combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Negeri Sembilan Kecualikan Bayaran Lesen Penjaja Mulai 2027 - MB
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim bercakap pada sidang media pasca Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Negeri, hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan untuk mengecualikan bayaran lesen penjaja termasuk pengusaha trak makanan bagi tempoh setahun bermula 1 Jan 2027 sekali gus membantu meringankan beban peniaga kecil.
Menteri Besar Datuk Ismail Lasim berkata insiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 7,386 penjaja berdasarkan rekod tahun ini, membabitkan 3,684 penjaja di bawah Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Perbandaran Port Dickson (1,355), Majlis Perbandaran Jempol (459), Majlis Daerah Tampin (639), Majlis Daerah Kuala Pilah (610), Majlis Daerah Rembau (478) dan Majlis Daerah Jelebu (161).
“Walaupun memberikan implikasi kewangan yang banyak kepada PBT (pihak berkuasa tempatan), kita memberi peluang kepada penjaja dalam keadaan kos minyak yang meningkat dan sebagainya...kadar lesen penjaja adalah berbeza mengikut PBT, contohnya Kuala Pilah adalah RM150, Tampin pula sebanyak RM180.
“Bagaimanapun, pengecualian itu hanya melibatkan bayaran lesen penjaja manakala bayaran lain termasuk caj kebersihan masih perlu dijelaskan seperti biasa,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Beliau berkata penjaja perlu mematuhi semua syarat dan peraturan ditetapkan PBT termasuk tidak menghalang lalu lintas serta laluan pejalan kaki selain memastikan kebersihan kawasan perniagaan.
“Walaupun percuma, tidak bermakna kita tidak ikut peraturan. Peraturan mesti dipatuhi dan penguatkuasaan tetap akan dikenakan kalau mereka menyalahi perkara tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ismail berkata kerajaan negeri turut memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan fi konservasi secara berfasa bagi kemasukan ke Taman Eko Rimba di negeri itu serta-merta berkuat kuasa hari ini.
Beliau berkata keputusan itu berikutan negeri yang masih dalam tempoh Tahun Melawat Negeri Sembilan selain mengambil kira rungutan orang ramai berhubung pelaksanaan bayaran tambahan berkenaan.
“Walaupun anak-anak tidak dikenakan bayaran, mereka datang bersama ibu bapa yang dikenakan bayaran tambahan RM3. Jadi itu kita tangguhkan serta-merta sehingga kita maklumkan semula pada masa akan datang,” katanya.