ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Mimi Suhada (kanan) tidak pandai membaca, mengira dan menulis sejak kecil.
RANTAU PANJANG - Malang nasib seorang kanak-kanak kerana 10 tahun lalu dia ditinggalkan di depan rumah seorang suri rumah, di sini, dan nasibnya bertambah malang kerana tidak mempunyai sijil lahir dan tidak dapat membaca, menulis serta mengira.
Ibu angkatnya, Zainun Mohd Noor, 44, berkata, kanak-kanak malang yang diberi nama Mimi Suhada Abdullah, 10, itu ditemui di depan rumahnya pada jam 8 pagi pada pertengahan 2005.
Menurutnya, kesilapannya adalah tidak membuat laporan polis ketika menemui Mimi Suhada, menyebabkan kanak-kanak itu tiada sijil kelahiran dan tidak dapat melalui alam persekolahan seperti anak-anaknya yang lain.
"Jika tanya kanak-kanak lain di sekolah, mereka akan cakap nak jadi cikgu, doktor atau polis. Tetapi cita-cita Mimi Suhada bila dewasa kelak, adalah untuk mampu membaca, mengira dan menulis.
"Setakat ini Mimi boleh hafal nombor satu sehingga 30 tetapi dia tidak mengenal walaupun satu nombor berkenaan. Saya tak mampu ajar Mimi Suhada sendiri kerana saya juga buta huruf," katanya.
Zainun memaklumkan, buat masa ini Mimi Suhada terpaksa belajar daripada adik beradiknya yang lain ketika anak-anaknya itu membuat kerja sekolah.
Tambah Zainun, kehidupannya pula semakin terhimpit apabila ibunya, Saudah Sa'amah, 71, mengalami lumpuh seluruh badan selepas jatuh di bilik air pada tiga tahun lalu.
"Kami ada 10 beranak termasuk Mimi Suhada dan menumpang tinggal di rumah kakak sejak 15 tahun lalu. Sekurang-kurangnya kami tak akan dihalau tuan rumah sekiranya tidak mampu bayar sewa rumah setiap bulan.
"Saya berasa sedih setiap kali memikirkan masa depan Mimi Suhada, terutama apabila kami sudah tiada kelak," katanya.