambutan agak baik dan saya terkejut pada mulanya dengan maklum balas daripada pendengar.
"Selepas single ini, Insya-ALLAH kami akan merakamkan album penuh tidak lama lagi.
"Kami ingin membuktikan bahawa Numerus bukan sahaja band indie semata-mata tetapi punya kualiti tersendiri untuk bersama-sama dengan band lain di arus mainstream," katanya yang bernaung di bawah pengurusan Sony Music.
Tambahnya, Numerus menawarkan kelainan berbanding band-band lain di luar sana adalah dari segi imej rock namun lebih mesra dengan audiens.
"Lagipun muzik, karakter dan lagu kami berbeza daripada band yang sedia ada.
"Kami ingin bawakan kelainan dan perubahan dalam industri muzik," ujarnya.
Sementara itu, vokalisnya iaitu Dynda yang dilihat lebih senang mengenakan fesyen rock setiap kali muncul di khalayak ramai.
Walaupun imej sebegini semakin 'pupus' atau kurang diminati generasi sekarang, namun, anak kelahiran Sarawak ini tidak kisah dengan pandangan masyarakat terhadapnya.
"Ia minat masing-masing. Walaupun ada yang mengkritik penampilan saya namun ia adalah hak individu.
"Lagipun saya suka untuk berfesyen namun, tidak secara keterlaluan sesuai dengan budaya kita," katanya.
Berkongsi ceritanya ketika menerima tawaran sebagai lead singer, Dynda menyatakan dia teruja kerana diberi peluang untuk merakamkan single bersama Numerus.
"Walaupun ia sekadar cuba nasib, namun saya sangat berpuas hati kerana percubaan ini nyata menjadi," ujarnya mengakhiri perbualan.
http://www.cari.gold/2014/09/numerus-pilih-imej-rock.html